Tuesday, May 15, 2012
SELAMAT HARI GURU 2012
Wednesday, November 23, 2011
Anak dan Kerenah II
Sebelum sesi persekolahan melabuhkan tirainya untuk sesi 2011 tempoh hari, anak sulung saya menyertai satu pertandingan olahraga peringkat sekolahnya. Sejak kecil, saya cukup maklum bahawa anak saya yang seorang ini tidak dikurniakan bakat yang baik dalam bidang sukan, meskipun dia begitu meminati sukan bola sepak. Faktor badannya yang kecil seringkali menyebabkan dia diketepikan oleh guru (dan juga kawan-kawan) dalam bab bersukan. Jika di kampung pun, dia yang selalunya hadir ke padang dengan seragam lengkap pemain bola sepak (termasuk kasut dan stoking) untuk bermain dengan rakan sebayanya, sering sahaja diberikan peranan sebagai pemerhati di tepi. Jika berlaku kekurangan pemain, barulah dia diberikan peluang untuk bermain. Itupun sebagai penjaga gol sahaja kerana biasanya posisi ini paling tidak digemari oleh rakan-rakannya.
Justeru, apabila dia pulang dan beria-ia bercerita tentang pertandingan olahraga yang disertainya, saya agak terkejut juga. Begitupun, saya tetap juga melapangkan sedikit waktu untuk mendengar ceritanya. Katanya;
"Babah, kat sekolah tadi ada lumba lari. Abang pun masuk," katanya dengan nada yang cukup teruja.
"Ye ke? Abang boleh ke lari?" Sengaja saya mengusiknya.
"Boleh, cikgu yang suruh abang masuk."
"Jadi, macam mana? Menang tak?" Saya bertanya lagi.
"Masa lumba lari tu, abang start lambat sikit. Masa tu, Aiman dah tinggalkan abang jauh dah. Lepas tu, abang pun pecut kuat-kuat, abang kejar-kejar, dekat nak dapat dah, tapi lepas tu, Aiman jugak yang sampai dulu. Sikit lagi abang nak potong," jelasnya cukup bersemangat.
"OK la tu, abang dah cuba sungguh-sungguh. Dapat nombor dua pun kira hebat la."
"Bukan nombor dua la Babah, nombor last. Aiman kedua last," jawabnya selamba.
Mendengar jawapan bersahajanya itu, tawa saya ketika itu hampir pecah. Tetapi saya berusaha menahannya kerana tidak mahu dia terasa hati. Saya cuba berlagak selamba dengan memberi kata-kata semangat.
"Takpa bang, sekurang-kurangnya, abang dah bertanding peringkat sekolah. Maknanya, abang antara yang terbaik la untuk murid-murid 9 tahun."
"Tapi Babah, yang abang masuk tu, baru pemilihan untuk Rumah Hijau," katanya masih selamba.
Ketika itu, saya tidak mampu menyimpan tawa lagi. Saya melepaskan semahu-mahunya. Anak saya hanya menggaru kepala sambil tersengih.
Sekadar gambar hiasan
Sunday, October 30, 2011
Juara Piala Malaysia 2011
Assalamualaikum dan salam pertemuan
Penyokong bia gayo timo,
Pemain bia gayo baghat,
Baru jojak!
Tahniah kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan kerana berjaya menjulang trofi Piala Malaysia untuk kali ketiga pada tahun ini.
Petang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara N. Sembilan dan Terengganu, saya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur. Sengaja saya memilih saluran radio Negeri FM kerana ingin sama-sama merasai kehangatan kemuncak kejohanan melalui celoteh penyampai dan pendengar. Jadi, ungkapan di atas menjadi antara kata-kata yang cukup mengikat ingatan saya. Ternyata ungkapan yang dipilih bukan sahaja menarik tetapi turut membawa satu peringatan kepada semua peminat dan pemain bola sepak tempatan.
Dalam perjalanan tersebut, laluan bertentangan dengan saya penuh dengan deretan kenderaan. Selang sebuah atau dua buah kenderaan, pasti kenderaan seterusnya dibaluti oleh bendera kebanggan negeri. Di sini walaupun saya belum menjenguk ke stadium, saya sudah melihat kefanatikan para penyokong Negeri Sembilan. Jika sekadar kibaran bendera di kereta dan motosikal, itu sudah menjadi perkara biasa. Bagaimanapun, saya sempat juga menonton aksi terlebih fanatik seorang penyokong yang mengeluarkan separuh badan daripada kereta dan duduk di tingkap kereta dengan tidak berbaju.
Apabila kita melihat aksi di stadium menerusi kaca televisyen, ternyata situasinya lebih hangat. Kita pasti dapat menonton pelbagai gaya, rupa, dan aksi sepanjang perlawanan. Baik yang kanak-kanak, anak muda, juga yang sudah separuh abad usianya ada yang mengecat muka mengikut warna bendera negeri, rambut juga pelbagai warna dan gaya, ada yang tidak berbaju, ada yang dirasuk histeria, dan macam-macam lagi. Kata-kata makian apatah lagi. Seolah-olah, sudah menjadi perkara biasa apabila tidak berpuas hati, sama ada kepada pemain sendiri, pemain lawan, ataupun pegawai pertandingan. (Inilah antara sebab mengapa saya tidak pernah membawa keluarga ke stadium). Malah, saya pernah diberitahu ada yang membaling botol mineral berisi air kencing ke arah FRU! Mungkin ada yang mengatakan ini perkara biasa. Malah, ini dikatakan lebih baik berbanding aksi penyokong-penyokong Kelantan.
Ya, ini memang perkara biasa kerana begitulah rutinnya setiap kali dan tiada yang akan mempersoalkan. Bola sepak bukan berasal dari budaya kita tetapi kerana statusnya sebagai sukan nombor satu di dunia dan sukan paling popular, maka kita turut menerima tempiasnya. Maka secara tidak rasminya, sukan bola sepak juga menjadi budaya dalam negara dan dimainkan dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status, umur dan juga jantina.
Persoalannya, mengapa kita tidak boleh menerapkan cara dan budaya kita apabila menonton bola sepak? Apakah apabila melibatkan keseronokan dan sorak-sorai, tidak ada etika dan budaya yang perlu dipatuhi? Adakah majlis-majlis seperti kenduri kahwin atau majlis ilmu, baharu ada etika dan budayanya?
Apapun, sekali lagi tahniah untuk negeri kesayangan saya kerana menjadi juara Piala Malaysia. Saya suka menuliskan sekali lagi, "PENONTON BIA GAYO TIMO, PEMAIN BIA GAYO BAGHAT, BARU JOJAK!"
Wednesday, September 7, 2011
Cabaran Baharu
Minggu ini merupakan minggu terakhir saya di SMK Juasseh sebelum mula bercuti menyambung pengajian di UPSI mengikuti pengajian Doktor Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu. Terima kasih kepada KPM kerana memberikan peluang dan juga kerana yakin dengan kemampuan saya untuk menghasilkan satu kajian yang dapat memberikan manfaat kepada perkembangan organisasi dan juga kemajuan dunia pendidikan di negara ini. Khabarnya dalam satu-satu pengambilan, hanya puluhan guru yang terpilih untuk menerima Hadiah Latihan Persekutuan ini. Walaupun gembira dengan tawaran ini, rasa sayu pastinya tetap ada kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan guru yang cukup akrab dan anak-anak didik yang cukup hormat. Di sekolah ini, juga di sekolah-sekolah lama saya, terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dikutip dan diperoleh. Semua ini pastinya mematangkan perjalanan kehidupan.
Ramai dalam kalangan rafik dan sahabat guru memberikan ucapan tahniah dan selamat bercuti kerana menurut mereka saya akan mula menikmati cuti panjang selepas ini. Barangkali ramai yang beranggapan, peluang bercuti belajar yang diberikan oleh kementerian merupakan waktu untuk melepaskan lelah bekerja dan masa untuk meninggalkan sekejap segala amanah dan tanggungjawab keguruan yang selama ini begitu membebani pundak.
Pada saya sendiri yang dikatakan akan 'menikmati percutian panjang' tentunya mempunyai pandangan sebaliknya. Sebelum memulakan pengajian lagi, saya terlebih dahulu sudah diberi maklum akan apa yang perlu saya hadapi sepanjang tiga tahun yang mendatang ini. Sebenarnya, walaupun saya akan meninggalkan sekejap dunia keguruan dan sepi daripada riuh-rendah suasananya, saya masih lagi akan terbeban dan dihimpit tekanan baharu, khususnya dalam proses menyiapkan kajian yang dibuat. Bukan sekali atau dua kali berita-berita kurang enak tentang kegagalan beberapa calon untuk menghabiskan pengajian sampai ke telinga. Ini tentu menggerunkan, apatah lagi (seperti provokasi salah seorang penceramah ketika kursus persediaan menyambung pengajian di Hotel Dinasty) 'Satu kampung dah tahu!'
Apapun, setiap perkara yang kita akan hadapi pastinya dirintangi oleh cabaran dan tekanan. Segalanya harus dilihat dari sisi yang positif. Justeru, untuk saya, saya bersedia untuk cabaran baharu ini.
Syukur kepada Allah SWT kerana memilih saya untuk menerima cabaran ini. Semoga ketentuan-Nya juga menentukan saya akan berjaya mengharunginya. Insya Allah. Terima kasih kepada ayah dan almarhum ibu. Jika tidak kerana keringat dan kudrat mereka membesarkan dan memberikan pendidikan, saya mungkin tidak berada di kedudukan sekarang. Terima kasih kepada isteri tercinta kerana senantiasa yakin dan percaya kepada kebolehan dan kemampuan saya. Terima kasih kepada semua guru yang pernah menjadikan saya manusia. Terima kasih juga kepada semua rafik kerana dorongan dan semangat yang diberikan.
Thursday, August 25, 2011
Salam Aidilfitri
Kembali kepada cerita Aidilfitri. Pada kesempatan ini, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun kepada guru-guru yang mulia, sahabat-sahabat yang hebat, AJK PEN yang berkaliber, pembaca-pembaca blog anakmandiling.blogspot yang setia, pelajar-pelajar yang berkarisma dan sesiapa sahaja yang mengenali diri saya yang biasa-biasa ini. Sesuai dengan fitrah perayaan ini, diharapkan kita juga dapat membersihkan diri daripada dosa dan segala hasad dan khianat sesama kita. Semoga Aidilfitri tahun ini menjanjikan kemenangan dan kejayaan yang tiada putusnya buat kita semua.
SALAM AIDILFTRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
Monday, July 4, 2011
Wira Tak Didendang

Program Ziarah Mesra



Thursday, June 30, 2011
Sajak "Guru" di Tunas Cipta
Entah mengapa (suatu kebetulan?), kerap kali apabila karya saya tersiar di mana-mana, saya sering menghadapi masalah untuk mendapatkan majalah atau akhbarnya. Misalnya, dalam kes kali ini, atas sebab teknikal saya lewat menerima majalah Tunas Cipta yang saya langgan. Malah, ketika saya melayari laman web DBP untuk melihat sajak-sajak yang tersiar di Tunas Cipta Jun, entah mengapa tajuk sajak saya tercicir, sedangkan yang lain semuanya ada. Pernah sekali juga saya menghantar sebuah cerpen saya ke akhbar (akhir 90-an), saya sukar untuk mendapatkan akhbar tersebut pada hari cerpen berkenaan tersiar sedangkan akhbar ini merupakan akhbar perdana. Ketika itu, saya terus melupakan hal tersebut dan menganggap mungkin belum rezeki cerpen saya untuk tersiar. Tetapi saya bernasib baik, selepas beberapa bulan, ketika mengunjungi sebuah perpustakaan saya membelek akhbar-akhbar lama dan terkejut apabila menjumpai cerpen saya di sana.
Apa-apapun, terima kasih kepada saudara Editor kerana masih memberi peluang kepada saya untuk berkarya di Tunas Cipta. Sebenarnya, sudah hampir lima tahun saya tidak menulis untuk Tunas Cipta. Selain berhenti menulis kerana memberi tumpuan kepada pengajian sarjana, saya juga ingin mencuba medium yang lain pula. Cuma, buat masa ini, karya-karya saya sukar menembusi tembok kebal majalah-majalah lain yang lebih berwibawa.
Sekali lagi, terima kasih Tunas Cipta kerana masih mempercayai karya-karya saya. Barangkali, ini karya terakhir saya di majalah kesayangan penulis muda ini. Bukan merajuk atau mahu berhenti menulis tetapi kerana pada hujung tahun ini, saya sudah terlalu tua untuk Tunas Cipta!
Monday, June 27, 2011
Berterombo di Seri Menanti
Wednesday, May 25, 2011
Slot beliau lebih kepada motivasi guru iaitu kepentingan menjaga amanah sebagai guru. Mungkin apa yang diperkatakan oleh beliau bukan perkara baharu kepada saya kerana sudah sering saya temui lewat buku-buku terbitan Galeri Ilmu dan Telaga Biru, juga majalah-majalah yang sering digulati seperti Solusi dan Anis. Cuma, kaedah penyampaian beliau yang membezakannya dan itu jugalah yang menyebabkan semua guru tetap fokus dan teruja sehingga ke akhir slot.
Pada saya, selain kaedah penyampaiannya, cara beliau dan suami menguruskan keluarga turut memberikan input yang cukup berguna. Ini antara kisah yang disampaikan secara percuma, di samping topik asal yang dibicarakan. Beliau berkerjaya dan mempunyai 11 anak untuk diuruskan tetapi sehingga setakat ini beliau berjaya menjadikan kesemua anaknya insan yang hebat sepertinya.
Justeru, terima kasih kepada kedua-dua penceramah atas kesudian berkongsi ilmu dengan kami di Juasseh. Semoga input yang diberikan mampu menjadikan kami insan hebat seperti anda.
Wednesday, May 18, 2011
Pesta Buku dan Hari Guru
Assalamualaikum.
Nampaknya dalam segala hal saya terlewat. Gangguan pada talian internet di sekolah sememangnya merencatkan penulisan di blog ini. Saya tiada talian internet di rumah kerana masalah port dan juga saya tidak pernah ke kedai siber kecuali jika benar-benar terdesak. Justeru, saya mengambil kesempatan dengan talian internet yang agak baik pada hari ini (setelah berminggu-minggu cacamarba) untuk mencatatkan dua peristiwa.
i.
Belakangan ini, entah mengapa, isteri saya menjadi pencinta buku-buku terbitan Galeri Ilmu dan Telaga Biru. Jika dahulu, almari buku yang ada di rumah kami dipenuhi buku-buku sastera milik saya. Sekarang, saya terpaksa memberikan separuh daripada ruang almari itu untuknya. Kesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa KL dua minggu lepas tidak dilepaskan oleh isteri saya untuk menambah koleksi peribadi buku-buku terbitan kedua-dua syarikat penerbitan tersebut. Peruntukan khas yang saya berikan untuknya membeli buku-buku yang diingin di pesta buku ternyata tidak mencukupi dan dia sanggup mengeluarkan biaya sendiri bagi memastikan senarai buku yang tercatat dalam pertimbangannya dapat dimiliki.
Tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah tentang hobi baharunya. Saya ingin berkongsi ilmu yang saya kutip seusai menikmati salah satu daripada buku yang dibelinya. Tajuk buku tersebut (terbitan Telaga Biru) ialah Pemilik Cintaku tulisan Fatimah Sharha Mohd Nordin (setelah dua minggu baharu kini saya dapat menikmatinya). Perasaan pertama saya selepas menghabiskan muka surat terakhir buku tersebut ialah kagum dan yang kedua rendah diri.
Saya betul-betul kagum dengan istiqamah Qani'ah (penulis?) dalam mencari pasangan hidupnya. Saya yakin kisah yang dipaparkan bukanlah rekaan tetapi realiti yang berlaku kepada Qani'ah atau orang lain yang menggunakan nama samaran Qani'ah. Melihat kesempurnaan kaedah mencari pasangan yang diamalkan; sama seperti yang disarankan dalam al-Quran dan juga sunah Rasulullah saw, saya bersyukur kerana masih ada insan istimewa seperti ini yang wujud dalam dunia realiti. Keperibadian Qani'ah dan pasangannya Dr. Muslih, sebelum, semasa, dan selepas pernikahan benar-benar mengagumkan.
Saya tidak dapat merincikan kekuatan dan kelebihan buku ini dalam entri ini. Justeru, saranan saya kepada pasangan yang ingin bercinta, akan bertunang dan berkahwin, sudah berkahwin, ibu bapa atau sesiapa sahaja, dapatkanlah buku kecil tetapi cukup bermakna ini.
ii.
Sehubungan dengan sambutan hari guru, kejutan yang diharap-harapkan – seperti yang diuar-uarkan TPM selaku Menteri Pelajaran – oleh semua lapisan guru nampaknya berakhir dengan sedikit kekecewaan. Saya seperti selalu sudah menjangka, tiada berita gembira yang akan memenuhi kehendak dan keinginan semua guru. Pastinya, kejutan yang dicanang-canang, bukan sahaja pada tahun ini tetapi tahun-tahun sebelumnya juga, hanya akan melebarkan senyuman segelintir pihak sahaja. Beginilah, untuk mengubat luka guru-guru biasa sekalian, saya menyarankan agar kita faham dan akur bahawa dalam apa-apa perkara sekalipun, kita tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak. Barangkali, tahun hadapan giliran kita pula. Kepada semua pengetua dan GPK yang bakal menerima kenaikan gred dan gaji, tahniah. Pastikan gaji yang diterima setimpal dengan komitmen dan usaha yang dicurahkan. Insya Allah, kami guru-guru biasa akan berada di posisi anda suatu ketika nanti.
Saturday, April 23, 2011
Rumah Perkahwinan
Sunday, February 13, 2011
Hari Kekasih
Wednesday, October 27, 2010
Al-Fatihah Zulhelmi
Setibanya di sana, selain ahli keluarga yang kelihatan cukup sugul, beberapa orang guru sudah pun berkumpul. Pelbagai informasi tentang kemalangan mula menghujani deria pendengaran. Ringkasnya, Zulhelmi kemalangan ketika hari hampir Maghrib. Motosikal yang dipandunya hilang kawalan, lantas merempuh tiang elektrik di tepi jalan. Menurut doktor yang merawat, keadaannya kritikal. Satu saluran darahnya di bahagian peha terputus menyebabkan pendarahan yang berterusan. Dalam masa yang sama, doktor menjangkakan pendarahan otak mungkin berlaku kerana darah dari hidung dan telinga tidak putus-putus mengalir keluar.
Saya mendengar beberapa dialog yang sebenarnya sering juga saya dengar dalam drama-drama di televisyen.
"Kami dah buat yang terbaik. Minta ahli keluarga di sini, berdoalah kepada Tuhan," begitu antara dialog doktor muda berbangsa Cina yang dapat saya rumus.
Sesuatu segera bermain dalam fikiran saya. Adakah harapan untuk Zulhelmi semakin tipis? Pada ketika itu, saya belum berani meramal walaupun fikiran saya mula membayangkan satu berita yang menyedihkan akan sampai tidak lama lagi. Saya pulang ke rumah seusai jam berdenting dua belas kali. Akhirnya, berita yang saya jangkakan tiba juga. Berita pemergian allahyarham Zulhelmi ke perkampungan abadi sampai kepada saya satu jam kemudian.
Sesungguhnya, allahyarham Zulhelmi hanyalah seorang pelajar di sekolah saya. Tetapi, pemergiannya cukup dirasai oleh semua khususnya para guru kerana keperibadiannya. Justeru, tidak hairanlah ramai guru menitiskan air mata ketika majils bacaan yasin yang diadakan khas untuknya. Zulhelmi bukan sahaja Ketua Pelajar di sekolah, beliau juga aktif dalam sukan sofbol dan pasukan beruniform kadet polis. Selain sifatnya yang ramah dan mesra dengan semua guru, beliau juga seorang yang tidak pernah mengatakan "tidak" jika mana-mana guru meminta pertolongannya. Kepada guru-guru lelaki, pemergiannya pasti lebih dirasai. Setiap kali, diajak untuk bermain futsal bersama para guru, beliau tidak pernah menolak. Malah, beliau yang akan menempah gelanggang futsal memandangkan rumahnya yang paling hampir.
Apapun, pada saya, pemergian Zulhelmi kembali membangunkan lupa dan memberikan peringatan. Kita tahu dan cukup yakin bahawa tidak ada jaminan yang muda, remaja mahupun kanak-kanak pasti terus bernafas untuk sehari lagi. Kita percaya bahawa hidup mati manusia ditentukan oleh Ilahi. Begitupun, kesibukan bekerja dan bermasyarakat sering membuat kita lupa akan hakikat itu. Kematian tidak hanya menjenguk mereka yang berusia sahaja. Usia rumah hayat berbeza antara sesama kita. Hari ini mungkin Zulhelmi, esok mungkin saya atau orang lain. Yang penting ialah persiapan yang kita sediakan sebelum mati menutup kesempatan itu.
Al-Fatihah.
Pintaku Padamu
...
kalau esok jua hidup dijenguk kematian
usah ditangisi sepinya tanah kelahiran
nyanyikan lagu perindu ke wajah tuhan
tanda hatimu setia dlm usia pengorbanan
tau-taulah di bintang satu
di hari hidup kita mengejar bahagia dalam sengsara
di hari mati kita mengira pahala dan dosa
(Dharmawijaya,1963)
Sunday, October 24, 2010
Umbara Sastera 5 dan Kenduri Bahasa
Alhamdulillah, akhirnya Umbara Sastera 5 tiba ke Juasseh. Bersyukur juga kerana kedua-dua tokoh yang dijemput dapat melapangkan sedikit masa untuk berkongsi wacana ilmu dengan anak-anak di sini. Walaupun program ini serba ringkas tetapi buat saya, program ini cukup bermakna. Hal ini dikatakan demikian kerana program ini bukan sekadar program yang dirancang untuk memenuhi waktu senggang pelajar lepasan PMR, tetapi juga merupakan program yang tercatat dalam diari tahunan PEN. Beberapa bulan belakangan ini sesudah dilantik sebagai AJK PEN, saya sering tertanya-tanya apakah sumbangan yang boleh saya berikan kepada persatuan? Adakah sekadar menghadiri mesyuarat dan menempel-nempel dalam program yang dianjurkan? Setakat ini, itulah sahaja yang dapat saya lakukan. Justeru, apabila dapat menyelaraskan sendiri program Umbara Sastera ini, saya rasa cukup lapang. Sekurang-kurangnya saya sudah ada sesuatu biarpun mungkin kecil pada mata orang.
Nisah Haron dan Amiza Khusyri bukanlah nama yang asing apabila memperkatakan kesusasteraan nasional. Begitu pun, untuk pelajar-pelajar saya (malah dalam kalangan guru) tidak putus-putus bertanya tentang tokoh yang saya jemput. Siapa? Penulis ke? Pelik juga. Jika Amiza mungkin, kerana ini pertama kali beliau tiba di SMK Juasseh (walaupun menurutnya, beliau sering singgah membeli air batu di kedai depan sekolah kerana rumah mentuanya di sekitar Juasseh). Bagaimana pula dengan Nisah? Nisah sudah pernah tiba ke sini dua tahun lepas. Cepatnya mereka lupa. Tetapi itulah lumrah. Apa sangatlah status seorang penulis jika dibandingkan dengan tokoh politik mahupun selebriti hiburan, walaupun sumbangannya cukup besar dalam pembangunan minda dan jiwa. (Barangkali kerana itu juga, wartawan surat khabar yang saya jemput tidak nampak batang hidungnya. Apa sangatlah nilai berita program kesusasteraan.)
Nisah Haron seperti selalu membawakan ceramah tentang teknik dan kreativiti menulis. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan ialah kehadiran Nisah Haron akan membuka mata pelajar-pelajar saya (juga guru-guru dan pentadbir) khususnya beraliran sains, seorang penulis tidak semestinya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu untuk menjadi penulis. Malah sebenarnya mereka yang dari aliran sains yang lebih ramai mewarnai dunia kesusasteraan tanah air. Hal ini demikian kerana mereka memenuhi syarat-syarat untuk menjadi penulis yang baik. Antara syarat yang penting tentunya rajin membaca, bijaksana dan, berilmu.
Pengalaman saya sendiri, karya pelajar yang saya kirim ke mana-mana penerbitan datangnya daripada pelajar-pelajar aliran sains yang berminat menulis. Pelajar subjek Kesusasteraan Melayu yang saya ajar selalunya tidak mampu menghasilkan sebuah karya yang baik. Saya tidak salahkan mereka. Walaupun mereka menekuni subjek ini selama dua tahun, mereka gagal lahir sebagai penulis. Ini tentunya berkait rapat dengan kegagalan memenuhi syarat-syarat yang saya sebutkan tadi. Oleh sebab itu, saya rasa cukup terpukul apabila pelajar-pelajar tingkatan 4 aliran sains di sekolah ini dikecualikan daripada program ini dengan alasan ini urusan orang sastera. Saya tidak mengharapkan 120 audiens akan menjadi penulis. Tetapi saya mengharapkan akan muncul satu atau dua penulis yang baik dan prolifik dan selebihnya akan menjadi peminat dan pembaca karya kesusasteraan yang tekal. Insya Allah.
Amiza hadir dengan slot motivasi dan dakwah dalam penulisan. Bagaimanapun, beliau merasakan tajuk itu cukup berat untuk mereka yang belum bergelar penulis. Justeru, beliau lebih menumpukan ceramah tentang kepentingan hidup atas landasan agama dalam kalangan remaja. Ternyata motivasi Amiza benar-benar menyentap emosi khalayak, sesuailah dengan latar belakang beliau. Kehadiran Amiza juga saya harapkan dapat memberikan impak yang sama seperti kehadiran Nisah. Amiza lepasan Universiti Al-Azhar dan tebal dengan selimaut agamanya. Seperti juga Zaid Akhtar, Amiza juga menjuarai cerita-cerita yang berkisar di seputar kehidupan remaja atas landasan syariah tetapi diadun dengan plot yang dramatik serta bahasa yang cukup kreatif. Saya ingin membuktikan kepada pelajar bahawa menulis juga satu ibadah dan bukan sekadar pekerjaan main-main dan 'jiwang-jiwang'. Saya ingin mereka tahu bahawa kesusasteraan atau lebih tepatnya persuratan adalah karya-karya yang dihasilkan oleh penulis seperti ini dan bukannya seperti novel-novel popular dan picisan yang berlambakan di mana-mana.
Kehadiran Nisah Haron dan Amiza tentunya sedikit banyak meninggalkan impak kepada pelajar SMK Juasseh. Seperti selalu, novel Nisah lebih separuh terjual dan ramai juga meminta saya mendapatkan novel Amiza "Menjadi Bintang". Justeru, besar harapan warga Juasseh, kedua-dua tokoh ini tidak jemu untuk menuangkan ilmu dan pengalaman mereka sekali lagi pada masa-masa akan datang.
Untuk Nisah Haron dan Amiza, 'terima kasih daun keladi, tanda kasih datanglah lagi'.
23/10/2010
Saya hadir ke Homestay Lonek dalam keadaan yang tidak cukup selesa. Selain selesema yang menyumbat hidung, batuk yang bersarang di dada turut menyumbang kepada ketidakselesaan itu. Saya hampir sahaja menelefon sdr Azman Khurawi yang menjadi penyelaras program Kenduri Bahasa di Lonek untuk memaklumkan penarikan diri saya. Bagaimanapun, sdr Abdullah AR terlebih dahulu menghantar sistem pesanan ringkas mengatakan beliau terpaksa menarik diri daripada menjadi salah seorang deklamator pada malam tersebut kerana abangnya sedang sakit kuat di Hospital Seremban. Mendengar itu, saya terus membatalkan hasrat dan reda dengan segala kemungkinan. Tambahan pula, Puan Nisah Haron dan Datin Sabariah sudah menggalaskan pada pundak saya amanah dan tanggungjawab yang diserahkan kepada PEN oleh pihak DBP.
Buat seketika, saya menjadi pencinta air suam yang setia.
Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Apa yang saya takuti, tidak menjadi kenyataan pada malam itu. Rasanya, saya dan Mya Marja yang mewakili PEN dalam persembahan deklamasi puisi sudah memberikan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa program, khususnya sdr Azman Khurawi yang menyediakan segala keperluan dan memenuhi apa sahaja permintaan kami. Ternyata tenaga produksi yang mantap menjadi nadi kepada kelancaran program pada malam tersebut.
Program Kenduri Bahasa merupakan penutup kepada Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan. Pembukaan program ini berlangsung di Seremban. Barangkali, pemilihan Lonek sebagai tuan rumah untuk acara penutupan merupakan satu kelainan yang ingin dibuat pada tahun ini. Langkah ini merupakan suatu harus dipuji. Sesekali, biarlah masyarakat desa dan luar bandar pula mendapat peluang menunjukkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda.
Monday, October 18, 2010
Pascabelanjawan
Tatkala mendengar ihsan kerajaan untuk memberikan cuti bersalin selama 90 hari kepada kakitangan wanita bagi membolehkan mereka mempunyai lebih masa untuk bersama-sama anak/bayi, saya segera memanggil isteri.
Kata saya,"Nampaknya anak kelima nanti, cuti sakanlah Ummi,". Isteri saya yang pada mulanya terpinga-pinga akhirnya faham seusai mendapat penerangan. Isteri saya yang sememangya tidak begitu ambil pusing hal semasa dalam negara (apa lagi isu-isu global), sekadar mengucapkan "Alhamdulillah', sedikit tersenyum lalu kembali menyambung urusan dapurnya yang tidak kunjung usai.
Hanya pada keesokannya, baharulah saya mendapat keterangan yang lebih terperinci tentang cuti tersebut menerusi salah sebuah akhbar arus perdana. Apa yang tidak disebutkan pada malamnya ialah cuti maksimum 300 hari sepanjang perkhidmatan untuk ibu bersalin kekal. Hal ini bermakna, isteri saya kekal bercuti 60 hari sahaja untuk kelahiran seterusnya. Justeru, tidak ada apa-apa yang berubah. Apabila saya menerangkannya semula kepada isteri, dia masih lagi tersenyum.
"Dua bulan pun OK," katanya. Saya sekadar mencebik.
Selain itu, saya tertunggu-tunggu juga ada 'sesuatu' diberikan oleh kerajaan kepada guru-guru yang mempunyai sarjana ataupun PHD. Bagaimanapun, nampaknya buat masa ini kerajaan masih belum melihat ada kepentingan untuk memberikan 'sesuatu' itu. Barangkali, guru-guru yang menyambung pengajian ke peringkat-peringkat tersebut, akan mengutarakan soal penat lelah belajar, soal menyahut dasar kerajaan untuk mempertingkat kemahiran dan pengetahuan, dan sebagainya. Begitupun barangkali, pihak kerajaan juga akan menghujahkan bahawa itu adalah pilihan sendiri. Malah, sudah disebut dalam perjanjian sebelum melanjutkan pelajaran, tidak ada janji untuk menerima 'sesuatu' itu. Justeru, tidak perlu diperdebatkan.
Tentang bonus, saya memang tidak berasa perit dan terpukul apabila PM hanya mengumumkan bantuan khas dan bukannya bonus sebulan atau dua bulan gaji kepada penjawat awam. Hal ini dikatakan demikian kerana saya sedari awal sudah cukup yakin bahawa kerajaan tidak akan memberikannya. Barangkali yang akan makan hati ialah sahabat-sahabat yang sudah memikirkan bonus sejak seminggu lalu dan menjadikannya sebagai bahan cerita ketika sarapan atau kudapan (melupai sejenak hal-hal politik yang semakin menjengkelkan).
Saya cukup yakin bahawa kerajaan tidak akan memberikan bonus kerana masanya belum sesuai untuk tujuan itu. Sampai ketika yang sesuai nanti, insya Allah penjawat awam pasti akan tersenyum lebar.
Pun begitu, terima kasih PM dengan sagu hati RM500. Campur yang sebelum ini sudah jadi RM1000. OK le tu.
Thursday, September 23, 2010
Ziarah Sejarah
Mengikut sejarahnya, Kg. Sungai Bil adalah petempatan terawal masyarakat Mandailing yang datang ke Tanah Melayu pada era Perang Indonesia – Belanda. Ketika inilah, Tuan Guru Syeikh Abu Kassim menjadi teraju dalam segala hal. Beliau yang sudah dianggap ulama' oleh masyarakat Mandailing bukan sahaja menjadi rujukan dalam hal-hal agama, malah diangkat sebagai pemimpin utama ketika itu. Jasa dan sumbangannya dalam memperkukuhkan pengetahuan agama masyarakat Mandailing cukup besar. Al-Fatihah untuk beliau.
Hanya kemudiannya, sebahagian daripada masyarakat Mandailing ini berhijrah ke beberapa penempatan di Negeri Sembilan sebelum menjadi pemastautin tetap di Kuala Pilah dan Jelebu. Bagi mengelakkan golongan yang berhijrah hidup tanpa arah seperti anak ayam kehilangan ibu, Tuan Guru Syeikh Abu Kassim mengarahkan anak murid yang juga anak angkatnya, Tuan Guru Syeikh Ahmad menjadi ketua di petempatan baru ini. Tuan Guru Syeikh Ahmad dimakamkan di Kg. Kerangai Jelebu.
Malangnya, walaupun Kg. Sungai Bil menjadi petempatan terawal, perkembangan di sana agak berbeza dengan masyarakat Mandailing di Negeri Sembilan. Khabarnya, penggunaan bahasa Mandailing itu sendiri kian pupus di sana. Hanya beberapa orang tua sahaja yang masih mampu berbahasa Mandailing. Itupun, mereka tidak mengamalkannya lagi. Golongan dewasa apatah lagi generasi belia dan ke bawah bukan sahaja tidak mampu bertutur malah tidak faham apabila diajak berbicara dalam bahasa Mandailing. Cuma, yang saya kurang pasti adalah sambutan keraian seperti kenduri-kendara atau acara keagamaan, masihkah mengekalkan keunikan sambutan Mandailing ataupun tidak.
Tuesday, August 31, 2010
Merdekalah Aduhai Diri!
Salam merdeka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira apa bangsa, agama, dan warna kulit anda. Sedar atau tidak (tapi rasanya memang ramai yang tidak sedar diri), sambutan kali ini sudah menginjak setapak lagi iaitu sambutan kali ke-53. Melihat pada angka yang sudah melimpasi separuh abad itu seharusnya seluruh warga yang mengaku Malaysia ini adalah tanah tumpah darah, mampu untuk bersifat matang dan hidup harmoni seperti sebuah keluarga. Malangnya ketika kemeriahan sambutan hari bersejarah ini semakin tiba ke kemuncaknya, kita semakin diasak dengan pelbagai isu dan kontroversi yang pada saya meruncingkan, khususnya dalam membicarakan soal-soal hubungan kaum di negara ini.
Apa yang membimbangkan sekarang pada saya, bukanlah ancaman penjajah dari luar. Baik Barat, negara berjiran, dan termasuk juga Indonesia yang segelintir rakyatnya mahu menakluk Kuala Lumpur sebagai wilayah ke-34 kononnya, semuanya mampu kita tangani asalkan perpaduan dalam kalangan rakyat mampu kita kekalkan. Pada saya, masalah kita sekarang ialah rakyat kita sendiri yang tidak sudah-sudah membangkitkan isu-isu sensitif dengan alasan ingin mempertahankan hak kaum masing-masing. Semua kaum ada hak dalam negara ini kerana kita adalah warganegara Malaysia. Kita hidup harmoni selama ini kerana kita menerima apa yang telah dipersetujui bersama sebelum perisytiharan kemerdekaan dilakukan. Justeru, jawapannya mudah. Untuk kembali ke era gemilang itu, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Orang Asli, Iban, dan lain-lain kita harus berhenti meminta yang bukan-bukan dan dalam masa yang sama membakar emosi dan perasaan orang lain.
Harap-harap selepas ini, tidak ada lagilah muncul pengetua-pengetua yang bercakap lepas dan kasar. Juga janganlah ada Namewee lain yang timbul dan kemudian bercakap keras dan lucah. Saya sendiri belum puas untuk tidur lena dalam negara yang cukup aman ini. Apatah lagi, anak-anak saya. Berikanlah kami dan juga diri anda sendiri peluang!
Tuesday, August 3, 2010
Langkap yang Mengakrab
LANGKAP SENANTIASA MENGHADIRKAN WARNA CERIA
Tuesday, July 13, 2010
Mambaco Kayat: Sisi Lain Sambutan Isra' Mikraj

Bacaan syair dialunkan selama 3 malam berturut-turut. Syair yang dibacakan ialah "Syair Tarikh Peranakan Nabi" dan "Kisah Isra' Mikraj". Kedua-duanya ditulis dengan menggunakan tulisan jawi. Menurut prakata syair seperti yang terdapat pada muka hadapan buku (tetapi saya hanya memperoleh salinan fotokopinya sahaja) "Syair Tarikh Peranakan Nabi" diterjemahkan daripada kitab berbahasa Arab (tidak dinyatakan siapa pengarangnya) oleh Syeikh Muda Negeri Minangkabau. Bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu Minangkabau. Buku ini diterbitkan oleh Kedai Buku H. Abdullah B. M. Noordin Arrawi yang terletak di Pulau Pinang. Walaupun tarikh penerbitan tidak dinyatakan tetapi tarikh syair selesai diterjemahkan disebutkan dalam syair iaitu 4 Likur Zulhijjah 1345H.
Manakala, syair "Kisah Isra' Mikraj" diyakini (walaupun tidak dinyatakan) dikarang oleh Tuan Guru bagi masyarakat Mandailing yang berhijrah dari Indonesia ke Perak iaitu Tuan Guru Syeikh Abu Kassim. Beliau kemudiannya mempunyai seorang anak murid iaitu Syeikh Ahmad yang menjadi guru agama untuk masyarakat Mandailing yang berhijrah ke beberapa penempatan di Negeri Sembilan. Syair ini mula ditulis pada 1325H (1925M) tetapi tidak dinyatakan tahun selesai dikarang.
Hampirlah zahir junjungan alam
Datanglah Isa anak Mariam
Memujuk Aminah memberi faham
Wahai Aminah bonda Muhammad
Anak di rahim banyak mukjizat
Syafaat nan banyak hari kiamat
Sekalian umatnya mendapat pangkat
Muhammad Aminullah martabatnya tinggi
Itulah rasul hatamun nabi
Nabi akhir zaman sudah terjali
Siapa menyalahi mendapat rugi
Banyaklah misal jadi ibarat
Semua itu menyalahi adat
Dijadikan Allah Holikul Umat
Suatu misal dijadikan Tuhan
Baharu sebentar Nabi berjalan
Bertemu kaum bertanam tanaman
Sangat menjadi rupa kelihatan
Tanaman itu lain sekali
Tiap-tiap disabit tumbuhlah ganti
Seperti dahulu sangat menjadi
Sebentar itu sama sekali
Selain mendengar syair yang disusun dengan begitu indah sebagai halwa telinga, Mambaco Kayat juga sebenarnya menjadi medan membina ukhuwah sesama masyarakat kampung. Lewat program ini terserlah kejituan hubungan kekeluargaan antara setiap penduduk. Hari pertama sambutan, rewang akan diadakan di surau. Kaum ibu akan bergotong-royong memasak juadah tengah hari yang semua bahannya dibeli menggunakan wang sumbangan yang dikutip daripada masyarakat kampung beberapa hari sebelumnya. Dan pada tengah harinya, semua penduduk, baik golongan tua, muda mahupun kanak-kanak akan memenuhi surau untuk bersama-sama menikmati makanan yang disediakan. Majlis akan disudahi dengan zikir 99 nama Allah yang merupakan zikir rutin masyarakat Mandailing.
Sebelah malamnya pula (selama 3 malam), setiap keluarga akan membawa juadah dari rumah untuk menjadi hidangan setelah usai setiap sesi bacaan syair. Pada ketika itu, puluhan jenis kuih akan dapat dijamah, kebanyakannya dibuat sendiri tetapi disebabkan oleh kekangan masa dan kesibukan tugas, ada juga yang membeli sahaja. Tetapi apa yang pasti, kuih tradisi masyarakat Mandailing iaitu "puting-puting" tidak pernah ketinggalan dalam menu juadah.
.jpg)

p/s – Program sebegini sebenarnya menunjukkan kerelevanan karya sastera dalam mengembangkan dakwah. Oleh sebab itu, kita sering menemukan ulama terdahulu yang turut mahir menulis karya kreatif dan menjadikannya sebagai satu alat dalam penyebaran dakwah Islamiyah.

