Wednesday, March 17, 2010

Titipan Za'ba: Antara Madu dan Jadam

Perasaan bercampur-baur ketika bersama-sama teman-teman PEN di gerai jualan dan kuiz sempena program Titipan Za'ba di Teratak Za'ba di Batu Kikir. Perasaan gembira dan berbesar hati sudah pasti kerana Pn. Mahaya sudi melibatkan saya dalam program tersebut. Duduk di gerai PEN sambil melayan kerenah pengunjung yang pelbagai ragam sememangnya suatu pengalaman yang bakal kekal dalam kotak ingatan jangka panjang. Ditambah pula dengan puluhan soalan yang rencam, seolah-olah kita menjadi pakar rujuk, walhal, saya sendiri pun baru setahun jagung. Nasib baik juga ada Pn. Mahaya, Datin Sabariah, dan Zalila Isa yang nyata cukup berpengalaman, tepu ilmu, petah lidah, dan melimpah ramah. Program tersebut berlangsung pada hari persekolahan. Begitu pun, saya sedikit bertuah kerana sekolah saya turut dilibatkan dalam program yang dihadiri MB tersebut. SMK Juasseh diminta menghantar 40 murid untuk turut sama memeriahkan program yang diadakan khas bagi memperingati jasa dan sumbangan Pendeta Za'ba itu. Justeru, saya meminta ihsan agar dipilih sebagai salah seorang guru pengiring. Jutaan terima kasih juga buat Pn Norliza dan Pn Siti Hazar kerana sudi 'melepaskan' saya ke gerai PEN dan mengambil alih tugas saya mengawal kerenah anak-anak murid.
Gerai PEN

Begitu pun, ada juga perasaan sedih dan sedikit kecewa yang masih berbekas di atma. Sepanjang bertugas mengendalikan kuiz bahasa dan sastera di gerai PEN, kebanyakan yang singgah untuk memeriahkan aktiviti ialah golongan pelajar, guru, kakitangan agensi kerajaan yang lain, dan juga masyarakat setempat. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah masyarakat umumnya masih 'buta' tokoh dan perkembangan sastera tanah air. Gambar-gambar tokoh yang ditunjukkan – malah ada antaranya dalam kalangan sasterawan negara – gagal untuk dikenali oleh pengunjung yang singgah. Biar pun tidak semua begitu tetapi bolehlah dirumuskan, umumnya begitu. Novel-novel terkenal seperti Salina dan Seorang Tua di Kaki Gunung juga tidak dikenali siapa penulisnya. 

Begitu juga program deklamasi sajak yang dikhususkan untuk PEN pengendaliannya. Masa yang diperuntukkan jelas tidak sesuai – pukul 3.00 petang seusai Jumaat – kerana pada ketika itu jumlah pengunjung sudah jauh menyusut. Majlis perasmian diadakan pada sebelah pagi, gerai juga hanya dibuka sehingga tengah hari, justeru, siapakah lagi yang tinggal untuk menonton program deklamasi berkenaan? Keadaan semakin diburukkan apabila pertandingan memancing yang dijadualkan pada 4.00 petang telah diawalkan menyebabkan tumpuan penonton beralih ke acara yang barangkali lebih 'mengujakan' itu. Akhirnya, apa yang berlaku ialah, para deklamator seolah-olah hanya syok sendiri ketika mendeklamasikan sajak mereka. Penonton yang ada hanyalah dalam kalangan yang akan bersajak dan beberapa orang kakitangan Lembaga Muzium. Saya sendiri hampir-hampir membatalkan niat untuk mendeklamasikan sajak "Kitalah Tuan" yang penuh patriotik dan bersemangat dan menggantikannya dengan sajak yang lebih pendek dan bernada rendah. Bagaimanapun, saya kembali ke niat asal setelah mendengar kata-kata semangat Datin Sabariah agar jangan patah semangat dan kecewa dengan situasi yang berlaku. Tambahnya, buat sahaja seperti yang dirancang. Akhirnya, program deklamasi yang telah diatur tetap berlangsung dengan jayanya.

Sebenarnya, masalah sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Saya sering juga mendengar keluhan yang sama oleh penggiat yang lain di akhbar-akhbar dan juga di blog-blog. Sebagai guru juga, saya cukup faham bahawa masa depan kesusasteraan di sekolah – yang diharapkan menjadi tempat penyuburan kesusasteraan – sendiri masih kabur. Justeru, masalah kehilangan audiens dalam program-program kesusasteraan bukanlah suatu yang pelik. Saya akur tentang itu. Cuma, yang saya kesalkan ialah tiadanya perubahan dalam hal ini sejak sekian lama.

Apapun, saya harap itu tidak akan mematahkan semangat. Ketika ini, kata-kata Datin Sabariah kembali berngiang.  



Pn. Paridah mendeklamasikan sajak dan membacakan nazam
Penyair muda SMKJ: Ahmad Lutfi

Wednesday, March 10, 2010

Anak dan Kerenah


Ramai sahabat guru yang mengakui bahawa mengajar anak sendiri lebih susah berbanding mengajar anak orang lain. Sebab itulah ramai yang sanggup menghantar anak mereka ke pusat tuisyen walaupun terpaksa mengeluarkan biaya yang agak besar. Isteri sahabat saya seorang guru cemerlang bahasa Inggeris tetapi dia juga tidak sanggup mengajar anaknya subjek tersebut dan menghantarnya belajar ke rumah guru yang lain. 

Saya bersetuju tentang hal itu. Saya sendiri mengakui agak sukar mengawal emosi ketika berhadapan dengan kerenah anak-anak. Di rumah, selain akademik, saya juga adalah guru mengaji untuk anak-anak. Saya biasa-biasa sahaja tetapi sekadar mengajar anak sendiri, Insya Allah layak kot. 

Saya selalunya akan meluangkan 1 jam seusai Maghrib untuk menekuni bacaan anak-anak dan memperbetul mana yang salah dan kurang tepat. Begitu pun, saya sukar mengawal perasaan baran khususnya apabila anak-anak sering mengulangi kesilapan yang sama walaupun sudah diulang tegur berkali-kali. Sering sahaja anak-anak menjadi mangsa baran saya sehingga isteri yang melunaskan tugas-tugas di dapur acap menjenguk dan memberikan dehem ingatan. 

Biasanya, sebatang rotan akan setia di sisi saya sepanjang P&P mengaji berlangsung. Begitu pun, tugasnya hanya untuk menggertak sahaja. Bagaimanapun, suatu hari, saya gagal mengawal kawah kemarahan yang menggelegak (ditambah dengan beban tugas di sekolah yang menyerabutkan gedung fikir) sehingga saya terotan juga anak sulung saya selain tangan yang tidak henti mencubit ke pinggangnya. Kasihan dia, menitis juga air matanya sembari meneruskan bacaan dengan sendu yang ditahan-tahan. Tetapi seperti kebiasaannya seorang guru mengaji, saya tidak menunjukkan rasa simpati tetapi meneruskan lakonan bengis saya. Dua lagi anak saya menjadi pemerhati yang gelisah ketika menunggu giliran untuk memperdengarkan bacaan. 

Apa yang mengharukan adalah apabila anak ketiga saya mengambil gilirannya. Dia berumur 3 tahun dan baru merangkak-rangkak di helaian-helaian awal Iqra' 1. Dia sering gagal mengenal beberapa huruf terutamanya 'HA' walaupun diajar berkali-kali. Begitu juga pada hari itu. Keadaan itu menyebabkan baran saya datang kembali. Ketika dia melihat suara saya semakin meninggi, cepat-cepat dia bertanya. 

"Babah tak rotan kan?"

Terus baran saya hanyut entah ke mana. Segera saya usap kepalanya dan menyatakan bahawa saya tidak akan merotan adik walaupun silap. Saat itu juga, segera saya ingatkan diri kembali bahawa Islam mengajar kita menggunakan rotan untuk mendidik dan bukannya melampiaskan geram dan amarah.

Begitu pun sukarnya melayan kerenah anak-anak, saya sehingga kini masih lagi mahu memikul amanah itu. Anak-anakku, jangan lupa malam ini seusai Maghrib!



Tuesday, February 23, 2010

14 Februari dan Sang Isteri


Seorang sahabat dengan begitu bersungguh-sungguh memberitahu bahawa hukum menyambut Hari Valentine adalah haram. Menurutnya, orang Melayu ini suka meniru budaya barat tanpa menyelidik asal-usul dan sejarah sesuatu sambutan itu. Dia mula menceritakan kisah kematian paderi yang menjadi titik-tolak kepada sambutan Valentine tersebut yang sebenarnya sudah saya ketahui lama dahulu. Pada saat itu, saya hanya menjadi pendengar yang taat. Dan, ketika dia semakin rancak bercerita, saya tiba-tiba menyampuk;
 "Pada tarikh itu, saya tidak pernah lupa menitipkan sekeping kad cinta dan sekotak hadiah kasih untuk isteri."
 Mendengar tutur itu, dia tiba-tiba terkesiap. Saya yakin dia pasti terkejut dengan bicara saya itu.
 Saya menyambung, "Apa salahnya kalau sekadar bertukar-tukar rasa kasih dengan isteri. Kita bukan nak meraikan si paderi," saya sengaja menyalakan mancis amarahnya.
 Dan seperti yang diramal, bom jangka pun meletup.
 "Kenapa mesti hari itu. Kenapa tidak hari yang lain. Tak gunalah kita marahkan budak-budak sebab golongan terpelajar macam kita pun rupa-rupanya dua kali lima sahaja."  
 Saya setia mendengar leterannya yang berjela. Hanya setelah dia sudah kematian idea dan amarahnya mulai reda, saya bersuara kembali.
 "Itu tarikh lahir isteri saya," jawab saya pendek sembari menghulur senyum sinis kepadanya.
 Dia pun menepuk dahi sambil terbahak-bahak ketawa.

 (Sebenarnya, dialog di atas sudah sering saya gunakan untuk mengenakan kawan-kawan yang kuat menentang sambutan Hari Valentine dalam kalangan masyarakat Islam. Cuma, perbualan tersebut telah saya tokok tambah untuk menjadikannya lebih dramatik. )
 
Isteri saya lahir pada 14 Februari, justeru, setiap kali tiba detik itu, saya akan pastikan beliau menerima sesuatu daripada saya. Paling tidak, sebuah sajak cinta yang pastinya tidak sempurna kerana dikarang tergesa-gesa sebelum diletakkan di mana-mana yang mudah ditemuinya seusai dia bangun pukul lima keesokan paginya. Isteri tidak pernah merungut tetapi setiap kali dia menatap kad hari lahirnya, saya sering membayangkan hatinya akan mendesiskan begini; 'Kenyang aku tiap tahun makan sajak'. Barangkali. 

Apapun, selamat menyambut ulang tahun kelahiran untuk isteri yang tercinta. Terima kasih kerana memilih saya yang serba daif dan jahil sebagai suami. 


Isteriku yang istimewa
saban tahun ketika detik ini hadir
mahu saja kukutip setiap syiling yang tercicir
di celah-celah lipatan baju di almari
mahupun tersembunyi di kisi belakang langsir
dan berulang kuhitung dan kubilang
baki yang tinggal di buku simpanan

Isteriku yang tercinta
saban tahun ketika detik ini tiba
ingin sekali kukalungkan rantai cinta
ingin sekali kukalungkan cincin kasih
lantas kubisikkan kata sayang dan rindu
dan kau menghadiahkan ciuman di pipiku

Malangnya isteriku
setelah detik yang kutunggu ini sampai
hanya inilah tanda mata yang kukutip di kedai
kerana baki yang tercetak di buku simpanan
dan syiling yang terkumpul di genggaman
amaunnya mengharukan

Isteriku, selamat hari lahir.

   
   



Thursday, February 11, 2010

Dilema Kesusasteraan Melayu

Assalamualaikum

Agak menarik membelek Dewan Sastera keluaran Februari 2010. Pada bulan ini, fokus diberikan kepada pendidikan sastera di sekolah. Juga menarik menyelami rasa hati, luahan, saranan dan pandangan pensyarah-pensyarah yang juga kritikus tersohor melalui esei-esei mereka. Dapatlah disimpulkan, ketiga-tiganya memperkatakan keperluan kurikulum sastera di sekolah dikaji semula, bukan sahaja pengisiannya tetapi juga kaedah pemelajarannya. Walaupun pada pandangan saya – sebagai seorang guru kecil di sebuah daerah yang biasa – saranan dan pandangan itu menarik, tetapi agak pelik juga kenapa esei-esei ini terbit hanya setelah karya-karya baharu diperkenalkan. Untuk Kesusasteraan Melayu Elektif (KME), kelima-lima buah buku telahpun diajar mulai Januari. Begitu juga untuk KOMSAS, teks untuk Tingkatan 1 dan 4 sudahpun berada di sekolah. Justeru, nampaknya saranan yang diberikan terpaksalah disimpan sepuluh tahun lagi, iaitu apabila teks baharu diperkenalkan nanti.  
         Secara umumnya, saya menyetujui setiap yang disarankan. Cuma, ada beberapa perkara yang saya rasa perlu diperjelaskan. Misalnya, tentang guru yang mengajar sastera di sekolah yang dikatakan tidak terdidik dengan ilmu sastera. Pada pandangan saya, setelah menjadi guru sastera di tiga buah negeri, saya merasakan guru-guru sastera di sekolah masih berpendidikan sastera. Sebenarnya jumlah kami di sekolah cukup ramai sehingga ada dalam kalangan kami tidak mengajar subjek ini kerana tidak ditawarkan ataupun jika ada, hanya satu atau dua kelas yang dibuka. Hal ini bermakna, faktor guru yang tidak bertauliah sebenarnya tidak memberikan impak yang besar terhadap kemerosotan minat pelajar terhadap subjek ini. Begitu juga dengan cadangan memperkasa sastera di sekolah yang pada saya ada sebahagiannya telah dan sedang dilaksanakan.
          Bagaimanapun, saya sangat bersetuju seandainya kurikulum sastera dikaji semula. Cukup-cukuplah kita mengajar sastera dengan kaedah analisis teks secara formalistik (barangkali untuk KOMSAS masih boleh dipertimbangkan tetapi untuk KME tidak sesuai lagi). Sebenarnya analisis teks dengan menerangkan pelajar tentang tema, watak, plot, latar, nilai, sudut pandangan dan sebagainya adalah lebih membebankan (membosankan pelajar?) berbanding memberi fokus khusus kepada aspek pemikiran dan idea serta pertalian dengan pembangunan sahsiah diri dan bangsa. Misalnya, untuk KME teks baharu, sebanyak 46 buah sajak, 17 buah cerpen, 5 buah drama, 20 puisi tradisional, 6 buah prosa tradisional, dan 2 buah novel perlu dikaji secara formalistik selama 2 tahun. Aspek-aspek yang disebutkan tadilah perlu diajar ulang kepada pelajar saban minggu. Apa yang berbeza cuma karyanya sahaja. 
           Begitu juga dengan peranan sastera yang sering diuar-uarkan sebagai pembangun sahsiah diri, pembentuk jati diri dan perakam sejarah dan tamadun bangsa dan negara. Jujur saya katakan, ayat lunak itu tidak laku jika diluahkan (biar dengan cara yang paling berseni sekalipun) kepada pelajar dan ibu bapa, malah kepada pihak pentadbir sendiri. Apa yang mereka sering persoalkan, ke mana anak saya selepas ini? Apakah prospek kerjaya mereka? Boleh cari makan dengan sastera? Justeru, mahu tidak mahu, inilah yang harus difikirkan, khususnya oleh si pembuat dasar. 
         Atas faktor inilah –kita kembali kepada perubahan kurikulum yang disebutkan tadi – seelok-eloknya pihak Pusat Perkembangan Kurikulum yang bertanggungjawab dalam urusan ini perkenalkanlah topik-topik seperti SASTERA DAN MULTIMEDIA serta SASTERA DAN KERJAYA. Selain mendapat manfaat sedia ada apabila belajar sastera, pelajar-pelajar juga tidak perlu runsing dengan prospek kerjaya mereka. Mereka tahu pada alaf teknologi ini, peluang kerjaya mereka tetap ada, malah termasuk juga dalam bidang yang mereka tidak pernah terfikirkan sebelum ini. Saya juga, selepas ini, sebagai guru sastera tidak perlu lagi membuang masa untuk menerangkan mengapa perlu belajar sastera kerana topik itu sudah menjadi sebahagian daripada kurikulumnya.
          Wassalam.
  


Wednesday, January 20, 2010

AJK PEN 2010-2011

Assalamualaikum

Tahniah kepada AJK baharu PEN, semoga anda akan berusaha keras dalam melangsungkan hayat bahasa, sastera, dan budaya di negeri tercinta ini khususnya dan di Malaysia amnya.

AHLI JAWATANKUASA PEN 2010-2011

Ketua Satu : Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Dua : Dr. Mahdi Abdul Wahab
Setiausaha 1 : Datin Sabarriah Shukur
Setiausaha 2 : Puan Nisah Haron
Bendahari : Puan Norhazlin Yahya

Ahli Jawatankuasa :

Dr. Ani Omar
Encik Amiza Khusyri Yusof 
Puan Norhana Bakhary 
Puan Syarifah Salha Syed Ahmad 
Puan Zalila Isa 
Encik Mohd Faizal Said 
Puan Radziah Abdul Samad 

Pemeriksa kira-kira :

Puan Hajah Siti Zaleha Mahadi
Tuan Haji Abdul Amin Mohd. Kassim

Kredit gambar: Pn. Nisah Haron (Laman Web Rasmi PEN)

Thursday, January 7, 2010

Teks Baharu Kesusasteraan Melayu

Assalamualaikum

Bermula tahun 2010, bukan sahaja teks KOMSAS yang bertukar tetapi juga teks Kesusasteraan Melayu Elektif(KME). Nampak gayanya, ramailah penulis (yang berkenaan) akan mendapat durian runtuh. Selalunya di pasaran biasa, teks sastera susah nak dijual tetapi apabila terpilih sebagai teks khususnya KOMSAS, banyak-banyaklah bersyukur kepada Allah swt. 

         Di sekolah saya, tahun ini subjek KME kembali dibuka. Alhamdulillah, selama hampir 2 tahun saya dan beberapa sahabat lain berusaha, akhirnya pihak pengurusan bersetuju untuk mengembalikan subjek ini. Terima kasih kepada Tuan Pengetua kerana mengerti fungsi dan peranan subjek yang 'terpinggir' ini.

Saya berpindah ke sini Januari 2008. Saya diberitahu, subjek KME baru sahaja ditutup menyebabkan saya kecewa kerana sejak dari Sabah, inilah subjek opsyen, malah subjek kegemaran saya. Sejak itulah, usaha dilakukan secara berterusan bagi meyakinkan pihak pentadbir tentang kepentingan dan kerelevanan KME kembali diajar. Ternyata usaha tersebut berbaloi kerana pada tahun ini, KME kembali diperkenalkan. Bagaimanapun, keputusan tersebut menjadi peringatan kepada saya selaku tenaga pengajar untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan keputusan pelajar yang memberangsangkan.

Ketika bertugas di Sabah, ternyata sastera mendapat layanan yang lebih istimewa. Terdapat tiga kelas tingkatan 4 dan 5, kesemuanya mengambil subjek KME. Apabila berpindah ke Segamat, saya masih dapat mengajar subjek ini walaupun hanya tinggal dua kelas (1 kelas tingkatan 4 dan 1 kelas tingkatan 5). Walaupun beberapa kali ada usaha untuk menutupnya oleh pihak pentadbir yang rata-ratanya 'orang sains', Alhamdulillah kami tetap cekal bertahan. Malangnya, setelah saya berpindah pada 2007 ke Kuala Pilah, saya mendapat khabar, subjek tersebut telahpun ditutup dengan alasan kekurangan guru opsyen. Sedangkan saya tahu, walaupun saya berpindah masih ada beberapa guru yang boleh mengajar subjek tersebut. Saya yakin ada dalam kalangan sahabat yang tidak bersetuju dengan keputusan itu tetapi mungkin mereka malas nak bertekak berbanding saya yang sanggup bertikam lidah dalam mesyuarat dan juga di bilik pentadbir.

Anak Global: Antara teks kajian baharu KME

Sumber: http://glateh.blogspot.com

Untuk tahun ini, sebanyak 5 teks akan dikaji. terdapat 2 buah novel; Dari Lembah ke Puncak karya Ghazali Lateh, Jeriji Kasih karya Ramlah Abd. Rashid, Antologi Madu Ilmu dan Anak Global dan Antologi Puisi dan Prosa Tradisional Seuntai Kasih Secebis Harapan. Walaupun jumlah karya yang perlu dikuasai dan dianalisis agak banyak, saya berharap anak-anak didik saya akan cekal dan berusaha mencapai yang terbaik. Insya Allah.

Waktu Sibuk dan Waktu Lapang

Assalamualaikum,

Pejam celik pejam celik, cuti sekolah akhirnya melabuhkan tirai. Bermula 04 Januari tempoh hari, sekolah kembali dibuka. Agaknya bersorak gembiralah ibu bapa yang selama sebulan setengah ni 'sengsara' dan 'derita' mengawal anak-anak yang bercuti. Bukan sengaja nak reka cerita tetapi saya mendengar sendiri perbualan beberapa orang ibu yang tidak sabar-sabar menunggu sekolah buka. Kata mereka, sudah tidak tahan melayan kerenah anak-anak yang rencam dan pelbagai. Malah, ada pula yang menjadi Menteri Pelajaran dengan mengesyorkan agar cuti hujung tahun disingkatkan kepada 2 minggu. Lama sangat pun nak buat apa, kata mereka.

Apabila mendengar perbualan mereka, saya senyum sendiri. Mungkin tak semua yang begitu tetapi pasti boleh tahan juga jumlahnya. Sahabat saya, seorang warden asrama pernah memberitahu, ada penjaga yang merungut kerana anak mereka dibenarkan pulang dua minggu sekali. Kalau boleh, biarlah sebulan sekali. Bukan kerana bimbang tumpuan anak mereka terhadap pemelajaran terganggu tetapi alasannya ialah sibuk dan sukar menjaga anak di rumah.

Satu yang jarang difikirkan, jika ibu bapa sendiri berasa terbeban, bagaimana pula agaknya keadaan guru di sekolah. Ibu bapa hanya mengawal barangkali 2 atau 3 orang anak sahaja, sedangkan guru perlu mengawal antara 30 - 40 orang dalam satu kelas dan keseluruhannya antara 500 - 1500 pelajar. 

Justeru, hargailah guru yang mendidik anak-anak anda.

Kepada guru-guru di Malaysia, TERIMA KASIH atas pengorbanan anda. Sesungguhnya andalah tiang yang menjadi pasak pembangunan fizikal dan spiritual negara. Semoga usaha anda dirahmati dan mendapat ganjaran yang setimpal pada akhirnya.