Thursday, May 6, 2010

Anak Juga Mengajar


Wajah anak manis saya sebelum pertandingan
Ketika satu-satunya anak perempuan saya (setakat ini) memberitahu bahawa dia akan mewakili tadikanya untuk pertandingan tilawah, saya macam tidak percaya. Katanya, dia harus menghafal surah Ar- Rahman, ayat 1 hingga 6 berserta maksudnya sekali. Apa yang mengejutkan, dia telah pun menghafaz ayat-ayat tersebut. Cuma, tajwidlah yang perlu diperbaiki. Anak perempuan saya yang berusia 5 tahun itu, jika di rumah, pengajiannya baharu setakat Iqra' 3. Tetapi dengan kaedah hafazan, dia sudah berjaya menguasainya.

Sejak itulah, dia akan mendesak saya untuk mengajarnya setiap usai sesi mengaji. Memang agak sukar memperbaiki bacaan yang salah tetapi sudah sebati di lidahnya, apatah lagi anak saya (kesemuanya) memang ada masalah dengan sebutan huruf 'R' dan kalau dalam bacaan al-Quran tentulah huruf 'RO'. Tetapi dengan kesungguhan si anak kecil ini, dia berjaya juga meminimumkan kesalahan tajwidnya. Dan, Alhamdulillah, dia akhirnya berjaya, bukan sahaja johan pada peringkat DUN, tetapi juga pada peringkat Parlimen. Pada 22/5 nanti, dia akan mewakili daerah Kuala Pilah ke pertandingan peringkat negeri di Rembau. Tahniah untuk anak kesayangan Babah, semoga kesungguhan yang ditunjukkan akan juga dipraktikkan dalam perkara-perkara lain, khususnya dalam pelajaran dan ibadah, Insya Allah.

Kesungguhan yang ditunjukkan anak-anak kita sebenarnya memberikan kita iktibar dan pengajaran. Dengan kata lain, bukan kita sahaja yang dapat memberikan ilmu dan teladan untuk anak-anak tetapi anak-anak juga memberikan kita perkara yang sama. 

Terima kasih Durrotun Nasihah, selepas 34 tahun barulah Babah berjaya menghafaz 6 ayat awal Ar-Rahman.  

 
Menerima hadiah daripada YB Dato' Roslan Yusuf



Tuesday, May 4, 2010

Tahniah Pasukam Pantun SMKJ


Inilah wajah srikandi SMKJ; (dari kiri) Fatin, Shahira, Hidayah, dan Zulaikha

Tahniah kepada pasukan pantun SMK Juasseh kerana berjaya mempertahankan gelaran juara Pesta Pantun Sekolah-sekolah Daerah Kuala Pilah untuk kali yang kedua. Tahniah kepada Hidayah, Shahira, Zulaikha, dan Fatin kerana berjaya mengharumkan nama sekolah sekali lagi pada tahun ini. Untuk Zulaikha, pastinya kejayaan itu lebih manis kerana beliau berjaya menggondol anugerah Pemantun Terbaik. 

Sesungguhnya, kejayaan ini tidak hadir dengan mudah. Tanpa komitmen yang tinggi dan disiplin yang mantap, belum tentu kejayaan ini akan dicapai. Terima kasih kerana sanggup mengorbankan waktu senggang setiap petang dan juga hujung minggu semata-mata memenuhi tuntutan cikgu untuk hadir latihan. Terima kasih juga kerana tidak kunjung penat menghafal puluhan pantun sehingga semuanya tepu di kepala.

Selepas ini, pertandingan peringkat negeri pula menanti anda. Sudah tentu, tuntutan pengorbanannya lebih besar. Masih sudi bersama saya?

Zulaikha sedang beraksi di pentas

Aksi di pertandingan akhir

Shahira sedang menjual pantunnya

Menerima hadiah kemenangan

Sunday, April 25, 2010

Antara Boros dan Jimat

P. Kamalanathan meraikan kejayaannya di Hulu Selangor
*Dipetik daripada www.sinarharian.com.my


Tahniah kepada UBN kerana berjaya merampas kerusi P.94 dari tangan parti pemerintah di Selangor dengan majoriti yang lebih besar. Tahniah kepada P. Kamalanathan kerana berjaya melakukan apa yang GAGAL dilakukan oleh G. Palanivel pada 2008, walaupun pada dasarnya jawatan beliau dalam MIC lebih rendah daripada Timbalan Presiden parti terbesar kaum India itu. 

Untuk pihak UBN, inilah masa untuk menunaikan janji-janji pilihan raya. Rasanya jika dihitung, janji kempen yang telah dicanang di Hulu Selangor nilainya mencecah puluhan juta ringgit. Dalam pada semua kakitangan kerajaan diminta untuk berjimat cermat, kerajaan masih mampu memperuntukan sebanyak itu untuk sebuah kawasan parlimen sahaja. Begitu pun, siapalah kita untuk mempersoalkan. Sekiranya kaedah itu salah, sudah tentu SPR akan bertindak. Tetapi nampaknya, SPR tidak memberi apa-apa komen. Maknanya bolehlah tu.

Itu kemewahan di Hulu Selangor.

Ini pula dua kisah 'kecil' tentang dua orang guru yang saya yakin berlaku juga kepada guru-guru lain.

Kisah 1 - Seorang guru diminta untuk menjadi pegawai kejohanan olahraga MSSN di sebuah daerah yang jauhnya melebih 50 km dari rumah beliau. Jika sebelum ini, beliau boleh membuat tuntutan perjalanan (tercatat dalam surat lantikan), tetapi untuk tahun ini, berkemungkinan beliau harus menanggung sendiri perbelanjaan tersebut kerana tidak tercatat dalam surat lantikan bahawa beliau boleh memohon. Pegawai yang lebih atas dalam kejohanan tersebut juga tidak berani memberikan apa-apa jaminan. Begitu pun, guru yang berdedikasi dan patuh pada arahan ini, tetap juga melaksanakan tugasnya. Maka berulanglah beliau ke tempat kejohanan tersebut selama 4 hari tanpa memikirkan sama ada duit minyak yang telah didahulukannya akan dibayar semula. Dan berpanas hujanlah beliau selama 4 hari itu semata-mata untuk memenuhi arahan tersebut.

Kisah 2 - Mulai tahun ini (selaras dengan kempen penjimatan oleh kerajaan), dalam pertandingan peringkat daerah, peserta tidak perlu ke tempat pertandingan tetapi hakim akan ke setiap sekolah untuk membuat penilaian. Ini dipraktikkan untuk pertandingan yang melibatkan peserta yang ramai (tetapi yang pelik, nyanyian 'solo' juga, hakim yang datang ke sekolah, 3 orang pulak tu). Tujuannya hanya satu, mengurangkan perbelanjaan. Bagaimanapun, menurut salah seorang hakim yang ditanya, sehingga ke detik dia hadir ke sekolah untuk menilai persembahan peserta, masih belum ada hitam putih sama ada beliau boleh membuat tuntutan perjalanan atau tidak. Begitu pun, kerana arahan dan cinta akan tugas, beliau dahulukan juga duit poketnya untuk tujuan itu. Maka, keluarlah dia dari sekolah selama 3 hari dan bergerak dari satu sekolah ke satu sekolah untuk membuat penilaian yang sebenarnya tidak sampai 10 minit pun.

Kesimpulannya, rakyat keseluruhannya, jangan bimbang dengan banyaknya peruntukan dilaburkan di Hulu Selangor kerana seluruh sekolah-sekolah di Malaysia sudah mengimbanginya dengan penjimatan yang dilakukan.    

Sunday, April 18, 2010

Minggu-minggu Sibuk

Assalamualaikum... 

Alhamdulillah, bertemu lagi setelah sunyi daripada perkhabaran selama lebih tiga minggu. Tiga minggu sudah saya benar-benar sibuk. Setelah berkampung di padang sekolah pagi dan petang untuk menjayakan olahraga sekolah, saya ke TMS pula membawa pelajar, juga pagi dan petang selama seminggu. Balik ke sekolah terlibat pula dengan pertandingan sofbol peringkat negeri( SMK Juasseh menjadi tuan rumah), juga seminggu. Sebab itu tiada masa untuk menulis perkara baharu di blog.

Kali ini, saya tiada subjek sebenarnya. Saya menulis untuk memaklumkan saya masih ingin berblog. Belum bosan lagi. 

Terima kasih.


Sunday, March 21, 2010

Guru Itu Profesionnya Pelbagai

Guru ke pekerja kontrak sekolah?

Melihat kepada kesungguhan dan kecekalan para sahabat guru menyiapkan garisan balapan dan padang untuk kejohanan olahraga sekolah, saya tiba-tiba teringat dengan sebuah sajak yang dihasilkan ketika era sajak-sajak polos saya dahulu. Sengaja saya kategorikan sajak itu sebagai sajak polos kerana pada ketika itu saya tidak teliti dalam memilih diksi dan sering sahaja baris-baris sajak saya lewah dengan pelbagai kata yang tidak perlu (barangkali). Begitu pun, sajak itu masih mendapat tempat dalam sebuah majalah sastera untuk penulis baharu. 

Guru tua itu profesionnya pelbagai
mengajar itu tugas hakiki
tapi, dia juga peguam bijak dan bersahaja
dalam membongkar kelicikan pelajarnya
dia polis yang mesra tetapi tegas
kala disiplin semakin di luar batas
dia doktor yang lengkap beg rawatan
kaunter ubatan tanpa sebarang bayaran
dia pegawai bank yang baik hati
menghulur simpati dari kocek sendiri
malah, dia tidak silu memegang penyapu
tatkala kelasnya dipenuhi debu.

Sajak ini menyimpulkan bahawa tugas seorang guru sebenarnya bukan mudah. Guru itu boleh menjadi apa sahaja dan terpaksa membuat pelbagai kerja. Hal ini demikian kerana, tugas yang terbeban di pundak seorang guru bukan untuk mengajar semata-mata. Selain tugas pentadbiran dan pengurusan, guru itu juga perlu menjadi seorang doktor sekiranya anak muridnya tiba-tiba rebah atau pitam di tapak perhimpunan. Guru itu juga perlu menjadi polis yang tegas tatkala disiplin menjadi tidak terkawal. Malah, sebagai guru kelas, ramai guru terpaksa bersama-sama menyapu dan membersihkan kelasnya dengan anak-anak muridnya.

Begitu jugalah yang berlaku pada cuti pertengahan penggal yang baru berlalu. Guru terpaksa berkampung di sekolah hampir setiap hari mulai pagi hingga ke petang bagi menyiapkan garisan balapan untuk kejohanan olahraga sekolah. Terima kasih tidak terhingga khususnya buat "bos" Cikgu Azman, Cikgu Abdullah, Cikgu Mahathir, Cikgu Razali, Cikgu Muhriz, Cikgu Hasnol, dan Cikgu Nazbun kerana sanggup mengorbankan waktu cuti untuk bersama-sama menjadi 'hitam' di padang. Apa yang lebih membanggakan kebanyakan daripada mereka juga mengadakan kelas tambahan pada sebelah pagi. Habis sahaja kelas, terus tukar uniform dan bergegas ke padang membantu sahabat-sahabat yang lain. Tahniah dan terima kasih sekali lagi.  

Sesungguhnya, itulah hakikat seorang guru yang kadang-kadang gagal difahami oleh orang lain. Pada mereka, kerja paling mudah dalam dunia ialah menjadi guru. Masuk kerja pukul 7.30 pagi dan balik pada waktu tengah hari. Sebelah petang bolehlah goyang kaki di hadapan televisyen sambil mengunyah kacang goreng. Siapa yang rajin, mungkin boleh buat kerja sambilan; menoreh getah , bawa teksi dan sebagainya. Itulah pandangan klise tentang guru tetapi sebenarnya pandangan itu bersifat stigma dan mitos, yakni pandangan salah tetapi dianggap betul oleh masyarakat umum. Malah, sahabat saya seorang guru tetapi isterinya seorang kakitangan kerajaan agensi berlainan juga gagal memahami tugas suaminya. Dia pernah menceritakan kepada saya bahawa isterinya sering bertanya kenapa dia masih perlu ke sekolah ketika musim cuti persekolahan. Apabila diterangkan tentang tugas-tugas yang perlu dilunaskan, isterinya bertanya lagi kenapa dia yang harus lakukan dan tidak orang lain. 

Saya, nasib baiklah isteri saya juga guru. Kalau saya sengang-sengang di rumah waktu cuti, dia pula yang akan bertanya;

"Tak ke sekolah ke hari ni?" atau

"Takde buku ke nak ditanda?"

Alhamdulillah.





Wednesday, March 17, 2010

Titipan Za'ba: Antara Madu dan Jadam

Perasaan bercampur-baur ketika bersama-sama teman-teman PEN di gerai jualan dan kuiz sempena program Titipan Za'ba di Teratak Za'ba di Batu Kikir. Perasaan gembira dan berbesar hati sudah pasti kerana Pn. Mahaya sudi melibatkan saya dalam program tersebut. Duduk di gerai PEN sambil melayan kerenah pengunjung yang pelbagai ragam sememangnya suatu pengalaman yang bakal kekal dalam kotak ingatan jangka panjang. Ditambah pula dengan puluhan soalan yang rencam, seolah-olah kita menjadi pakar rujuk, walhal, saya sendiri pun baru setahun jagung. Nasib baik juga ada Pn. Mahaya, Datin Sabariah, dan Zalila Isa yang nyata cukup berpengalaman, tepu ilmu, petah lidah, dan melimpah ramah. Program tersebut berlangsung pada hari persekolahan. Begitu pun, saya sedikit bertuah kerana sekolah saya turut dilibatkan dalam program yang dihadiri MB tersebut. SMK Juasseh diminta menghantar 40 murid untuk turut sama memeriahkan program yang diadakan khas bagi memperingati jasa dan sumbangan Pendeta Za'ba itu. Justeru, saya meminta ihsan agar dipilih sebagai salah seorang guru pengiring. Jutaan terima kasih juga buat Pn Norliza dan Pn Siti Hazar kerana sudi 'melepaskan' saya ke gerai PEN dan mengambil alih tugas saya mengawal kerenah anak-anak murid.
Gerai PEN

Begitu pun, ada juga perasaan sedih dan sedikit kecewa yang masih berbekas di atma. Sepanjang bertugas mengendalikan kuiz bahasa dan sastera di gerai PEN, kebanyakan yang singgah untuk memeriahkan aktiviti ialah golongan pelajar, guru, kakitangan agensi kerajaan yang lain, dan juga masyarakat setempat. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah masyarakat umumnya masih 'buta' tokoh dan perkembangan sastera tanah air. Gambar-gambar tokoh yang ditunjukkan – malah ada antaranya dalam kalangan sasterawan negara – gagal untuk dikenali oleh pengunjung yang singgah. Biar pun tidak semua begitu tetapi bolehlah dirumuskan, umumnya begitu. Novel-novel terkenal seperti Salina dan Seorang Tua di Kaki Gunung juga tidak dikenali siapa penulisnya. 

Begitu juga program deklamasi sajak yang dikhususkan untuk PEN pengendaliannya. Masa yang diperuntukkan jelas tidak sesuai – pukul 3.00 petang seusai Jumaat – kerana pada ketika itu jumlah pengunjung sudah jauh menyusut. Majlis perasmian diadakan pada sebelah pagi, gerai juga hanya dibuka sehingga tengah hari, justeru, siapakah lagi yang tinggal untuk menonton program deklamasi berkenaan? Keadaan semakin diburukkan apabila pertandingan memancing yang dijadualkan pada 4.00 petang telah diawalkan menyebabkan tumpuan penonton beralih ke acara yang barangkali lebih 'mengujakan' itu. Akhirnya, apa yang berlaku ialah, para deklamator seolah-olah hanya syok sendiri ketika mendeklamasikan sajak mereka. Penonton yang ada hanyalah dalam kalangan yang akan bersajak dan beberapa orang kakitangan Lembaga Muzium. Saya sendiri hampir-hampir membatalkan niat untuk mendeklamasikan sajak "Kitalah Tuan" yang penuh patriotik dan bersemangat dan menggantikannya dengan sajak yang lebih pendek dan bernada rendah. Bagaimanapun, saya kembali ke niat asal setelah mendengar kata-kata semangat Datin Sabariah agar jangan patah semangat dan kecewa dengan situasi yang berlaku. Tambahnya, buat sahaja seperti yang dirancang. Akhirnya, program deklamasi yang telah diatur tetap berlangsung dengan jayanya.

Sebenarnya, masalah sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Saya sering juga mendengar keluhan yang sama oleh penggiat yang lain di akhbar-akhbar dan juga di blog-blog. Sebagai guru juga, saya cukup faham bahawa masa depan kesusasteraan di sekolah – yang diharapkan menjadi tempat penyuburan kesusasteraan – sendiri masih kabur. Justeru, masalah kehilangan audiens dalam program-program kesusasteraan bukanlah suatu yang pelik. Saya akur tentang itu. Cuma, yang saya kesalkan ialah tiadanya perubahan dalam hal ini sejak sekian lama.

Apapun, saya harap itu tidak akan mematahkan semangat. Ketika ini, kata-kata Datin Sabariah kembali berngiang.  



Pn. Paridah mendeklamasikan sajak dan membacakan nazam
Penyair muda SMKJ: Ahmad Lutfi

Wednesday, March 10, 2010

Anak dan Kerenah


Ramai sahabat guru yang mengakui bahawa mengajar anak sendiri lebih susah berbanding mengajar anak orang lain. Sebab itulah ramai yang sanggup menghantar anak mereka ke pusat tuisyen walaupun terpaksa mengeluarkan biaya yang agak besar. Isteri sahabat saya seorang guru cemerlang bahasa Inggeris tetapi dia juga tidak sanggup mengajar anaknya subjek tersebut dan menghantarnya belajar ke rumah guru yang lain. 

Saya bersetuju tentang hal itu. Saya sendiri mengakui agak sukar mengawal emosi ketika berhadapan dengan kerenah anak-anak. Di rumah, selain akademik, saya juga adalah guru mengaji untuk anak-anak. Saya biasa-biasa sahaja tetapi sekadar mengajar anak sendiri, Insya Allah layak kot. 

Saya selalunya akan meluangkan 1 jam seusai Maghrib untuk menekuni bacaan anak-anak dan memperbetul mana yang salah dan kurang tepat. Begitu pun, saya sukar mengawal perasaan baran khususnya apabila anak-anak sering mengulangi kesilapan yang sama walaupun sudah diulang tegur berkali-kali. Sering sahaja anak-anak menjadi mangsa baran saya sehingga isteri yang melunaskan tugas-tugas di dapur acap menjenguk dan memberikan dehem ingatan. 

Biasanya, sebatang rotan akan setia di sisi saya sepanjang P&P mengaji berlangsung. Begitu pun, tugasnya hanya untuk menggertak sahaja. Bagaimanapun, suatu hari, saya gagal mengawal kawah kemarahan yang menggelegak (ditambah dengan beban tugas di sekolah yang menyerabutkan gedung fikir) sehingga saya terotan juga anak sulung saya selain tangan yang tidak henti mencubit ke pinggangnya. Kasihan dia, menitis juga air matanya sembari meneruskan bacaan dengan sendu yang ditahan-tahan. Tetapi seperti kebiasaannya seorang guru mengaji, saya tidak menunjukkan rasa simpati tetapi meneruskan lakonan bengis saya. Dua lagi anak saya menjadi pemerhati yang gelisah ketika menunggu giliran untuk memperdengarkan bacaan. 

Apa yang mengharukan adalah apabila anak ketiga saya mengambil gilirannya. Dia berumur 3 tahun dan baru merangkak-rangkak di helaian-helaian awal Iqra' 1. Dia sering gagal mengenal beberapa huruf terutamanya 'HA' walaupun diajar berkali-kali. Begitu juga pada hari itu. Keadaan itu menyebabkan baran saya datang kembali. Ketika dia melihat suara saya semakin meninggi, cepat-cepat dia bertanya. 

"Babah tak rotan kan?"

Terus baran saya hanyut entah ke mana. Segera saya usap kepalanya dan menyatakan bahawa saya tidak akan merotan adik walaupun silap. Saat itu juga, segera saya ingatkan diri kembali bahawa Islam mengajar kita menggunakan rotan untuk mendidik dan bukannya melampiaskan geram dan amarah.

Begitu pun sukarnya melayan kerenah anak-anak, saya sehingga kini masih lagi mahu memikul amanah itu. Anak-anakku, jangan lupa malam ini seusai Maghrib!