Sunday, May 16, 2010

Yang Bernama Guru

Yang Bernama Guru

Seorang guru dengan kapur ilmu
acap sudah menuliskan kejayaan
di papan kehidupan berlaksa pelajar
walau berdekad usianya lunas di medan ini
dia tidak sekali mengungkap jemu
tugasku belum sempurna, katanya 
selagi jarum hayat belum berhenti
selagi roh belum dijemput pergi.

Guru itu profesionnya pelbagai
mengajar itu tugas hakiki
tapi, dia juga peguam yang petah lidah
bijak tindak mematah setiap helah
dia polis yang mesra tetapi tegas
kala disiplin di luar batas waras
dia doktor yang lengkap beg rawatan
kaunter ubatan sifar bayaran
dia pegawai bank yang baik hati
menghulur simpati dari kocek sendiri
malah, dia tidak silu memesrai penyapu
tatkala kelasnya dipenuhi debu.

Guru itu masih berjawatan lama di sekolah lama
sedang doktor yang dilentur sudah menerima pesakitnya
peguam yang ditatih sudah memenangi kesnya
politikus yang dipimpin sudah menduduki kerusinya
usahawan yang diasuh sudah berbuah untungnya

Guru itu ketika ditanya
ada bekas pelajar menjengukmu?
jawabnya sembari senyum penuh makna
mendidik itu tanggungjawab rasmi dan bergaji
jadi, apa perlu mereka ke sini.
SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA GURU DI MALAYSIA DAN GURU-GURU YANG TELAH BERJASA SEHINGGA MELAHIRKAN SEMUA GURU YANG ADA SEKARANG.










Tuesday, May 11, 2010

Sejarah 1992: Mampukah Diulangi?




Mampukah sejarah 1992 berulang?
Kemenangan 3 – 2 pasukan Jepun ke atas pasukan Piala Thomas negara seolah-olah mengiakan pandangan umum sebelum ini, iaitu hanya Datuk Lee Chong Wei dan pasangan Koo-Tan mampu menyumbang mata untuk negara. Walaupun kita bermula agak baik dengan mendahului 2 – 0, tetapi kita gagal mencuri satu kemenangan dari 3 perlawanan terakhir. Saya sebagai peminat paling kecewa apabila bergu kedua Farizuan – Zakri dan perseorangan ketiga Hafiz gagal memenuhi harapan seluruh peminat untuk sekurang-kurangnya memberikan satu mata untuk negara. Walaupun kita tetap berjaya ke suku akhir sebagai naib johan kumpulan, tetapi rasanya dengan persembahan pembukaan yang ditunjukkan, minta maaf, saya terpaksa katakan, kita mungkin sekali lagi akan berputih mata (harap-harap saya salah). Kita baharu berhadapan dengan Jepun, belum lagi gergasi badminton lain seperti China dan Indonesia.

Saya juga turut kecewa dengan sikap Farizuan yang gagal mengawal emosi apabila dihujani cemuhan penyokong sendiri. Nampaknya, kem yang dibuat selama berminggu-minggu (antaranya turut menekankan ketahanan mental) untuk pasukan badminton negara, gagal membentuk sahsiah dan ketahanana mental pemain-pemain kita. Saya terfikir bagaimana pula agaknya, jika beliau berhadapan dengan penyokong Indonesia di Istora Senayan. 
Farizuan perlu  belajar mengawal emosi jika ingin sebaris
dengan pemain handalan dunia yang lain


Dari satu sisi, sikap penonton yang bersikap 'sokong membawa rebah' memang tidak menguntungkan. Penonton perlu bersama-sama pemain, biar dalam apa keadaan sekalipun. Begitu pun, satu hal yang perlu difikirkan juga, penonton yang sanggup mengeluarkan biaya sendiri ke stadium, pastinya inginkan persembahan terbaik daripada pasukan yang mereka sokong. Kalah atau menang, adat permainan. Bagaimanapun, kekalahan perlulah dengan sifat melawan dan bukannya bermain secara ala kadar dan sambil lewa. Sesiapa yang menonton perlawanan tersebut, pasti bersetuju bahawa dari awal lagi, tiada tanda-tanda pasukan bergu negara akan menang. Dan kesudahannya, begitulah; tewas dua set terus dengan mudah. Rasanya sudah sampai masa untuk Rexy memikirkan mempertaruhkan bergu ketiga untuk perlawanan seterusnya. Biarpun muda dan masih mentah, barangkali azam dan semangat mereka lebih baik dari yang lain-lain. 

Perlawanan penentu antara Hafiz dan Sato juga mengecewakan. Dengan jurang ranking antara kedua-duanya, selain rekod pertemuan, Hafiz seharusnya tidak mempunyai masalah meratah Sato di laman sendiri. Sekali lagi, hal sebaliknya berlaku. Hafiz sering mengeluh penonton tidak bersama-samanya menyebabkan prestasinya semakin merudum. Bagaimanapun, malam tadi jelas penonton di arena telah melupakan rentetan kedukaan yang dihadiahkan Hafiz dengan memberikan sokongan padu sehinggalah ke mata penamat. Malangnya, Hafiz sekali lagi menghadiahkan episod duka untuk penonton.

Seorang sahabat pernah meluahkan rasa hairannya, mengapa Hafiz yang suatu ketika berada di puncak dunia dengan memenangi kejohanan All England, tiba-tiba melalui episod duka dalam kerjayanya. Dia hairan mengapa begitu mendadak sekali. Saya secara berseloroh mengatakan, Hafiz selepas All England, dah pandai pakai rantai. Dia ketawa.

(Saya apabila melihat Hafiz, entah mengapa sering sahaja terbayangkan watak Syahir dalam novel Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring. Entah mengapa saya rasakan Syahir itu Hafiz dan Hafiz itu Syahir, walaupun keperibadian dan sahsiah kedua-duanya jauh berbeza. Barangkali saya sangat berharap ada pemain Islam kita nanti akan tampil seperti Syahir. Dan melihat ciputan pemain Melayu yang ada, hanya Hafiz yang menonjol. Barangkali itulah sebabnya saya melihat Hafiz itu Syahir.)

Apapun yang berlaku malam tadi, pasukan negara akan tetap ke suku akhir. Kita bakal bertemu Denmark dan jika berjaya melepasi halangan penuh liku itu (tetapi menurut Rashid peluang kita cerah – harap-harap begitulah), tsunami China menanti kita. 

Pasukan badminton Malaysia, seluruh negara menantikan sentuhan magis anda!









 




Thursday, May 6, 2010

Anak Juga Mengajar


Wajah anak manis saya sebelum pertandingan
Ketika satu-satunya anak perempuan saya (setakat ini) memberitahu bahawa dia akan mewakili tadikanya untuk pertandingan tilawah, saya macam tidak percaya. Katanya, dia harus menghafal surah Ar- Rahman, ayat 1 hingga 6 berserta maksudnya sekali. Apa yang mengejutkan, dia telah pun menghafaz ayat-ayat tersebut. Cuma, tajwidlah yang perlu diperbaiki. Anak perempuan saya yang berusia 5 tahun itu, jika di rumah, pengajiannya baharu setakat Iqra' 3. Tetapi dengan kaedah hafazan, dia sudah berjaya menguasainya.

Sejak itulah, dia akan mendesak saya untuk mengajarnya setiap usai sesi mengaji. Memang agak sukar memperbaiki bacaan yang salah tetapi sudah sebati di lidahnya, apatah lagi anak saya (kesemuanya) memang ada masalah dengan sebutan huruf 'R' dan kalau dalam bacaan al-Quran tentulah huruf 'RO'. Tetapi dengan kesungguhan si anak kecil ini, dia berjaya juga meminimumkan kesalahan tajwidnya. Dan, Alhamdulillah, dia akhirnya berjaya, bukan sahaja johan pada peringkat DUN, tetapi juga pada peringkat Parlimen. Pada 22/5 nanti, dia akan mewakili daerah Kuala Pilah ke pertandingan peringkat negeri di Rembau. Tahniah untuk anak kesayangan Babah, semoga kesungguhan yang ditunjukkan akan juga dipraktikkan dalam perkara-perkara lain, khususnya dalam pelajaran dan ibadah, Insya Allah.

Kesungguhan yang ditunjukkan anak-anak kita sebenarnya memberikan kita iktibar dan pengajaran. Dengan kata lain, bukan kita sahaja yang dapat memberikan ilmu dan teladan untuk anak-anak tetapi anak-anak juga memberikan kita perkara yang sama. 

Terima kasih Durrotun Nasihah, selepas 34 tahun barulah Babah berjaya menghafaz 6 ayat awal Ar-Rahman.  

 
Menerima hadiah daripada YB Dato' Roslan Yusuf



Tuesday, May 4, 2010

Tahniah Pasukam Pantun SMKJ


Inilah wajah srikandi SMKJ; (dari kiri) Fatin, Shahira, Hidayah, dan Zulaikha

Tahniah kepada pasukan pantun SMK Juasseh kerana berjaya mempertahankan gelaran juara Pesta Pantun Sekolah-sekolah Daerah Kuala Pilah untuk kali yang kedua. Tahniah kepada Hidayah, Shahira, Zulaikha, dan Fatin kerana berjaya mengharumkan nama sekolah sekali lagi pada tahun ini. Untuk Zulaikha, pastinya kejayaan itu lebih manis kerana beliau berjaya menggondol anugerah Pemantun Terbaik. 

Sesungguhnya, kejayaan ini tidak hadir dengan mudah. Tanpa komitmen yang tinggi dan disiplin yang mantap, belum tentu kejayaan ini akan dicapai. Terima kasih kerana sanggup mengorbankan waktu senggang setiap petang dan juga hujung minggu semata-mata memenuhi tuntutan cikgu untuk hadir latihan. Terima kasih juga kerana tidak kunjung penat menghafal puluhan pantun sehingga semuanya tepu di kepala.

Selepas ini, pertandingan peringkat negeri pula menanti anda. Sudah tentu, tuntutan pengorbanannya lebih besar. Masih sudi bersama saya?

Zulaikha sedang beraksi di pentas

Aksi di pertandingan akhir

Shahira sedang menjual pantunnya

Menerima hadiah kemenangan

Sunday, April 25, 2010

Antara Boros dan Jimat

P. Kamalanathan meraikan kejayaannya di Hulu Selangor
*Dipetik daripada www.sinarharian.com.my


Tahniah kepada UBN kerana berjaya merampas kerusi P.94 dari tangan parti pemerintah di Selangor dengan majoriti yang lebih besar. Tahniah kepada P. Kamalanathan kerana berjaya melakukan apa yang GAGAL dilakukan oleh G. Palanivel pada 2008, walaupun pada dasarnya jawatan beliau dalam MIC lebih rendah daripada Timbalan Presiden parti terbesar kaum India itu. 

Untuk pihak UBN, inilah masa untuk menunaikan janji-janji pilihan raya. Rasanya jika dihitung, janji kempen yang telah dicanang di Hulu Selangor nilainya mencecah puluhan juta ringgit. Dalam pada semua kakitangan kerajaan diminta untuk berjimat cermat, kerajaan masih mampu memperuntukan sebanyak itu untuk sebuah kawasan parlimen sahaja. Begitu pun, siapalah kita untuk mempersoalkan. Sekiranya kaedah itu salah, sudah tentu SPR akan bertindak. Tetapi nampaknya, SPR tidak memberi apa-apa komen. Maknanya bolehlah tu.

Itu kemewahan di Hulu Selangor.

Ini pula dua kisah 'kecil' tentang dua orang guru yang saya yakin berlaku juga kepada guru-guru lain.

Kisah 1 - Seorang guru diminta untuk menjadi pegawai kejohanan olahraga MSSN di sebuah daerah yang jauhnya melebih 50 km dari rumah beliau. Jika sebelum ini, beliau boleh membuat tuntutan perjalanan (tercatat dalam surat lantikan), tetapi untuk tahun ini, berkemungkinan beliau harus menanggung sendiri perbelanjaan tersebut kerana tidak tercatat dalam surat lantikan bahawa beliau boleh memohon. Pegawai yang lebih atas dalam kejohanan tersebut juga tidak berani memberikan apa-apa jaminan. Begitu pun, guru yang berdedikasi dan patuh pada arahan ini, tetap juga melaksanakan tugasnya. Maka berulanglah beliau ke tempat kejohanan tersebut selama 4 hari tanpa memikirkan sama ada duit minyak yang telah didahulukannya akan dibayar semula. Dan berpanas hujanlah beliau selama 4 hari itu semata-mata untuk memenuhi arahan tersebut.

Kisah 2 - Mulai tahun ini (selaras dengan kempen penjimatan oleh kerajaan), dalam pertandingan peringkat daerah, peserta tidak perlu ke tempat pertandingan tetapi hakim akan ke setiap sekolah untuk membuat penilaian. Ini dipraktikkan untuk pertandingan yang melibatkan peserta yang ramai (tetapi yang pelik, nyanyian 'solo' juga, hakim yang datang ke sekolah, 3 orang pulak tu). Tujuannya hanya satu, mengurangkan perbelanjaan. Bagaimanapun, menurut salah seorang hakim yang ditanya, sehingga ke detik dia hadir ke sekolah untuk menilai persembahan peserta, masih belum ada hitam putih sama ada beliau boleh membuat tuntutan perjalanan atau tidak. Begitu pun, kerana arahan dan cinta akan tugas, beliau dahulukan juga duit poketnya untuk tujuan itu. Maka, keluarlah dia dari sekolah selama 3 hari dan bergerak dari satu sekolah ke satu sekolah untuk membuat penilaian yang sebenarnya tidak sampai 10 minit pun.

Kesimpulannya, rakyat keseluruhannya, jangan bimbang dengan banyaknya peruntukan dilaburkan di Hulu Selangor kerana seluruh sekolah-sekolah di Malaysia sudah mengimbanginya dengan penjimatan yang dilakukan.    

Sunday, April 18, 2010

Minggu-minggu Sibuk

Assalamualaikum... 

Alhamdulillah, bertemu lagi setelah sunyi daripada perkhabaran selama lebih tiga minggu. Tiga minggu sudah saya benar-benar sibuk. Setelah berkampung di padang sekolah pagi dan petang untuk menjayakan olahraga sekolah, saya ke TMS pula membawa pelajar, juga pagi dan petang selama seminggu. Balik ke sekolah terlibat pula dengan pertandingan sofbol peringkat negeri( SMK Juasseh menjadi tuan rumah), juga seminggu. Sebab itu tiada masa untuk menulis perkara baharu di blog.

Kali ini, saya tiada subjek sebenarnya. Saya menulis untuk memaklumkan saya masih ingin berblog. Belum bosan lagi. 

Terima kasih.


Sunday, March 21, 2010

Guru Itu Profesionnya Pelbagai

Guru ke pekerja kontrak sekolah?

Melihat kepada kesungguhan dan kecekalan para sahabat guru menyiapkan garisan balapan dan padang untuk kejohanan olahraga sekolah, saya tiba-tiba teringat dengan sebuah sajak yang dihasilkan ketika era sajak-sajak polos saya dahulu. Sengaja saya kategorikan sajak itu sebagai sajak polos kerana pada ketika itu saya tidak teliti dalam memilih diksi dan sering sahaja baris-baris sajak saya lewah dengan pelbagai kata yang tidak perlu (barangkali). Begitu pun, sajak itu masih mendapat tempat dalam sebuah majalah sastera untuk penulis baharu. 

Guru tua itu profesionnya pelbagai
mengajar itu tugas hakiki
tapi, dia juga peguam bijak dan bersahaja
dalam membongkar kelicikan pelajarnya
dia polis yang mesra tetapi tegas
kala disiplin semakin di luar batas
dia doktor yang lengkap beg rawatan
kaunter ubatan tanpa sebarang bayaran
dia pegawai bank yang baik hati
menghulur simpati dari kocek sendiri
malah, dia tidak silu memegang penyapu
tatkala kelasnya dipenuhi debu.

Sajak ini menyimpulkan bahawa tugas seorang guru sebenarnya bukan mudah. Guru itu boleh menjadi apa sahaja dan terpaksa membuat pelbagai kerja. Hal ini demikian kerana, tugas yang terbeban di pundak seorang guru bukan untuk mengajar semata-mata. Selain tugas pentadbiran dan pengurusan, guru itu juga perlu menjadi seorang doktor sekiranya anak muridnya tiba-tiba rebah atau pitam di tapak perhimpunan. Guru itu juga perlu menjadi polis yang tegas tatkala disiplin menjadi tidak terkawal. Malah, sebagai guru kelas, ramai guru terpaksa bersama-sama menyapu dan membersihkan kelasnya dengan anak-anak muridnya.

Begitu jugalah yang berlaku pada cuti pertengahan penggal yang baru berlalu. Guru terpaksa berkampung di sekolah hampir setiap hari mulai pagi hingga ke petang bagi menyiapkan garisan balapan untuk kejohanan olahraga sekolah. Terima kasih tidak terhingga khususnya buat "bos" Cikgu Azman, Cikgu Abdullah, Cikgu Mahathir, Cikgu Razali, Cikgu Muhriz, Cikgu Hasnol, dan Cikgu Nazbun kerana sanggup mengorbankan waktu cuti untuk bersama-sama menjadi 'hitam' di padang. Apa yang lebih membanggakan kebanyakan daripada mereka juga mengadakan kelas tambahan pada sebelah pagi. Habis sahaja kelas, terus tukar uniform dan bergegas ke padang membantu sahabat-sahabat yang lain. Tahniah dan terima kasih sekali lagi.  

Sesungguhnya, itulah hakikat seorang guru yang kadang-kadang gagal difahami oleh orang lain. Pada mereka, kerja paling mudah dalam dunia ialah menjadi guru. Masuk kerja pukul 7.30 pagi dan balik pada waktu tengah hari. Sebelah petang bolehlah goyang kaki di hadapan televisyen sambil mengunyah kacang goreng. Siapa yang rajin, mungkin boleh buat kerja sambilan; menoreh getah , bawa teksi dan sebagainya. Itulah pandangan klise tentang guru tetapi sebenarnya pandangan itu bersifat stigma dan mitos, yakni pandangan salah tetapi dianggap betul oleh masyarakat umum. Malah, sahabat saya seorang guru tetapi isterinya seorang kakitangan kerajaan agensi berlainan juga gagal memahami tugas suaminya. Dia pernah menceritakan kepada saya bahawa isterinya sering bertanya kenapa dia masih perlu ke sekolah ketika musim cuti persekolahan. Apabila diterangkan tentang tugas-tugas yang perlu dilunaskan, isterinya bertanya lagi kenapa dia yang harus lakukan dan tidak orang lain. 

Saya, nasib baiklah isteri saya juga guru. Kalau saya sengang-sengang di rumah waktu cuti, dia pula yang akan bertanya;

"Tak ke sekolah ke hari ni?" atau

"Takde buku ke nak ditanda?"

Alhamdulillah.