Saturday, April 23, 2011

Rumah Perkahwinan

Rumah perkahwinan adalah syurga

di dunia, tiada lagi yang sepertinya



Tiba-tiba sahaja dua baris akhir sajak saya yang bertajuk "Rumah Perkahwinan" yang saya tulis hampir tujuh tahun dahulu menjengah kotak ingatan setelah berlaku satu insiden yang mungkin biasa pada orang lain, tetapi kepada saya, situasi itu benar-benar menyebabkan saya jauh hati. Pada ketika itu, saya tahu, apa yang perlu dilakukan ialah berdiam dan pulang mencari ketenangan. Ternyata, rumah perkahwinan sememangnya syurga yang menenangkan. Melihat isteri yang setia menunggu dengan hidangan tengah hari yang membugar selera dan anak-anak yang berebut-rebut ingin memeluk sejurus pulang, segala amarah tertinggal di pintu pagar. Malah, segala lelah menjadi nikmat apabila seusai Zohor, isteri mengisi masanya yang tidak pernah senggang dengan memicit-micit badan saya setelah saya yang tidak berniat pun untuk dimanjakan, mengadu lenguh seluruh badan.


Terima kasih isteri kerana menjadi suri yang sering memahami. Terima kasih rumah perkahwinan kerana menjadi penawar segala lelah dan amarah. Terima kasih Ilahi kerana menganugerahkan syurga dunia ini.


* Saya tidak tahu kenapa setelah lama tidak mengirim entri, tiba-tiba saya bercerita begini. Apa yang pasti, apabila hati tersentuh dan bibir gagal mengungkap bicara, kalam mengambil giliran untuk berkata-kata.