Monday, July 4, 2011

Wira Tak Didendang


Tidak disangka-sangka, kunjungan ziarah ke rumah tokoh-tokoh PEN baru-baru ini telah menemukan saya semula dengan tokoh guru yang begitu saya sanjungi. Cikgu Mazwin, guru yang pernah mendidik saya di SMK DAS dulu, rupa-rupanya tinggal setaman dengan Datuk Mohd Pilus. Kebetulan, Pn. Mahaya mengenali beliau dan membawa saya ke rumahnya. Cikgu Mazwin tidak lagi mengenali saya. Ya, saya faham. Saya sendiri yang baharu menjawat profesion guru selama 10 tahun sudah mempunyai ribuan pelajar, apa lagi beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih dua dekad. Memang sewajibnya seorang pelajar yang mengingati gurunya.

     Saya mengakui dalam sekian ramai guru yang pernah mendidik saya menjadi manusia, saya tidak malu mengakui bahawa Cikgu Mazwin antara yang istimewa. Beliau mengajar saya subjek Kesusasteraan Melayu, subjek yang baharu saya kenal hanya selepas memasuki Tingkatan Empat. Jika diikutkan, beliau hanya mengajar saya selama setahun tetapi sehingga sekarang jasa dan ilmu yang diberikannya sentiasa segar dalam mandala ingatan saya. Beliaulah yang menanam jiwa kesusasteraan dan akar penulisan dalam diri saya. Kesusasteraan Melayu menjadi subjek 'fanatik' saya kerana pada saya, Cikgu Mazwin mempersembahkannya dengan begitu indah. Saya senantiasa tertunggu-tunggu kehadirannya setiap hari kerana tidak sabar-sabar menunggu butir bicara yang terbit daripada mulutnya.
     Cikgu Mazwin sangat kaya dengan falsafah. "Bukan susah nak susah, bukan senang nak senang" antara sekian banyak falsafah yang sering dilontarkan oleh beliau kepada kami di dalam kelas. Saya tahu Cikgu Mazwin tidak mencipta falsafah ini tetapi apa yang saya tahu, saya kenal dan faham falsafah tersebut hasil ajaran beliau.
     Satu perkara lagi yang menyebabkan saya begitu menghargai beliau ialah buku yang pernah dihadiahkannya setelah saya berjaya mendapat markah tertinggi dalam subjek Kesusasteraan Melayu. Saya masih ingat kata-kata hikmat yang dituliskan dalam buku Keris Laksamana Bentan yang dihadiahkannya. Sehingga sekarang, buku tersebut masih tersusun cantik di rak buku di perpustakaan mini saya. Bagi Cikgu Mazwin, pemberian itu mungkin perkara biasa yang dilakukan oleh seorang guru untuk anak muridnya. Tetapi pada saya pemberian tersebut cukup bermakna kerana merasakan beliau menghargai kebolehan saya. Sementelahan pula, pada ketika itu, beliau mungkin tidak tahu bahawa saya memang tidak mempunyai wang mencukupi untuk membelinya sendiri kerana faktor kewangan keluarga (pada masa itu, teks sastera terpaksa dibeli sendiri kerana tidak ada stok di sekolah memandangkan teks berkenaan merupakan teks baharu). 
     Pada masa ini, Cikgu Mazwin masih seorang guru dan saya juga seorang guru. Saya juga mengajar kesusasteraan di sekolah. Tetapi saya senantiasa berasa kerdil di dalam kelas kerana sehingga sekarang saya masih gagal menjelmakan watak Cikgu Mazwin dalam pengajaran saya. Saya sering berangan mengajar seperti beliau tetapi rasanya sehingga sekarang belum tercapai lagi. Ternyata Cikgu Mazwin memang istimewa.
     Semalam (selepas pertemuan tempoh hari), pesanan ringkas daripada beliau muncul di skrin telefon bimbit saya. Antara lain katanya, "…semoga karya kamu diselitkan unsur Islam, mana tahu karya kamu berjaya membuka pintu hati orang lain, lagipun kehidupan bukan lama semoga apa yang diusahakan menjadi amal jariah di sana. Semoga terus berkarya." 
     Mungkin pada sesetengah orang, nasihat itu biasa sahaja. Tetapi pada saya, apabila amanat seperti itu datang daripada Cikgu Mazwin, kata-kata itu menjadi cukup istimewa. 
Terima kasih cikgu.


Program Ziarah Mesra

     Program Ziarah Mesra anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) bukanlah suatu program baharu. Kegiatan ini secara tradisinya sudah menjadi acara rutin PEN saban tahun bagi mengenang tokoh-tokoh yang banyak menyumbang jasa kepada persatuan. Cuma, belakangan ini, kegiatan ini agak lama terhenti kerana kekangan waktu senggang dan aktiviti PEN yang agak padat. Justeru, kesempatan pada hujung minggu baru-baru ini (Ahad 3 Julai 2011), Pn. Mahaya selaku Ketua 1 PEN, Datin Sabariah (Setiausaha 1), dan saya sendiri telah mengunjungi dua tokoh perintis PEN iaitu Hjh. Norini Ali dan Datuk Mohd Pilus bin Hj. Yunus. Isteri arwah Hj. Mad Tainu yang pada peringkat awal turut di dalam radar perancangan kami gagal ditemui kerana berlaku sedikit masalah dalam mencari lokasi rumah beliau. 

     Kesempatan bertemu dengan dua tokoh PEN, Hjh Norini dan Datuk Mohd Pilus sememangnya mengujakan. Walaupun kedua-duanya agak uzur, mereka tetap ghairah dan bersemangat dalam menceritakan pengalaman pahit manis sepanjang menerajui PEN, selain tidak lokek untuk berkongsi idea dan ilmu dalam pelbagai bidang. 
     Ketika bergebang mesra dengan Hjh. Norini yang cukup ramah dan santun, ternyata beliau mempunyai banyak pengalaman yang istimewa yang barangkali jarang ditemui pada orang lain, seperti kata Pn. Mahaya, alangkah baiknya jika pengalaman-pengalaman Hjh. Norini ini, sama ada berkaitan profesionnya ataupun ketika perantauannya ke luar negara dapat dibukukan agar dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama. Apabila diajukan soalan begitu, beliau tergelak kecil dan menyatakan memang ada keinginan begitu. Cuma, ada kalanya faktor kesihatan membataskan keinginan. Doa kami, semoga beliau dianugerahkan oleh Allah SWT nikmat sihat dan lapang, seterusnya dipermudahkan ilham dan ingatan agar hasrat melihat pengalaman beliau dibukukan tercapai. Insya Allah. 
     
Pn. Mahaya menyampaikan cenderamata kepada Hjh. Norini
     Seterusnya, (seteleh gagal menemui rumah isteri arwah Hj. Mad Tainu) kami terus ke rumah Datuk Mohd Pilus di Taman Bukit Kelana. Bekas pendidik dan juga pernah dianugerahkan "Tokoh Guru Nusantara" ini, pernah menjawat jawatan Setiausaha PEN antara tahun 1979-1982. Beliau banyak menyumbang karya dalam antologi-antologi terbitan PEN. Beliau turut berkongsi rasa ralatnya kerana usaha pengumpulan dialek Negeri Sembilan (beliau turut terlibat) yang pernah diusahakan dahulu tidak diterbitkan. Beliau sendiri tidak pasti pihak yang menyimpan segala bahan berharga tersebut. Harapan beliau semoga pihak PEN dapat meneruskan usaha-usaha jawatankuasa terdahulu yang belum dapat dilaksanakan, di samping meneruskan program dan kegiatan sedia ada.
Pn. Mahaya menyampaikan cenderamata kepada Datuk Mohd Pilus
Datuk Mohd Pilus dan isteri bergambar bersama-sama
Pn Mahaya dan Datin Sabariah
      Sesungguhnya, pertemuan dengan dua tokoh ini sangat bermakna buat kami. Saya secara peribadi, begitu teruja kerana dapat berkongsi pengalaman dan idea dengan mereka. Insya Allah, selepas ini, PEN akan merancang pertemuan dengan tokoh-tokoh yang lain pula.