Monday, July 4, 2011

Wira Tak Didendang


Tidak disangka-sangka, kunjungan ziarah ke rumah tokoh-tokoh PEN baru-baru ini telah menemukan saya semula dengan tokoh guru yang begitu saya sanjungi. Cikgu Mazwin, guru yang pernah mendidik saya di SMK DAS dulu, rupa-rupanya tinggal setaman dengan Datuk Mohd Pilus. Kebetulan, Pn. Mahaya mengenali beliau dan membawa saya ke rumahnya. Cikgu Mazwin tidak lagi mengenali saya. Ya, saya faham. Saya sendiri yang baharu menjawat profesion guru selama 10 tahun sudah mempunyai ribuan pelajar, apa lagi beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih dua dekad. Memang sewajibnya seorang pelajar yang mengingati gurunya.

     Saya mengakui dalam sekian ramai guru yang pernah mendidik saya menjadi manusia, saya tidak malu mengakui bahawa Cikgu Mazwin antara yang istimewa. Beliau mengajar saya subjek Kesusasteraan Melayu, subjek yang baharu saya kenal hanya selepas memasuki Tingkatan Empat. Jika diikutkan, beliau hanya mengajar saya selama setahun tetapi sehingga sekarang jasa dan ilmu yang diberikannya sentiasa segar dalam mandala ingatan saya. Beliaulah yang menanam jiwa kesusasteraan dan akar penulisan dalam diri saya. Kesusasteraan Melayu menjadi subjek 'fanatik' saya kerana pada saya, Cikgu Mazwin mempersembahkannya dengan begitu indah. Saya senantiasa tertunggu-tunggu kehadirannya setiap hari kerana tidak sabar-sabar menunggu butir bicara yang terbit daripada mulutnya.
     Cikgu Mazwin sangat kaya dengan falsafah. "Bukan susah nak susah, bukan senang nak senang" antara sekian banyak falsafah yang sering dilontarkan oleh beliau kepada kami di dalam kelas. Saya tahu Cikgu Mazwin tidak mencipta falsafah ini tetapi apa yang saya tahu, saya kenal dan faham falsafah tersebut hasil ajaran beliau.
     Satu perkara lagi yang menyebabkan saya begitu menghargai beliau ialah buku yang pernah dihadiahkannya setelah saya berjaya mendapat markah tertinggi dalam subjek Kesusasteraan Melayu. Saya masih ingat kata-kata hikmat yang dituliskan dalam buku Keris Laksamana Bentan yang dihadiahkannya. Sehingga sekarang, buku tersebut masih tersusun cantik di rak buku di perpustakaan mini saya. Bagi Cikgu Mazwin, pemberian itu mungkin perkara biasa yang dilakukan oleh seorang guru untuk anak muridnya. Tetapi pada saya pemberian tersebut cukup bermakna kerana merasakan beliau menghargai kebolehan saya. Sementelahan pula, pada ketika itu, beliau mungkin tidak tahu bahawa saya memang tidak mempunyai wang mencukupi untuk membelinya sendiri kerana faktor kewangan keluarga (pada masa itu, teks sastera terpaksa dibeli sendiri kerana tidak ada stok di sekolah memandangkan teks berkenaan merupakan teks baharu). 
     Pada masa ini, Cikgu Mazwin masih seorang guru dan saya juga seorang guru. Saya juga mengajar kesusasteraan di sekolah. Tetapi saya senantiasa berasa kerdil di dalam kelas kerana sehingga sekarang saya masih gagal menjelmakan watak Cikgu Mazwin dalam pengajaran saya. Saya sering berangan mengajar seperti beliau tetapi rasanya sehingga sekarang belum tercapai lagi. Ternyata Cikgu Mazwin memang istimewa.
     Semalam (selepas pertemuan tempoh hari), pesanan ringkas daripada beliau muncul di skrin telefon bimbit saya. Antara lain katanya, "…semoga karya kamu diselitkan unsur Islam, mana tahu karya kamu berjaya membuka pintu hati orang lain, lagipun kehidupan bukan lama semoga apa yang diusahakan menjadi amal jariah di sana. Semoga terus berkarya." 
     Mungkin pada sesetengah orang, nasihat itu biasa sahaja. Tetapi pada saya, apabila amanat seperti itu datang daripada Cikgu Mazwin, kata-kata itu menjadi cukup istimewa. 
Terima kasih cikgu.


No comments:

Post a Comment