Dipetik daripada syed-ikhwan.com
Nampaknya tahun ini, saya hanya menyambut hari guru dari kejauhan sahaja. Hanya sistem pesanan ringkas daripada sahabat dan anak-anak didik yang menyerikan sambutan hari guru saya. Semasa bertugas di SMK Palong Timur dahulu, saya juga sedang cuti belajar. Bezanya, saya masih dipanggil untuk bersama-sama meraikan hari yang cukup bersejarah untuk para guru ini kerana saya masih tinggal di kuaters guru yang hanya terletak di belakang sekolah. Jika saya tidak ke UKM, saya memang menghabiskan masa saya di sekolah dan kuaters sahaja. Malah, masih terlibat dalam banyak program yang dianjurkan pihak sekolah.
Mengajar di tiga buah sekolah yang berbeza memang menyajikan banyak pengalaman menakjubkan. SMK Pangiran Galpam sekolah pertama saya ditempatkan benar-benar meninggalkan impak besar dalam jiwa saya. Walaupun berada jauh di seberang laut dan dikelilingi oleh pelajar pelbagai etnik (jarang sekali bertemu pelajar Melayu), menjadi guru benar-benar membahagiakan. Di sini, saya merasakan 24 jam 7 hari seminggu adalah untuk sekolah dan pelajar. Berada jauh dari keluarga, masa saya memang benar-benar diperuntukan untuk kerjaya. Apatah lagi seorang guru baharu yang semangatnya masih lagi berkobar-kobar untuk merobah masa depan anak bangsa. Ketika itu, keinginan saya begitu membuak-buak untuk melakukan macam-macam perubahan, seolah-olah semuanya hendak dilaksanakan pada ketika itu juga. Satu yang tidak mungkin saya lupakan (saya pasti isteri juga begitu), ialah bagaimana guru-guru dan pelajar-pelajar bersusah payah mengadakan majlis sempena perpindahan kami. Malah, apa yang paling mengharukan ialah apabila Lapangan Terbang Sandakan dibanjiri guru, staf, dan pelajar sekolah (juga dibanjiri air mata) untuk menghantar kami pulang ke Semenanjung termasuk Tuan Pengetua, Cikgu Hussein . Saya juga tidak sekali-kali akan lupa hadiah yang cukup istimewa (dan mahal) yang diberikan oleh Cikgu Hussein kepada kami suami isteri.
Berpindah ke Palong Timur, pada peringkat permulaannya saya menerima kejutan budaya kerana cara kerja yang cukup berbeza. Di sini, saya benar-benar mendapat pengetahuan sebenar tentang sistem fail dan dokumentasi. SMK Palong Timur memang tersohor di Johor dalam bab ini. Tetapi sebenarnya perkara yang cukup menyeronokkan di sini ialah kehidupan masyarakatnya. Duduk di kawasan felda tidak jauh bezanya dengan kampung. Kenduri kendara, kematian dan sebagainya, guru akan dijemput sekali. Saya menjadi cukup akrab daengan kehidupan warga felda. Di sini juga tidak pernah putus dengan program dalam dan luar sekolah. Program sukan terutamanya yang menjadi antara kegilaan saya. Dengan fasiliti yang cukup lengkap, waktu saya tidak pernah senggang kerana sentiasa dipenuhi dengan aktiviti riadah yang sangat mengujakan. Pelajar-pelajar di sini juga sangat menghormati dan mengingati guru. Seronoknya di sini kerana saya mengajar di Tingkatan Enam. Mengajar pelajar Pra-U ini, impaknya sangat cepat kerana mereka hanya selangkah ke universiti. Kita akan rasa berjaya menjadi guru apabila sebahagian daripada pelajar yang kita didik berjaya melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPT. Jarak umur yang tidak begitu jauh juga menyebabkan hubungan dengan pelajar-pelajar sebegini agak akrab. Sehingga sekarang pun, pelajar-pelajar saya di Palong Timur masih menghubungi saya, terutamanya dalam sambutan hari guru seperti sekarang ini.
SMK Juasseh menjadi destinasi kerjaya saya selepas usai pengajian sarjana. Mengajar di daerah sendiri malah menetap di kampung sendiri tentunya menyajikan pengalaman berbeza. Di sini, saya merasakan kematangan dalam kerjaya kerana mula melewati sedekad usia menjadi guru. Mungkin boleh saya katakan, saya menjadi lebih berani dalam tindakan-tindakan saya kerana hidup dalam lingkungan masyarakat yang saya cukup kenal. Begitupun ironinya, di tempat sendiri inilah buat kali pertamanya saya pernah diarahkan ke balai polis dan disoal siasat hampir tiga jam kerana bertindak mengikut batas kemanusiaan tetapi melampaui batas undang-undang.
Apa yang dapat disimpulkan; SMK Pangiran Galpam mengajar saya bertatih dan berlari, SMK Palong Timur mendewasakan pengalaman dan SMK Juasseh mematangkan perjalanan kerjaya dan kehidupan.
SELAMAT HARI GURU untuk semua guru yang pernah menjadikan saya manusia dan guru; Cikgu Mazwin, Cikgu Noraini, Cikgu Azlan, Cikgu Mat Ros, Cikgu Norhayati, Cikgu Che Aini, Ustaz Zaidi, En.Tan, Cikgu Rozita, Cikgu Ruslifawati, Dr. Mawar Shafie, Dr. Shaiful Bahri, Dr. Misran, Prof Sahlan dan semua guru yang pastinya tidak mampu saya senaraikan di sini.
SELAMAT HARI GURU juga untuk sahabat seperjuangan Cikgu Suman, Cikgu Norliza, Cikgu Aton, Cikgu Hazar, Cikgu Zaha, Cikgu Zali, Ustaz Fuad, Cikgu Hasnol, Cikgu Dolah, Ustaz Kamar, Cikgu Yati, Kak Bed, Kak Sham, Datin, Ustazah Jamilah dan lain-lain.
SELAMAT HARI GURU juga untuk Tuan Pengetua yang dihormati En. Hussein, Tn. Hj Misran Rokimin, Pn. Hjh Arpah dan Ph Hjh Yatimah.
p/s Selamat bersara buat Cikgu Noraini SMKDAS yang bersara pada awal Mei yang lepas. Mohon maaf banyak-banyak kerana pernah menyinggung perasaan cikgu masa saya taraf budak-budak hingusan dulu.
p/s Tahniah buat isteri kerana buat pertama kalinya tentunya hadiah 'ummi' lebih banyak daripada 'babah' tahun ini.