Sunday, November 15, 2009

Berkebun adalah Warisan Emak

       Sebagai anak Mandailing, berkebun bukanlah sesuatu yang asing, apa lagi sukar buat saya. Saya masih ingat, sejak di bangku sekolah rendah lagi, Allahyarhamah emak kerap membawa saya merentas bukit ke bukit untuk tujuan itu. Tetapi saya mungkin lebih bernasib baik kerana hanya dibebani tugas-tugas itu ketika cuti sekolah sahaja berbanding abang dan kakak-kakak yang terpaksa mendepaninya hampir saban hari (selepas habis waktu persekolahan). Ketika itu, saya mengakui 'dikerah' ke kebun merupakan perkara yang paling saya benci. Saya tidak boleh bayangkan, sedang saya membuang keringat membanting tulang di sana, rakan-rakan sebaya yang lain sedang berseronok-seronok bermain polis sentri, galah panjang, baling selipar dan sebagainya di kampung. Pada masa itu, soal itulah pencarian hidup dan saya perlu berkorban untuk itu (seperti yang selalu emak cuba bujukkan ketika melihat wajah saya yang mencuka dan kelat), tidak terdapat dalam kamus kanak-kanak saya.

                                         

                                   Sekadar gambar hiasan: Dipetik dari badungcamp.fotopages.com

          Hanya apabila usia melangkah setapak demi setapak menuju alam remaja dan perjalanan waktu sedikit banyak mematangkan fikiran, saya mula menerima hakikat itu. Malah, cukup berterima kasih dan bersyukur kerana sebahagian besar perbelanjaan persekolahan hinggalah ke universiti ditampung hasil keringat dan jerih payah emak dan ayah berbudi kepada tanah. Oleh sebab itu, ketika di Tingkatan Enam dan menetap di asrama, saya pasti pulang dua minggu sekali dan mengorbankan cuti hujung minggu untuk membawa dan menemankan emak di kebun. Ketika ini, saya mula melihat apa yang saya lakukan sebagai sumbangan sekecil kuman bagi membalas jasa emak dan ayah yang seluas langit lazuardi.

      Sebab itulah, setelah kembali ke kampung dan menetap di sana (setelah emak pulang ke perkampungan abadi dan ayah memerlukan seseorang untuk menemani mandala sepinya), saya memulakan semula kegiatan yang agak lama saya tinggalkan. Setiap hujung minggu jika tiada perkara yang mengekang, motosikal EX5 buruk yang dibeli 10 tahun dahulu akan menemani saya ke Langkap, tempat saya mengusahakan sebuah kebun kecil. Setelah secara tekal melalui rutin ini saban minggu bermula Februari, kini kebun sekangkang kera itu mula membalas setiap keringat saya yang tertumpah. 
       Ada juga dalam kalangan sahabat yang hairan dan bertanya kerana mereka melihat saya begitu bersungguh-sungguh dalam bidang ini sedangkan saya sudah berkerjaya dan setiap bulan amaun yang muncul di bank gaji, boleh tahan jumlahnya. Saya pernah menyebut bahawa berkebun khususnya menanam lada boleh menjadi sumber hidup. Ada dua tiga orang pak cik saya menghantar anak-anak mereka hingga ke menara gading dengan hasil lada yang mencecah 20 hingga 30 kilo seminggu, walaupun menjalankannya secara tradisional.
      Begitu pun, itu bukanlah faktor mengapa saya mahu berkebun. Kalau dikira-kira pun, saya hanya mendapat RM40-RM50 seminggu kerana hanya berkebun secara kecil-kecilan. Ada sebab lain yang lebih menyentuh. Setiap kali menajak di kebun, setiap kali mengutip lada dan terung, dan setiap kali berehat di bawah pohon langsat sambil menjamah kudapan yang dibekalkan oleh isteri, setiap kali itulah, nostalgia bersama Allahyarhamah emak di sini akan kembali. Seolah-olah dialah yang sedang menajak di hujung kebun ketika saya ralit mengutip lada di hujung sini. Seolah-olah dialah yang menggamit saya untuk berjeda membuang lelah di bawah pohon langsat lalu 'melangsaikan' cekodok ikan bilis yang kami bawa. Kadang-kadang seperti terngiang kembali segala ngomelan, leteran, nasihat, dan luahan perasaannya tentang ayah, abang kakak, dan diri saya sendiri, seperti yang sering dilakukannya dahulu. 

    Berkebun adalah warisan emak. Setiap kali ke kebun, serasa emak masih dekat.  
    Al-Fatihah.


1 comment:

  1. Apa pasal tak ambik gambar lada pakai handphone baru baru mantap

    ReplyDelete