Tuesday, July 13, 2010

Mambaco Kayat: Sisi Lain Sambutan Isra' Mikraj


     Sesungguhnya apabila kita membicarakan sambutan Isra' dan Mikraj, pasti ia ditandai oleh pelbagai ceramah yang diadakan di merata-rata tempat dan disampaikan oleh tokoh-tokoh agama yang berwibawa. Bagaimanapun, bagi masyarakat Mandailing di Kg. Baru Lanjut Manis (juga di Kg. Kerangai dan Kg. Tambahtin, Jelebu), sambutannya unik sekali. Saya tidak begitu pasti dengan masyarakat Mandailing di Selangor dan Perak, tetapi di sini Israk dan Mikraj (juga Maulidur Rasul), penghayatan dibuat dalam bentuk bacaan syair. 

     Bacaan syair dialunkan selama 3 malam berturut-turut. Syair yang dibacakan ialah "Syair Tarikh Peranakan Nabi" dan "Kisah Isra' Mikraj". Kedua-duanya ditulis dengan menggunakan tulisan jawi. Menurut prakata syair seperti yang terdapat pada muka hadapan buku (tetapi saya hanya memperoleh salinan fotokopinya sahaja) "Syair Tarikh Peranakan Nabi" diterjemahkan daripada kitab berbahasa Arab (tidak dinyatakan siapa pengarangnya) oleh Syeikh Muda Negeri Minangkabau. Bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu Minangkabau. Buku ini diterbitkan oleh Kedai Buku H. Abdullah B. M. Noordin Arrawi yang terletak di Pulau Pinang. Walaupun tarikh penerbitan tidak dinyatakan tetapi tarikh syair selesai diterjemahkan disebutkan dalam syair iaitu 4 Likur Zulhijjah 1345H.

     Manakala, syair "Kisah Isra' Mikraj" diyakini (walaupun tidak dinyatakan) dikarang oleh Tuan Guru bagi masyarakat Mandailing yang berhijrah dari Indonesia ke Perak iaitu Tuan Guru Syeikh Abu Kassim. Beliau kemudiannya mempunyai seorang anak murid iaitu Syeikh Ahmad yang menjadi guru agama untuk masyarakat Mandailing yang berhijrah ke beberapa penempatan di Negeri Sembilan. Syair ini mula ditulis pada 1325H (1925M) tetapi tidak dinyatakan tahun selesai dikarang.


     Syair ini dibacakan mengikut turutannya. Pada malam pertama, kisah kelahiran Nabi Muhammad SAW akan diperdengarkan. Berikut antara contoh rangkap yang menceritakan kisah kelahiran baginda.

Sembilan bulan bilangan hatam
Hampirlah zahir junjungan alam
Datanglah Isa anak Mariam
Memujuk Aminah memberi faham

Wahai Aminah bonda Muhammad
Anak di rahim banyak mukjizat
Syafaat nan banyak hari kiamat
Sekalian umatnya mendapat pangkat

Muhammad Aminullah martabatnya tinggi
Itulah rasul hatamun nabi
Nabi akhir zaman sudah terjali
Siapa menyalahi mendapat rugi
Pada malam kedua, syair Isra' Mikraj pula diperdengarkan. 

Wahai saudara taulan sahabat
Banyaklah misal jadi ibarat
Semua itu menyalahi adat
Dijadikan Allah Holikul Umat

Suatu misal dijadikan Tuhan
Baharu sebentar Nabi berjalan
Bertemu kaum bertanam tanaman
Sangat menjadi rupa kelihatan

Tanaman itu lain sekali
Tiap-tiap disabit tumbuhlah ganti
Seperti dahulu sangat menjadi
Sebentar itu sama sekali

     Pada malam terakhir, cerita tentang kewafatan Rasulullah pula dihidangkan untuk dikongsi bersama-sama semua yang hadir (maaf kerana tidak dapat menyertakan contoh). 
Golongan tua dan muda turut hadir menghayati syair Isra' Mikraj
Hidangan yang dibawa sebagai santapan 

     Selain mendengar syair yang disusun dengan begitu indah sebagai halwa telinga, Mambaco Kayat juga sebenarnya menjadi medan membina ukhuwah sesama masyarakat kampung. Lewat program ini terserlah kejituan hubungan kekeluargaan antara setiap penduduk. Hari pertama sambutan, rewang akan diadakan di surau. Kaum ibu akan bergotong-royong memasak juadah tengah hari yang semua bahannya dibeli menggunakan wang sumbangan yang dikutip daripada masyarakat kampung beberapa hari sebelumnya. Dan pada tengah harinya, semua penduduk, baik golongan tua, muda mahupun kanak-kanak akan memenuhi surau untuk bersama-sama menikmati makanan yang disediakan. Majlis akan disudahi dengan zikir 99 nama Allah yang merupakan zikir rutin masyarakat Mandailing.

     Sebelah malamnya pula (selama 3 malam), setiap keluarga akan membawa juadah dari rumah untuk menjadi hidangan setelah usai setiap sesi bacaan syair. Pada ketika itu, puluhan jenis kuih akan dapat dijamah, kebanyakannya dibuat sendiri tetapi disebabkan oleh kekangan masa dan kesibukan tugas, ada juga yang membeli sahaja. Tetapi apa yang pasti, kuih tradisi masyarakat Mandailing iaitu "puting-puting" tidak pernah ketinggalan dalam menu juadah.

Puting-puting; kuih tradisi masyarakat Mandailing
     Sebenarnya, Mambaco Kayat hanyalah sebahagian daripada keunikan dan kelainan upacara keagamaan yang menjadi amalan masyarakat Mandailing sejak turun temurun. Jika disenaraikan, jumlahnya cukup banyak, khususnya dalam urusan maringanan (perkahwinan), mijur (cukur jambul), mamido bacaan (doa selamat), dan lain-lain. Oleh sebab itu, dari dahulu hingga sekarang, dan Insya Allah sampai bila-bila, saya cukup berbangga dilahirkan sebagai ANAK MANDAILING.  



p/s – Program sebegini sebenarnya menunjukkan kerelevanan karya sastera dalam mengembangkan dakwah. Oleh sebab itu, kita sering menemukan ulama terdahulu yang turut mahir menulis karya kreatif dan menjadikannya sebagai satu alat dalam penyebaran dakwah Islamiyah. 


Monday, July 12, 2010

Sotong, Bola, dan Ramalan


     Akhirnya Sotong bernama Paul di Jerman menutup tilikan terakhirnya sempena Piala Dunia 2010 sekali lagi dengan ramalan tepat. Kali ini, sotong kurita ini memilih Sepanyol sebagai juara dan KEBETULANNYA, Sepanyol berjaya membenam cabaran Belanda pada perlawanan akhir. Ini bermakna, Paul telah berjaya membuat ramalan 100% tepat sepanjang kempen Piala Dunia kali ini. Maka sudah pasti ramai kaki judi memilih pasukan sama seperti yang diramal oleh Paul. Saya secara peribadi berharap Belanda akan menang sekaligus menghapuskan kepercayaan masyarakat tentang ketepatan ramalan Paul yang tidak berakal itu. Bagaimanapun, ketentuan Allah menentukan Sepanyol terpilih sebagai juara. Barangkali, Allah sekali lagi ingin melihat keimanan para hamba-Nya.

     Bagi umat Islam, kita sebenarnya perlu berhati-hati apabila memperkatakan ketepatan ramalan sotong tidak berakal ini. Apa yang sering didengar seusai sesuatu perlawanan ialah, "hebat betul si kurita ini", "kan betul kata si sotong tu", dan sebagainya. Mungkin secara tidak sedar ketika kita mengagumi kehebatan ramalannya, ada iktikad, perkataan, dan perbuatan kita yang boleh membawa kepada syirik ataupun khurafat. Minta dijauhkan. 

     Masalah kita di sini ialah liputan berlebihan yang diberikan oleh media massa dan elektronik tempatan sehingga rakyat kita senantiasa tertunggu-tunggu ramalan yang akan dibuat oleh Paul (malah kadang-kadang rasa memualkan apabila ada surat khabar yang tidak sudah-sudah bercakap tentang Paul tetapi dalam masa yang sama menyiarkan pandangan tokoh agama tentang hukum mempercayai ramalan). Sehingga kadang-kadang, ada ulasan yang dibuat oleh pengacara telivisyen dan juga pengulas bola sepak tempatan, seperti sudah mengagumi kehebatan binatang tidak sekolah ini. Sekadar contoh, ada pengulas yang menyebut, "mungkinkah suratan atau kebetulan?" dan penyampai berita yang menyebut, "sotong Paul yang bijak meramalkan". Mungkin luahan itu spontan tetapi perlu diingat kembali syirik itu boleh berlaku melalui iktikad, perkataan, dan perbuatan.

     Satu yang jarang diperkatakan, sebenarnya Paul sudah mula membuat ramalan sejak Euro 2008 lagi. Pada ketika itu, Paul hanya dapat meramal dengan tepat 4 daripada 6 perlawanan. Tidak pula orang menghebohkan kegagalan Paul meneka dengan tepat.

p/s - Kadang-kadang kita menjadi hairan apabila manusia yang berakal boleh mempercayai kata-kata binatang yang tidak berakal. Apabila memperkatakan ini, saya segera teringat tentang satu cerpen tulisan Muhammad Isa al-Jambuly bertajuk "Seekor Manusia Seorang Binatang". Walaupun kisahnya tentang binatang yang lebih sayangkan anak berbanding manusia, tetapi mungkin tajuk itu sesuai dengan konteks sotong ini.