Sunday, October 24, 2010

Umbara Sastera 5 dan Kenduri Bahasa

20/10/2010

Alhamdulillah, akhirnya Umbara Sastera 5 tiba ke Juasseh. Bersyukur juga kerana kedua-dua tokoh yang dijemput dapat melapangkan sedikit masa untuk berkongsi wacana ilmu dengan anak-anak di sini. Walaupun program ini serba ringkas tetapi buat saya, program ini cukup bermakna. Hal ini dikatakan demikian kerana program ini bukan sekadar program yang dirancang untuk memenuhi waktu senggang pelajar lepasan PMR, tetapi juga merupakan program yang tercatat dalam diari tahunan PEN. Beberapa bulan belakangan ini sesudah dilantik sebagai AJK PEN, saya sering tertanya-tanya apakah sumbangan yang boleh saya berikan kepada persatuan? Adakah sekadar menghadiri mesyuarat dan menempel-nempel dalam program yang dianjurkan? Setakat ini, itulah sahaja yang dapat saya lakukan. Justeru, apabila dapat menyelaraskan sendiri program Umbara Sastera ini, saya rasa cukup lapang. Sekurang-kurangnya saya sudah ada sesuatu biarpun mungkin kecil pada mata orang.

Nisah Haron dan Amiza Khusyri bukanlah nama yang asing apabila memperkatakan kesusasteraan nasional. Begitu pun, untuk pelajar-pelajar saya (malah dalam kalangan guru) tidak putus-putus bertanya tentang tokoh yang saya jemput. Siapa? Penulis ke? Pelik juga. Jika Amiza mungkin, kerana ini pertama kali beliau tiba di SMK Juasseh (walaupun menurutnya, beliau sering singgah membeli air batu di kedai depan sekolah kerana rumah mentuanya di sekitar Juasseh). Bagaimana pula dengan Nisah? Nisah sudah pernah tiba ke sini dua tahun lepas. Cepatnya mereka lupa. Tetapi itulah lumrah. Apa sangatlah status seorang penulis jika dibandingkan dengan tokoh politik mahupun selebriti hiburan, walaupun sumbangannya cukup besar dalam pembangunan minda dan jiwa. (Barangkali kerana itu juga, wartawan surat khabar yang saya jemput tidak nampak batang hidungnya. Apa sangatlah nilai berita program kesusasteraan.)

Nisah Haron seperti selalu membawakan ceramah tentang teknik dan kreativiti menulis. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan ialah kehadiran Nisah Haron akan membuka mata pelajar-pelajar saya (juga guru-guru dan pentadbir) khususnya beraliran sains, seorang penulis tidak semestinya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu untuk menjadi penulis. Malah sebenarnya mereka yang dari aliran sains yang lebih ramai mewarnai dunia kesusasteraan tanah air. Hal ini demikian kerana mereka memenuhi syarat-syarat untuk menjadi penulis yang baik. Antara syarat yang penting tentunya rajin membaca, bijaksana dan, berilmu.

Pengalaman saya sendiri, karya pelajar yang saya kirim ke mana-mana penerbitan datangnya daripada pelajar-pelajar aliran sains yang berminat menulis. Pelajar subjek Kesusasteraan Melayu yang saya ajar selalunya tidak mampu menghasilkan sebuah karya yang baik. Saya tidak salahkan mereka. Walaupun mereka menekuni subjek ini selama dua tahun, mereka gagal lahir sebagai penulis. Ini tentunya berkait rapat dengan kegagalan memenuhi syarat-syarat yang saya sebutkan tadi. Oleh sebab itu, saya rasa cukup terpukul apabila pelajar-pelajar tingkatan 4 aliran sains di sekolah ini dikecualikan daripada program ini dengan alasan ini urusan orang sastera. Saya tidak mengharapkan 120 audiens akan menjadi penulis. Tetapi saya mengharapkan akan muncul satu atau dua penulis yang baik dan prolifik dan selebihnya akan menjadi peminat dan pembaca karya kesusasteraan yang tekal. Insya Allah.

Amiza hadir dengan slot motivasi dan dakwah dalam penulisan. Bagaimanapun, beliau merasakan tajuk itu cukup berat untuk mereka yang belum bergelar penulis. Justeru, beliau lebih menumpukan ceramah tentang kepentingan hidup atas landasan agama dalam kalangan remaja. Ternyata motivasi Amiza benar-benar menyentap emosi khalayak, sesuailah dengan latar belakang beliau. Kehadiran Amiza juga saya harapkan dapat memberikan impak yang sama seperti kehadiran Nisah. Amiza lepasan Universiti Al-Azhar dan tebal dengan selimaut agamanya. Seperti juga Zaid Akhtar, Amiza juga menjuarai cerita-cerita yang berkisar di seputar kehidupan remaja atas landasan syariah tetapi diadun dengan plot yang dramatik serta bahasa yang cukup kreatif. Saya ingin membuktikan kepada pelajar bahawa menulis juga satu ibadah dan bukan sekadar pekerjaan main-main dan 'jiwang-jiwang'. Saya ingin mereka tahu bahawa kesusasteraan atau lebih tepatnya persuratan adalah karya-karya yang dihasilkan oleh penulis seperti ini dan bukannya seperti novel-novel popular dan picisan yang berlambakan di mana-mana.

Kehadiran Nisah Haron dan Amiza tentunya sedikit banyak meninggalkan impak kepada pelajar SMK Juasseh. Seperti selalu, novel Nisah lebih separuh terjual dan ramai juga meminta saya mendapatkan novel Amiza "Menjadi Bintang". Justeru, besar harapan warga Juasseh, kedua-dua tokoh ini tidak jemu untuk menuangkan ilmu dan pengalaman mereka sekali lagi pada masa-masa akan datang.

Untuk Nisah Haron dan Amiza, 'terima kasih daun keladi, tanda kasih datanglah lagi'.


23/10/2010

Saya hadir ke Homestay Lonek dalam keadaan yang tidak cukup selesa. Selain selesema yang menyumbat hidung, batuk yang bersarang di dada turut menyumbang kepada ketidakselesaan itu. Saya hampir sahaja menelefon sdr Azman Khurawi yang menjadi penyelaras program Kenduri Bahasa di Lonek untuk memaklumkan penarikan diri saya. Bagaimanapun, sdr Abdullah AR terlebih dahulu menghantar sistem pesanan ringkas mengatakan beliau terpaksa menarik diri daripada menjadi salah seorang deklamator pada malam tersebut kerana abangnya sedang sakit kuat di Hospital Seremban. Mendengar itu, saya terus membatalkan hasrat dan reda dengan segala kemungkinan. Tambahan pula, Puan Nisah Haron dan Datin Sabariah sudah menggalaskan pada pundak saya amanah dan tanggungjawab yang diserahkan kepada PEN oleh pihak DBP.

Buat seketika, saya menjadi pencinta air suam yang setia.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Apa yang saya takuti, tidak menjadi kenyataan pada malam itu. Rasanya, saya dan Mya Marja yang mewakili PEN dalam persembahan deklamasi puisi sudah memberikan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa program, khususnya sdr Azman Khurawi yang menyediakan segala keperluan dan memenuhi apa sahaja permintaan kami. Ternyata tenaga produksi yang mantap menjadi nadi kepada kelancaran program pada malam tersebut.

Program Kenduri Bahasa merupakan penutup kepada Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan. Pembukaan program ini berlangsung di Seremban. Barangkali, pemilihan Lonek sebagai tuan rumah untuk acara penutupan merupakan satu kelainan yang ingin dibuat pada tahun ini. Langkah ini merupakan suatu harus dipuji. Sesekali, biarlah masyarakat desa dan luar bandar pula mendapat peluang menunjukkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda.


- Maaf tidak dapat menyertakan gambar untuk kedua-dua program. Seminggu dua ni, internet benar-benar meragam. Proses muat naik gambar menjadi cukup susah sekali.

5 comments:

  1. Salam Tuan Faizal,
    Saya pohon izin untuk mengambil entri ini dan letak di blog PEN.

    ReplyDelete
  2. Salam Pn. Nisah,
    Silakan, apa salahnya.

    ReplyDelete
  3. ok, terima kasih. Jika ada gambar yang sesuai, harap e-mel terus kepada saya. Nanti dapat dimuat naik ke blog PEN.

    ReplyDelete
  4. Cg Faizal, sekadar respon pada entri di atas.

    "Bagaimana pula dengan Nisah? Nisah sudah pernah tiba ke sini dua tahun lepas. Cepatnya mereka lupa. Tetapi itulah lumrah."

    Mungkin cikgu2 lain lupa, tidak pada saya. Biarpun tidak bertemu pada 2 thn lepas, namun pertemuan di SMKA SHAMS pd tahun 2002 masih segar di ingatan saya. Mungkin kerana terlalu teruja kerana pada ketika itu Pn Nisah Haron terkenal dengan tulisan annyss sophillea yang saya pelajari semasa di tingkatan 4.Dan menjadi sangat bangga apabila mengetahui Pn Nisah juga merupakan bekas pelajar SMKA SHAMS. =D
    Pernah juga saya memasang angan-angan untuk menjadi salah seorang penulis. Namun tiada kesungguhan dan keberanian.

    ReplyDelete
  5. Salam Farhana,

    Terima kasih kerana sudi meninggalkan catatan. Untuk makluman, bukan sedikit jumlah penulis di negara ini yang datang dari aliran sains. Penulis tidak semestinya perlu menekuni teks kesusasteraan di sekolah. Yang penting, memenuhi syarat seperti yang disebutkan. Saya, walaupun mengambil subjek kesusasteraan dari sekolah menengah hinggalah ke peringkat sarjana, tetapi rasanya saya jauh ketinggalan dari aspek penulisan kreatif berbanding Nisah dan Amiza

    ReplyDelete