Sunday, February 13, 2011

Hari Kekasih

Hari Kekasih datang lagi. Seperti selalu media khususnya saluran televisyen akan mencitrakan dua wajah ketika memperkatakan sambutan Valentine's Day ini. Pada satu sisi, saluran ini akan memaparkan pandangan alim agama yang menghukumkan haram menyambut atau memeriahkan sambutan ini. Pada sisi yang lain, saluran yang sama akan berlumba-lumba menghidangkan rancangan-rancangan hiburan yang bertemakan kekasih dan percintaan bagi memeriahkan sambutan Valentine's Day. Itu merupakan situasi yang berlaku saban tahun.
Tetapi pada tahun ini, serasa perdebatan tentang Valentine's Day lebih hangat daripada biasa. Selalunya, tiada pihak yang mempertikaikan pandangan alim agama ini, apatah lagi Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa rasmi tentang itu. Tetapi pada tahun ini, ada pihak yang bukan muslim mempertikaikan pandangan alim agama tentang sambutan Hari Kekasih yang pada saya tiada beza apa yang diperkatakan oleh tokoh agama ini dengan yang difahami umum selama ini. Tiba-tiba sahaja pada tahun ini ada yang merasakan pandangan tokoh-tokoh agama ini tidak tepat dan boleh menyinggung perasaan penganut agama lain. Persoalannya, mengapa sekarang dan tidak dari dulu?
Hairan juga, mengapa belakangan ini sering sangat berlaku provokasi dan perdebatan yang negatif melibatkan soal kaum dan agama. Soal Interlok belum selesai dan kini disusuli pula isu baharu. Hairan juga, mengapa semakin kuat PM menguar-uarkan gagasan 1Malaysia, semakin menebal pula sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat. Rasanya, situasi seperti sekarang ini jarang-jarang kita dengan berlaku dahulu. Pada situasi sebegini, kadang-kadang terfikir juga akan kebenaran kata-kata mantan PM, Tun Mahathir seperti yang tersiar baru-baru ini di akhbar.
Yang lebih menghairankan, ada pula dalam kalangan pemimpin muda parti pemerintah yang merasakan sambutan ini tidak salah selagi tidak melakukan dosa. Maknanya, menurut pandangan beliau, sekadar menyambut tidak berdosa. Asal jangan mabuk, jangan telan ecstacy, jangan berzina ketika sambutan cukup. Barangkali itulah maksud beliau. Tentu sekali pandangan ini bertentangan dengan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Apapun pandangan orang, bagi pihak saya, pada tarikh keramat 14 Februari ini, saya akan tetap mengirim sepucuk surat/sajak cinta dan sekotak hadiah untuk isteri tercinta.
Untuk isteri yang dikasihi, SELAMAT HARI LAHIR...

No comments:

Post a Comment