Thursday, June 30, 2011

Sajak "Guru" di Tunas Cipta


   
     Alhamdulillah, akhirnya setelah Jun tiba ke perhentian terakhirnya tahun ini, majalah Tunas Cipta Jun 2011 sampai juga ke tangan saya. Setelah melihat sendiri, sajak saya bertajuk "Guru" (tajuk asal yang saya kirim "Guru Itu") tersiar di dalam majalah ini, baharulah saya berani untuk mengesahkannya dalam blog ini. Saya sudah menerima honorarium hampir sebulan yang lalu menandakan karya saya tersiar. Begitupun, saya belum berpuas hati selagi belum melihatnya.

     Entah mengapa (suatu kebetulan?), kerap kali apabila karya saya tersiar di mana-mana, saya sering menghadapi masalah untuk mendapatkan majalah atau akhbarnya. Misalnya, dalam kes kali ini, atas sebab teknikal saya lewat menerima majalah Tunas Cipta yang saya langgan. Malah, ketika saya melayari laman web DBP untuk melihat sajak-sajak yang tersiar di Tunas Cipta Jun, entah mengapa tajuk sajak saya tercicir, sedangkan yang lain semuanya ada. Pernah sekali juga saya menghantar sebuah cerpen saya ke akhbar (akhir 90-an), saya sukar untuk mendapatkan akhbar tersebut pada hari cerpen berkenaan tersiar sedangkan akhbar ini merupakan akhbar perdana. Ketika itu, saya terus melupakan hal tersebut dan menganggap mungkin belum rezeki cerpen saya untuk tersiar. Tetapi saya bernasib baik, selepas beberapa bulan, ketika mengunjungi sebuah perpustakaan saya membelek akhbar-akhbar lama dan terkejut apabila menjumpai cerpen saya di sana. 


     Apa-apapun, terima kasih kepada saudara Editor kerana masih memberi peluang kepada saya untuk berkarya di Tunas Cipta. Sebenarnya, sudah hampir lima tahun saya tidak menulis untuk Tunas Cipta. Selain berhenti menulis kerana memberi tumpuan kepada pengajian sarjana, saya juga ingin mencuba medium yang lain pula. Cuma, buat masa ini, karya-karya saya sukar menembusi tembok kebal majalah-majalah lain yang lebih berwibawa. 
 

     Sekali lagi, terima kasih Tunas Cipta kerana masih mempercayai karya-karya saya. Barangkali, ini karya terakhir saya di majalah kesayangan penulis muda ini. Bukan merajuk atau mahu berhenti menulis tetapi kerana pada hujung tahun ini, saya sudah terlalu tua untuk Tunas Cipta!  


Monday, June 27, 2011

Berterombo di Seri Menanti


Selamat datang ke Seri Menanti Resort
     Saya tiba di Seri Menanti ketika gelap mula mengambus alam. Program "Penghayatan Teromba dan Perbilangan" hanya akan bermula esok. Tetapi saya perlu ke sana pada malam sebelumnya bagi membantu membuat persediaan apa yang perlu. AJK PEN; Pn. Mahaya, Hazlin, Kak Hana, Masliya dan Syukri (anak Pn. Mahaya) sudahpun tiba lebih awal. Pn. Mahaya sendiri sudah menelefon untuk mengingatkan saya supaya hadir. Kebetulan cuti hujung minggu baru-baru ini, sekolah tidak menganjurkan sebarang aktiviti. Justeru, apabila diminta oleh Pn Mahaya untuk hadir membantu urus setia di Seri Menanti Resort, saya terus menyatakan persetujuan. Oleh sebab, lokasi Seri Menanti begitu dekat dengan kampung saya, saya memilih untuk tidak bermalam walaupun bilik disediakan. 
     Sebagai anak jati Negeri Sembilan, teromba ataupun terombo bukanlah sesuatu yang asing. Pernah juga sesekali apabila menghadiri program-program kebudayaan, saya berpeluang mendengar teromba. Ketika di universiti juga, saya pernah mendengar satu dua pembentangan kertas kerja tentang seni warisan indah Negeri Sembilan ini. Begitupun, secara rasmi dan secara terperinci, inilah pertama kali saya berpeluang mengikuti seminar/kursus tentangnya. Secara ringkasnya, teromba ialah susunan undang-undang adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Teromba mengandungi konotasi adat yang digunakan sebagai panduan dan amalan terutama Adat Perpatih dan Adat Minangkabau yang masih digunakan di Negeri Sembilan dan Melaka sehingga ke hari ini. 
     Mengikuti program yang dirasmikan oleh Hjh Nooraine (Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Warisan Negara) ini, peserta berpeluang mendengar ceramah daripada pakar teromba iaitu Dr. Mohd Rosli Saludin, selain kertas kerja tulisan Dato' Seri Maharaja Khalid bin Bonget (beliau tidak dapat hadir kerana urusan keluarga). Dr. Rosli memberi fokus kepada penggunaan kata-kata adat dalam pengacaraan majlis dan Dato' Khalid membicarakan teromba dalam konteks ungkapan adat. Para peserta juga cukup bertuah kerana Dr. Rosli sudi untuk meluangkan masa selama dua hari bersama mereka, khususnya membantu ketika aktiviti perbengkelan berlangsung. Malah, beliau juga turut beraksi di atas pentas dengan menyampaikan teromba mengikut gaya dan alunan suara yang cukup memukau.
     Kehadiran ke Seri Menanti sememangnya cukup bermakna. Seperti pandangan kebanyakan peserta, berkampung selama dua hari di sini terasa cukup singkat. Barangkali, jika Jabatan Warisan Negara bercadang untuk sekali lagi mengadakan kerjasama dengan PEN, biaya yang lebih besar perlu disediakan untuk memastikan seminar/kursus seperti ini dapat dijalankan dalam jangka waktu yang lebih panjang. PEN insya Allah, sedia menyumbang masa dan tenaga kerana selama ini yang mengekang pergerakan PEN ialah peruntukan. Semoga program seperti ini tidak sekadar menjadi satu-satunya kerjasama yang dijalankan oleh PEN dan JWN. Seharusnya usaha murni seperti ini harus diteruskan dalam penganjuran program-program lain pula selepas ini.
Sesi pendaftaran
Peserta tekun mendengar pembentanga kertas kerja
Sesi perbengkelan yang santai
Sesi persembahan yang cukup memikat


Dr. Rosli ketika menyampaikan kertas kerjanya
Penyampaian sijil dan cenderamata oleh Hjh Nooraine
Kenang-kenangan sebelum berangkat pulang