Bermula tahun 2010, bukan sahaja teks KOMSAS yang bertukar tetapi juga teks Kesusasteraan Melayu Elektif(KME). Nampak gayanya, ramailah penulis (yang berkenaan) akan mendapat durian runtuh. Selalunya di pasaran biasa, teks sastera susah nak dijual tetapi apabila terpilih sebagai teks khususnya KOMSAS, banyak-banyaklah bersyukur kepada Allah swt.
Di sekolah saya, tahun ini subjek KME kembali dibuka. Alhamdulillah, selama hampir 2 tahun saya dan beberapa sahabat lain berusaha, akhirnya pihak pengurusan bersetuju untuk mengembalikan subjek ini. Terima kasih kepada Tuan Pengetua kerana mengerti fungsi dan peranan subjek yang 'terpinggir' ini.
Saya berpindah ke sini Januari 2008. Saya diberitahu, subjek KME baru sahaja ditutup menyebabkan saya kecewa kerana sejak dari Sabah, inilah subjek opsyen, malah subjek kegemaran saya. Sejak itulah, usaha dilakukan secara berterusan bagi meyakinkan pihak pentadbir tentang kepentingan dan kerelevanan KME kembali diajar. Ternyata usaha tersebut berbaloi kerana pada tahun ini, KME kembali diperkenalkan. Bagaimanapun, keputusan tersebut menjadi peringatan kepada saya selaku tenaga pengajar untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan keputusan pelajar yang memberangsangkan.
Ketika bertugas di Sabah, ternyata sastera mendapat layanan yang lebih istimewa. Terdapat tiga kelas tingkatan 4 dan 5, kesemuanya mengambil subjek KME. Apabila berpindah ke Segamat, saya masih dapat mengajar subjek ini walaupun hanya tinggal dua kelas (1 kelas tingkatan 4 dan 1 kelas tingkatan 5). Walaupun beberapa kali ada usaha untuk menutupnya oleh pihak pentadbir yang rata-ratanya 'orang sains', Alhamdulillah kami tetap cekal bertahan. Malangnya, setelah saya berpindah pada 2007 ke Kuala Pilah, saya mendapat khabar, subjek tersebut telahpun ditutup dengan alasan kekurangan guru opsyen. Sedangkan saya tahu, walaupun saya berpindah masih ada beberapa guru yang boleh mengajar subjek tersebut. Saya yakin ada dalam kalangan sahabat yang tidak bersetuju dengan keputusan itu tetapi mungkin mereka malas nak bertekak berbanding saya yang sanggup bertikam lidah dalam mesyuarat dan juga di bilik pentadbir.
Anak Global: Antara teks kajian baharu KME
Sumber: http://glateh.blogspot.com
Untuk tahun ini, sebanyak 5 teks akan dikaji. terdapat 2 buah novel; Dari Lembah ke Puncak karya Ghazali Lateh, Jeriji Kasih karya Ramlah Abd. Rashid, Antologi Madu Ilmu dan Anak Global dan Antologi Puisi dan Prosa Tradisional Seuntai Kasih Secebis Harapan. Walaupun jumlah karya yang perlu dikuasai dan dianalisis agak banyak, saya berharap anak-anak didik saya akan cekal dan berusaha mencapai yang terbaik. Insya Allah.
Salam Cikgu Faizal,
ReplyDeleteTahniah kerana berjaya menghidupkan KME di sekolah. Anak-anak didik cikgu dan sekolah itu juga amat bertuah kerana memiliki Cikgu yang amat berminat di dalam bidang sastera. Apabila sastera 'mendarah daging' dalam diri gurunya, insya-Allah, saya boleh bayangkan sekolah juga bakal menikmati manfaatnya.
Tahniah juga atas kelahiran cahayamata. Semoga bakal mewarisi bakat ayahandanya di dalam bidang sastera dan penulisan!
Terima kasih atas sokongan dan dorongan.
ReplyDeleteAssalamualaikum.
ReplyDeleteSemoga cikgu berjaya membentuk jati diri di kalangan anak-anak murid cikgu. Kepada cikgu diamanahkan membawa JERIJI KASIH semanis mungkin. Bukan sahaja untuk lulus SPM, tetapi juga menitipkan nilai murni kepada remaja.
Yang benar
Ramlah Rashid.