Sunday, May 30, 2010

Rumah Perkahwinan

Biarpun wisel separuh masa pertama persekolahan belum lagi ditiupkan, "demam" walimatul urus sudah mula menyerang. Hujung minggu ini sahaja, saya sempat menghadiri tiga majlis walimah yang melibatkan saudara dan kenalan. Satu daripadanya perkahwinan rafik dan juga teman seprofesion, Sdr Hasnol Esham. Tahniah dan selamat pengantin baru. Semoga hubungan yang suci dan tulus ini kekal sehingga ke syurga. Insya Allah.


Selamat melangkah ke rumah perkahwinan
Antara rafik yang sempat singgah meraikan hari bahagia kedua-dua mempelai
Pengantin lama yang kembali memugar cinta di pelamin masa

RUMAH PERKAHWINAN
 
Kau akhirnya menemui rumah perkahwinan
setelah sekian lama berkelana mencarinya
rumah perkahwinan yang kauteduhi
 sendinya tiang cinta ranum
 dindingnya papan kejujuran
 bumbungnya atap tanggungjawab
 pelantarnya lantai kasih sayang
 
Rumah perkahwinan ini sahabat
tak selamanya agam tersergam
barangkali suatu masa
 badai khianat bisa meruntuhkan ruang
 ribut masalah bisa menerbangkan bumbung
 taufan amarah bisa melanggar dinding 
 banjir fitnah bisa memecahkan lantai
 
Tapi, usah kausimpan ragu di rak fikirmu
kerana inilah rencah cabaran
sebuah rumah perkahwinan
tukangilah dengan sebenar sungguh
agar binaanya kembali teguh
 
Sahabat
rumah perkahwinan adalah syurga
di dunia, tiada lagi yang sepertinya.



Wednesday, May 26, 2010

Judi Bola


Setiap gol adalah duit untuk pencacai dan tahi judi
sumber: www.zimbio.com/Indonesian%2Blang...icles/33
Kedatangan Bola Sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sememangnya ditunggu-tunggu dengan penuh ghairah dan teruja. Barangkali, pada edisi kali ini jumlah peminatnya akan bertambah sekali ganda sekiranya tiada keputusan sebaliknya pada saat-saat akhir tentang langkah kerajaan meluluskan lesen judi bola untuk pertandingan pada tahun ini. Hal ini bermakna, kita bukan sahaja boleh menonton dan menyokong pasukan impian kita, tetapi dalam masa yang sama mempertaruhkan wang kita secara 'halal' dalam setiap pertandingan. Biasalah adat berjudi, waima 'halal' mahupun 'haram'; ada nasib untung, takda nasib bungkus. Tetapi, untuk umat Islam, percaya dan yakinlah, tidak ada istilah untung untuk pencacai dan tahi judi.

Suka saya menegaskan di sini – walaupun yakin kepimpinan negara tidak akan membaca blog saya – sebagai seorang Islam dan warganegara yang waras, saya menentang sekeras-kerasnya jika kerajaan meneruskan hasrat memberikan kelulusan lesen judi ini. Cukup-cukuplah dengan lesen sedia ada yang sudah tidak boleh (?) dihapuskan memandangkan 'sumbangannya' yang cukup besar untuk ekonomi negara.

Pada ketika ini, semua mata tertumpu dan ternanti-nanti kalau-kalau ada keputusan drastik membatalkan terbit daripada mulut PM. Malangnya, ketika Piala Dunia sudah diambang pembukaannya, PM yang kita kasihi masih lagi mengunci rapat mulutnya. Tiba-tiba yang terpacul ialah ;

KERAJAAN SETUJU UNTUK MEMINDAHKAN
STESEN KTMB TANJONG PAGAR KE WOODLANDS
PM Malaysia dan Singapura akhirnya menemui jalan penyelesaian yang khabarnya menguntungkan kedua-dua negara. Harap-harap begitulah 
sumber: http://mstar.com.my/



Sunday, May 23, 2010

Hadiah Ilmu dan Pengalaman




Tahniah kepada anak Babah kerana masih mampu membuat persembahan terbaik walaupun suaranya sering disekat oleh selesema dan batuk yang mengganggu. Ternyata hadiah yang paling berharga kali ini bukanlah plak kenangan atau sijil ingatan tetapi ilmu dan pengalaman yang mampu diguna pakai sampai bila-bila.

Durrotun Nasihah, jangan hanya menghafaz untuk pertandingan. Lepas ini hafazan perlu diteruskan, malah harus ditambah jumlah bilangannya. 

Maaf, gambar oleh jurukamera amatur

Sunday, May 16, 2010

Yang Bernama Guru

Yang Bernama Guru

Seorang guru dengan kapur ilmu
acap sudah menuliskan kejayaan
di papan kehidupan berlaksa pelajar
walau berdekad usianya lunas di medan ini
dia tidak sekali mengungkap jemu
tugasku belum sempurna, katanya 
selagi jarum hayat belum berhenti
selagi roh belum dijemput pergi.

Guru itu profesionnya pelbagai
mengajar itu tugas hakiki
tapi, dia juga peguam yang petah lidah
bijak tindak mematah setiap helah
dia polis yang mesra tetapi tegas
kala disiplin di luar batas waras
dia doktor yang lengkap beg rawatan
kaunter ubatan sifar bayaran
dia pegawai bank yang baik hati
menghulur simpati dari kocek sendiri
malah, dia tidak silu memesrai penyapu
tatkala kelasnya dipenuhi debu.

Guru itu masih berjawatan lama di sekolah lama
sedang doktor yang dilentur sudah menerima pesakitnya
peguam yang ditatih sudah memenangi kesnya
politikus yang dipimpin sudah menduduki kerusinya
usahawan yang diasuh sudah berbuah untungnya

Guru itu ketika ditanya
ada bekas pelajar menjengukmu?
jawabnya sembari senyum penuh makna
mendidik itu tanggungjawab rasmi dan bergaji
jadi, apa perlu mereka ke sini.
SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA GURU DI MALAYSIA DAN GURU-GURU YANG TELAH BERJASA SEHINGGA MELAHIRKAN SEMUA GURU YANG ADA SEKARANG.










Tuesday, May 11, 2010

Sejarah 1992: Mampukah Diulangi?




Mampukah sejarah 1992 berulang?
Kemenangan 3 – 2 pasukan Jepun ke atas pasukan Piala Thomas negara seolah-olah mengiakan pandangan umum sebelum ini, iaitu hanya Datuk Lee Chong Wei dan pasangan Koo-Tan mampu menyumbang mata untuk negara. Walaupun kita bermula agak baik dengan mendahului 2 – 0, tetapi kita gagal mencuri satu kemenangan dari 3 perlawanan terakhir. Saya sebagai peminat paling kecewa apabila bergu kedua Farizuan – Zakri dan perseorangan ketiga Hafiz gagal memenuhi harapan seluruh peminat untuk sekurang-kurangnya memberikan satu mata untuk negara. Walaupun kita tetap berjaya ke suku akhir sebagai naib johan kumpulan, tetapi rasanya dengan persembahan pembukaan yang ditunjukkan, minta maaf, saya terpaksa katakan, kita mungkin sekali lagi akan berputih mata (harap-harap saya salah). Kita baharu berhadapan dengan Jepun, belum lagi gergasi badminton lain seperti China dan Indonesia.

Saya juga turut kecewa dengan sikap Farizuan yang gagal mengawal emosi apabila dihujani cemuhan penyokong sendiri. Nampaknya, kem yang dibuat selama berminggu-minggu (antaranya turut menekankan ketahanan mental) untuk pasukan badminton negara, gagal membentuk sahsiah dan ketahanana mental pemain-pemain kita. Saya terfikir bagaimana pula agaknya, jika beliau berhadapan dengan penyokong Indonesia di Istora Senayan. 
Farizuan perlu  belajar mengawal emosi jika ingin sebaris
dengan pemain handalan dunia yang lain


Dari satu sisi, sikap penonton yang bersikap 'sokong membawa rebah' memang tidak menguntungkan. Penonton perlu bersama-sama pemain, biar dalam apa keadaan sekalipun. Begitu pun, satu hal yang perlu difikirkan juga, penonton yang sanggup mengeluarkan biaya sendiri ke stadium, pastinya inginkan persembahan terbaik daripada pasukan yang mereka sokong. Kalah atau menang, adat permainan. Bagaimanapun, kekalahan perlulah dengan sifat melawan dan bukannya bermain secara ala kadar dan sambil lewa. Sesiapa yang menonton perlawanan tersebut, pasti bersetuju bahawa dari awal lagi, tiada tanda-tanda pasukan bergu negara akan menang. Dan kesudahannya, begitulah; tewas dua set terus dengan mudah. Rasanya sudah sampai masa untuk Rexy memikirkan mempertaruhkan bergu ketiga untuk perlawanan seterusnya. Biarpun muda dan masih mentah, barangkali azam dan semangat mereka lebih baik dari yang lain-lain. 

Perlawanan penentu antara Hafiz dan Sato juga mengecewakan. Dengan jurang ranking antara kedua-duanya, selain rekod pertemuan, Hafiz seharusnya tidak mempunyai masalah meratah Sato di laman sendiri. Sekali lagi, hal sebaliknya berlaku. Hafiz sering mengeluh penonton tidak bersama-samanya menyebabkan prestasinya semakin merudum. Bagaimanapun, malam tadi jelas penonton di arena telah melupakan rentetan kedukaan yang dihadiahkan Hafiz dengan memberikan sokongan padu sehinggalah ke mata penamat. Malangnya, Hafiz sekali lagi menghadiahkan episod duka untuk penonton.

Seorang sahabat pernah meluahkan rasa hairannya, mengapa Hafiz yang suatu ketika berada di puncak dunia dengan memenangi kejohanan All England, tiba-tiba melalui episod duka dalam kerjayanya. Dia hairan mengapa begitu mendadak sekali. Saya secara berseloroh mengatakan, Hafiz selepas All England, dah pandai pakai rantai. Dia ketawa.

(Saya apabila melihat Hafiz, entah mengapa sering sahaja terbayangkan watak Syahir dalam novel Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring. Entah mengapa saya rasakan Syahir itu Hafiz dan Hafiz itu Syahir, walaupun keperibadian dan sahsiah kedua-duanya jauh berbeza. Barangkali saya sangat berharap ada pemain Islam kita nanti akan tampil seperti Syahir. Dan melihat ciputan pemain Melayu yang ada, hanya Hafiz yang menonjol. Barangkali itulah sebabnya saya melihat Hafiz itu Syahir.)

Apapun yang berlaku malam tadi, pasukan negara akan tetap ke suku akhir. Kita bakal bertemu Denmark dan jika berjaya melepasi halangan penuh liku itu (tetapi menurut Rashid peluang kita cerah – harap-harap begitulah), tsunami China menanti kita. 

Pasukan badminton Malaysia, seluruh negara menantikan sentuhan magis anda!









 




Thursday, May 6, 2010

Anak Juga Mengajar


Wajah anak manis saya sebelum pertandingan
Ketika satu-satunya anak perempuan saya (setakat ini) memberitahu bahawa dia akan mewakili tadikanya untuk pertandingan tilawah, saya macam tidak percaya. Katanya, dia harus menghafal surah Ar- Rahman, ayat 1 hingga 6 berserta maksudnya sekali. Apa yang mengejutkan, dia telah pun menghafaz ayat-ayat tersebut. Cuma, tajwidlah yang perlu diperbaiki. Anak perempuan saya yang berusia 5 tahun itu, jika di rumah, pengajiannya baharu setakat Iqra' 3. Tetapi dengan kaedah hafazan, dia sudah berjaya menguasainya.

Sejak itulah, dia akan mendesak saya untuk mengajarnya setiap usai sesi mengaji. Memang agak sukar memperbaiki bacaan yang salah tetapi sudah sebati di lidahnya, apatah lagi anak saya (kesemuanya) memang ada masalah dengan sebutan huruf 'R' dan kalau dalam bacaan al-Quran tentulah huruf 'RO'. Tetapi dengan kesungguhan si anak kecil ini, dia berjaya juga meminimumkan kesalahan tajwidnya. Dan, Alhamdulillah, dia akhirnya berjaya, bukan sahaja johan pada peringkat DUN, tetapi juga pada peringkat Parlimen. Pada 22/5 nanti, dia akan mewakili daerah Kuala Pilah ke pertandingan peringkat negeri di Rembau. Tahniah untuk anak kesayangan Babah, semoga kesungguhan yang ditunjukkan akan juga dipraktikkan dalam perkara-perkara lain, khususnya dalam pelajaran dan ibadah, Insya Allah.

Kesungguhan yang ditunjukkan anak-anak kita sebenarnya memberikan kita iktibar dan pengajaran. Dengan kata lain, bukan kita sahaja yang dapat memberikan ilmu dan teladan untuk anak-anak tetapi anak-anak juga memberikan kita perkara yang sama. 

Terima kasih Durrotun Nasihah, selepas 34 tahun barulah Babah berjaya menghafaz 6 ayat awal Ar-Rahman.  

 
Menerima hadiah daripada YB Dato' Roslan Yusuf



Tuesday, May 4, 2010

Tahniah Pasukam Pantun SMKJ


Inilah wajah srikandi SMKJ; (dari kiri) Fatin, Shahira, Hidayah, dan Zulaikha

Tahniah kepada pasukan pantun SMK Juasseh kerana berjaya mempertahankan gelaran juara Pesta Pantun Sekolah-sekolah Daerah Kuala Pilah untuk kali yang kedua. Tahniah kepada Hidayah, Shahira, Zulaikha, dan Fatin kerana berjaya mengharumkan nama sekolah sekali lagi pada tahun ini. Untuk Zulaikha, pastinya kejayaan itu lebih manis kerana beliau berjaya menggondol anugerah Pemantun Terbaik. 

Sesungguhnya, kejayaan ini tidak hadir dengan mudah. Tanpa komitmen yang tinggi dan disiplin yang mantap, belum tentu kejayaan ini akan dicapai. Terima kasih kerana sanggup mengorbankan waktu senggang setiap petang dan juga hujung minggu semata-mata memenuhi tuntutan cikgu untuk hadir latihan. Terima kasih juga kerana tidak kunjung penat menghafal puluhan pantun sehingga semuanya tepu di kepala.

Selepas ini, pertandingan peringkat negeri pula menanti anda. Sudah tentu, tuntutan pengorbanannya lebih besar. Masih sudi bersama saya?

Zulaikha sedang beraksi di pentas

Aksi di pertandingan akhir

Shahira sedang menjual pantunnya

Menerima hadiah kemenangan