Wednesday, May 25, 2011

Belakangan ini, saya sering bertemu dengan insan yang hebat-hebat. Ketika mengunjungi Pesta Buku Kuala Lumpur, sekian banyak manusia hebat yang saya temui, cuma sempat atau tidak, dapat atau tidak untuk beramah mesra sahaja. Pada hari Sabtu lepas, saya terpaksa memilih dua program yang juga bakal menemukan saya dengan insan yang hebat-hebat. Jika saya ke IPG Raja Melewar, saya bakal bertemu dengan tokoh-tokoh sastera tanah air seperti Dr. Mawar, Pn. Mahaya, dan Dr. Norhayati (UM). Manakala, jika saya ke sekolah, saya bakal bertemu dua tokoh guru yang mungkin biasa pada pandangan umum tetapi cukup hebat untuk profesion keguruan. Akhirnya, tuntutan kerjaya dan batasan oleh majikan, saya memilih ke sekolah (Pn. Mahaya maaf tidak dapat menyumbangkan tenaga sebagai urus setia, Dr. Mawar juga maaf kerana terpaksa menangguhkan lagi pertemuan).
 

 Cikgu Latif, guru cemerlang DG54 dari TKS berkongsi ilmu P&Pnya dengan kami yang serba jahil dan sifar pengalaman. Seusai menghadam isi ceramahnya, saya terus memberi pengiktirafan bahawa beliau sememangnya layak untuk menjawat jawatan 'cemerlang' tersebut. Ilmu P&P yang baharu ataupun yang lama tetapi tidak kami berikan perhatian selama ini dikongsikan dengan cukup jujur dan terbuka. Banyak perkara baharu yang saya peroleh lewat perkongsian ini. Antara yang kekal berbekas ialah betapa perlunya seorang guru menjauhi sifat menyalahkan diri pelajar sebelum guru sendiri berusaha semaksimum mungkin membantunya. Maksudnya, saban tahun kita bertemu dengan pelbagai jenis pelajar, sama ada dari aspek disiplin, pengetahuan sedia ada, sikap, kemahiran dan sebagainya. Dan kita sering cepat mengalah setelah diberitahu ada murid bermasalah khususnya masalah pemelajaran yang perlu kita tangani. Saya mengakui saya juga dalam kategori ini. Justeru, Cikgu Latif mengajar saya untuk meletakkan matlamat kepada setiap pelajar berkenaan dan seterusnya berjuang habis-habisan membantu mereka untuk memastikan matlamat (target) tersebut tercapai. Secara peribadi, slot yang ditangani oleh beliau ini benar-benar memberikan dimensi baharu kepada saya. Terima kasih cikgu.

 Slot kedua tidak kurang hebatnya kerana Ustazah Nik Norsuha berjaya mengikat jiwa saya untuk terus bersamanya sepanjang slot yang ditanganinya. Secara peribadi, saya tidak mengenali beliau malah tidak pernah mendengar namanya walaupun latar belakangnya menunjukkan bahawa beliau bukan orang 'biasa-biasa'. Rupa-rupanya, beliau sering dijemput berceramah ke sana sini, malah pernah diminta menggantikan tempat Dr. Mashitah dalam satu ceramah dan pernah sepentas dengan Dr. Jamil Khir dan Dr. Ridhuan Tee, dan ramai lagi tokoh penceramah tanah air. Selain itu, beliau juga sudah biasa berceramah di hadapan ratusan dan ribuan penonton. Justeru, apabila orang sehebat beliau sanggup turun ke Juasseh dann memberikan perkongsian ilmu dengan audiens yang hanya lebih kurang 50 orang, saya benar-benar bersyukur dan berterima kasih. 
 Slot beliau lebih kepada motivasi guru iaitu kepentingan menjaga amanah sebagai guru. Mungkin apa yang diperkatakan oleh beliau bukan perkara baharu kepada saya kerana sudah sering saya temui lewat buku-buku terbitan Galeri Ilmu dan Telaga Biru, juga majalah-majalah yang sering digulati seperti Solusi dan Anis. Cuma, kaedah penyampaian beliau yang membezakannya dan itu jugalah yang menyebabkan semua guru tetap fokus dan teruja sehingga ke akhir slot. 
 Pada saya, selain kaedah penyampaiannya, cara beliau dan suami menguruskan keluarga turut memberikan input yang cukup berguna. Ini antara kisah yang disampaikan secara percuma, di samping topik asal yang dibicarakan. Beliau berkerjaya dan mempunyai 11 anak untuk diuruskan tetapi sehingga setakat ini beliau berjaya menjadikan kesemua anaknya insan yang hebat sepertinya.
 Justeru, terima kasih kepada kedua-dua penceramah atas kesudian berkongsi ilmu dengan kami di Juasseh. Semoga input yang diberikan mampu menjadikan kami insan hebat seperti anda.


Antara guru yang sempat hadir

No comments:

Post a Comment