Wednesday, May 18, 2011

Pesta Buku dan Hari Guru


Assalamualaikum. 
Nampaknya dalam segala hal saya terlewat. Gangguan pada talian internet di sekolah sememangnya merencatkan penulisan di blog ini. Saya tiada talian internet di rumah kerana masalah port dan juga saya tidak pernah ke kedai siber kecuali jika benar-benar terdesak. Justeru, saya mengambil kesempatan dengan talian internet yang agak baik pada hari ini (setelah berminggu-minggu cacamarba) untuk mencatatkan dua peristiwa.

i.
Belakangan ini, entah mengapa, isteri saya menjadi pencinta buku-buku terbitan Galeri Ilmu dan Telaga Biru. Jika dahulu, almari buku yang ada di rumah kami dipenuhi buku-buku sastera milik saya. Sekarang, saya terpaksa memberikan separuh daripada ruang almari itu untuknya. Kesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa KL dua minggu lepas tidak dilepaskan oleh isteri saya untuk menambah koleksi peribadi buku-buku terbitan kedua-dua syarikat penerbitan tersebut. Peruntukan khas yang saya berikan untuknya membeli buku-buku yang diingin di pesta buku ternyata tidak mencukupi dan dia sanggup mengeluarkan biaya sendiri bagi memastikan senarai buku yang tercatat dalam pertimbangannya dapat dimiliki. 
 Tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah tentang hobi baharunya. Saya ingin berkongsi ilmu yang saya kutip seusai menikmati salah satu daripada buku yang dibelinya. Tajuk buku tersebut (terbitan Telaga Biru) ialah Pemilik Cintaku tulisan Fatimah Sharha Mohd Nordin (setelah dua minggu baharu kini saya dapat menikmatinya). Perasaan pertama saya selepas menghabiskan muka surat terakhir buku tersebut ialah kagum dan yang kedua rendah diri.
 Saya betul-betul kagum dengan istiqamah Qani'ah (penulis?) dalam mencari pasangan hidupnya. Saya yakin kisah yang dipaparkan bukanlah rekaan tetapi realiti yang berlaku kepada Qani'ah atau orang lain yang menggunakan nama samaran Qani'ah. Melihat kesempurnaan kaedah mencari pasangan yang diamalkan; sama seperti yang disarankan dalam al-Quran dan juga sunah Rasulullah saw, saya bersyukur kerana masih ada insan istimewa seperti ini yang wujud dalam dunia realiti. Keperibadian Qani'ah dan pasangannya Dr. Muslih, sebelum, semasa, dan selepas pernikahan benar-benar mengagumkan.

 
Kedua, berbaur dengan rasa kekaguman itu, saya turut berasa rendah diri (takut sebenarnya) apabila membandingkan diri dan keluarga yang cukup kerdil dan jahil dengan pasangan Qani'ah dan Dr. Muslih. Sebelum ini, saya merasakan bahawa cara dan pengamalan saya sudah boleh dikira baik walaupun masih jauh dari tahap sempurna. Begitupun, sesudah membaca buku motivasi perkahwinan ini, saya tahu terlalu banyak penyimpangan dan dosa yang saya lakukan sepanjang menghuni rumah perkahwinan, baik sebelum, semasa dan selepas mendudukinya. Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa saya dan keluarga seterusnya memberikan kami taufik dan hidayah untuk menjadi keluarga sakinah yang diredai.

 Saya tidak dapat merincikan kekuatan dan kelebihan buku ini dalam entri ini. Justeru, saranan saya kepada pasangan yang ingin bercinta, akan bertunang dan berkahwin, sudah berkahwin, ibu bapa atau sesiapa sahaja, dapatkanlah buku kecil tetapi cukup bermakna ini.

ii.
SELAMAT HARI GURU
Barangkali belum terlewat untuk mengucapkan kata-kata keramat di atas kepada semua guru di seluruh dunia, khususnya guru-guru yang pernah menjadikan saya manusia, bermula dari SK Terachi, SMKDAS, dan pensyarah-pensyarah di UKM yang sebaris duduknya dengan para guru. Antaranya ialah Cikgu Mazwin, Cikgu Che' Aini, Cikgu Noraini (masih di SMKDAS), Cikgu Azlan (kini di SMK Batu Kikir), Cikgu Rashidi, Cikgu Ruslifawati, Cikgu Md Ros, Cikgu Norhayati, Mr. Gunasegaran, Mr. Tan, Cikgu Halimah, Cikgu Hamzah, Cikgu Salleh, Cikgu Rosdin, Ustaz Zaidi, Cikgu Naim, juga pensyarah-pensyarah UKM, Dr. Mawar, Dr. Misran, Dr. Rosnah, Dr. Zubir, En.Nazri, En. Che' Lah, Dr. Saiful, Prof Zul, Prof Sahlan, Prof Solehah, Allahyarham Dr. Othman Puteh, Dr. Mana, Dr. Shafie dan tentunya ramai lagi (ribuan ampun kepada guru-guru yang cukup berjasa tetapi tidak sempat hadir dalam ingatan saya ketika entri ini ditulis). Biar apapun tohmahan dan cemuhan orang tentang kerjaya guru, bagi saya, profesion keguruan tetap berada di kedudukan teratas.

Sehubungan dengan sambutan hari guru, kejutan yang diharap-harapkan – seperti yang diuar-uarkan TPM selaku Menteri Pelajaran – oleh semua lapisan guru nampaknya berakhir dengan sedikit kekecewaan. Saya seperti selalu sudah menjangka, tiada berita gembira yang akan memenuhi kehendak dan keinginan semua guru. Pastinya, kejutan yang dicanang-canang, bukan sahaja pada tahun ini tetapi tahun-tahun sebelumnya juga, hanya akan melebarkan senyuman segelintir pihak sahaja. Beginilah, untuk mengubat luka guru-guru biasa sekalian, saya menyarankan agar kita faham dan akur bahawa dalam apa-apa perkara sekalipun, kita tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak. Barangkali, tahun hadapan giliran kita pula. Kepada semua pengetua dan GPK yang bakal menerima kenaikan gred dan gaji, tahniah. Pastikan gaji yang diterima setimpal dengan komitmen dan usaha yang dicurahkan. Insya Allah, kami guru-guru biasa akan berada di posisi anda suatu ketika nanti.  



No comments:

Post a Comment