Sunday, October 30, 2011

Juara Piala Malaysia 2011


Sumber: http://biaqpila.blogspot.com

Assalamualaikum dan salam pertemuan

Penyokong bia gayo timo,

Pemain bia gayo baghat,

Baru jojak!

Tahniah kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan kerana berjaya menjulang trofi Piala Malaysia untuk kali ketiga pada tahun ini.

Petang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara N. Sembilan dan Terengganu, saya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur. Sengaja saya memilih saluran radio Negeri FM kerana ingin sama-sama merasai kehangatan kemuncak kejohanan melalui celoteh penyampai dan pendengar. Jadi, ungkapan di atas menjadi antara kata-kata yang cukup mengikat ingatan saya. Ternyata ungkapan yang dipilih bukan sahaja menarik tetapi turut membawa satu peringatan kepada semua peminat dan pemain bola sepak tempatan. 

Dalam perjalanan tersebut, laluan bertentangan dengan saya penuh dengan deretan kenderaan. Selang sebuah atau dua buah kenderaan, pasti kenderaan seterusnya dibaluti oleh bendera kebanggan negeri. Di sini walaupun saya belum menjenguk ke stadium, saya sudah melihat kefanatikan para penyokong Negeri Sembilan. Jika sekadar kibaran bendera di kereta dan motosikal, itu sudah menjadi perkara biasa. Bagaimanapun, saya sempat juga menonton aksi terlebih fanatik seorang penyokong yang mengeluarkan separuh badan daripada kereta dan duduk di tingkap kereta dengan tidak berbaju. 

Apabila kita melihat aksi di stadium menerusi kaca televisyen, ternyata situasinya lebih hangat. Kita pasti dapat menonton pelbagai gaya, rupa, dan aksi sepanjang perlawanan. Baik yang kanak-kanak, anak muda, juga yang sudah separuh abad usianya ada yang mengecat muka mengikut warna bendera negeri, rambut juga pelbagai warna dan gaya, ada yang tidak berbaju, ada yang dirasuk histeria, dan macam-macam lagi.  Kata-kata makian apatah lagi. Seolah-olah, sudah menjadi perkara biasa apabila tidak berpuas hati, sama ada kepada pemain sendiri, pemain lawan, ataupun pegawai pertandingan. (Inilah antara sebab mengapa saya tidak pernah membawa keluarga ke stadium). Malah, saya pernah diberitahu ada yang membaling botol mineral berisi air kencing ke arah FRU! Mungkin ada yang mengatakan ini perkara biasa. Malah, ini dikatakan lebih baik berbanding aksi penyokong-penyokong Kelantan.

Ya, ini memang perkara biasa kerana begitulah rutinnya setiap kali dan tiada yang akan mempersoalkan. Bola sepak bukan berasal dari budaya kita tetapi kerana statusnya sebagai sukan nombor satu di dunia dan sukan paling popular, maka kita turut menerima tempiasnya. Maka secara tidak rasminya, sukan bola sepak juga menjadi budaya dalam negara dan dimainkan dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status, umur dan juga jantina.  

Persoalannya, mengapa kita tidak boleh menerapkan cara dan budaya kita apabila menonton bola sepak? Apakah apabila melibatkan keseronokan dan sorak-sorai, tidak ada etika dan budaya yang perlu dipatuhi? Adakah majlis-majlis seperti kenduri kahwin atau majlis ilmu, baharu ada etika dan budayanya? 

Apapun, sekali lagi tahniah untuk negeri kesayangan saya kerana menjadi juara Piala Malaysia. Saya suka menuliskan sekali lagi, "PENONTON BIA GAYO TIMO, PEMAIN BIA GAYO BAGHAT, BARU JOJAK!"

No comments:

Post a Comment