Friday, October 30, 2009

JIdJ di Kamar Sukan

Perkara pertama yang terlintas seusai membaca novel remaja bertemakan sukan nukilan Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring ialah bagaimana caranya agar pelajar-pelajar saya turut menikmati novel yang menarik ini. Saya benar-benar berharap watak Syahir dalam novel tersebut akan menjadi ikutan para pelajar saya yang rata-ratanya fanatik bersukan (kalaulah dalam akademik juga sefanatik itu, berbahagialah guru-guru SMK Juasseh) tetapi tidak mengikuti lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Rasanya masalah ini turut dirasai oleh guru-guru lain di mana-mana pun. 
Begitu pun, sebagai guru yang bertanggungjawab terhadap sukan di sekolah secara langsung, ada kalanya rasa bersalah dan berdosa itu tetap menyelinap dan sentiasa bermain-main di fikiran. Ini tidak bermakna saya tidak berbuat apa-apa. Saya juga sering mengingatkan malah ada kalanya menjadikannya syarat untuk dipilih sebagai pemain atau atlet. Bagaimanapun, langkah sebegitu tidak begitu berkesan kerana ia hanya dapat mengubah pelajar untuk seketika. Tambahan pula, syarat ini tidak menyeluruh kerana apabila pelajar-pelajar ini berjaya mewakili daerah atau negeri, syarat tersebut tinggal bersama-sama saya di sekolah. Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan jurulatih sendiri yang merasakan prestasi atlet akan merosot jika memakai pakaian menutup aurat. Malah mereka sendiri yang tidak membenarkan.
Berbalik kepada persoalan awal tadi, bagaimana caranya agar pelajar saya mencari dan menikmati novel Zaid ini. Secara spontan, timbul idea agar petikan dalam novel ini saya abadikan di dinding Kamar Sukan (Stor Sukan). Mungkin dengan cara ini, pelajar-pelajar yang lalu-lalang akan singgah sebentar dan menikmati dan menghayati kata-kata tersebut. Mungkin juga selepas itu, mereka akan berusaha pula mencarinya di perpustakaan sekolah. Daripada 10 orang, tak dapat semua, dapat separuh pun jadilah. Paling tidak pun, seorang. Jangan tak ada langsung. 
Harapan saya dengan cara ini, sedikit banyak dapat membantu mencapai matlamat pengarang iaitu Zaid untuk berdakwah lewat novel-novelnya.
                                   
 
Petikan JIdJ di Kamar Sukan SMK Juasseh
p/s- Harap-harap Zaid janganlah minta royalti daripada saya ya.
   


Wednesday, October 21, 2009

Selamat Ulang Tahun Kelahiran

Entri ini sebenarnya sudah agak lewat kerana kedua-dua anak bujang saya menyambut ulang tahun kelahiran mereka pada 13 dan 16 Oktober masing-masing. Pada kesempatan ini, Babah sekali lagi mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran dan selamat menjalani hidup penuh barakah. Semoga menjadi insan seperti yang sering Babah dodoikan setiap malam sewaktu kecil dahulu. Sesungguhnya menghadapi keletah dan ragam anak-anak akan segera mengingatkan kita kepada 'seksa' dan 'derita' yang kita sendiri hadiahkan kepada ibu dan ayah sewaktu kita seusia mereka dahulu. Justeru, sebagaimana sabar dan redhanya ibu dan ayah, harap-harapnya kita juga begitulah.

 
Adik dan abang sedang memotong kek (cukup syarat) sempena sambutan ulang tahun mereka berdua. Si kakak yang lahir bulan 5 pun menumpang sama juga.

Bercakap tentang lagu dodoi, mungkin saya boleh berkongsi dengan semua sahabat lagu yang sering saya dendangkan ketika tangan menghayun buai saban malam (sama-sama menggalas tugas murni ini dengan isteri). Pada saya, apa sahaja yang keluar dari mulut kita adalah doa. Semoga lagu yang saya alunkan saban malam itu akan membentuk mereka sama seperti yang saya harap dan impikan. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya mereka akan menjadi anak soleh dan solehah, anak yang akan membahagiakan, anak yang akan mendoakan dan anak yang akan membawa kami suami isteri ke syurga, insya Allah.

Anak Babah tu Muhammad Bukhari
anak Babah tu Muhammad Bukhari
bila besar nanti nak hafaz al-Quran
sepanjang masa jadi amalan

Hasrat hatinya ingin berjasa
kepada ibu bapa serta keluarga
ingin menjadi anak yang soleh
mahu berbakti selama boleh  

Anak Babah tu Durrotun Nasihah
anak Babah tu Durrotun Nasihah
ingin menjadi anak solehah
mahu berpegang al-Quran dan Sunnah

Menjadi doktor itu impian
bukan sembarang doktor, doktor beriman
ingin membantu semua orang
keikhlasan diutamakan

Anak Babah tu Muhammad Iqbal
anak Babah tu Muhammad Iqbal
malam dan siang al-Quran diamal
wajib dan sunat menjadi bekal

Jadi pujangga menyalur ilham
dengan kuasa pena membangun Islam
mahu seperti ulama silam
menyebar dakwah melalui kalam.





Thursday, October 8, 2009

Bengkel Penulisan Novel

Bersama Nisah ketika bab 1 novel saya dibicarakan

Ketika meninggalkan Sandakan buat kali terakhir seusai dipindahkan kembali ke Semenanjung, saya sudah menanam tekad akan menterjemahkan pengalaman sendiri dan rakan ketika bertugas di sana ke dalam novel. Malah, saya turut berikrar akan menyelesaikannya sebelum usia menjangkau 30 tahun. Malangnya, kerana ketiadaan disiplin dan kesungguhan (mungkin juga kerana kurangnya tekanan), impian tersebut tinggal angan-angan. Oleh sebab itulah, apabila berpeluang mengikuti bengkel penulisan novel anjuran JPNNS, saya terus merebut peluang itu.

Sebenarnya jika mengikut senarai awal, nama saya tidak tercatat sebagai salah seorang yang akan mengikuti bengkel ini. Begitupun, kerana makluman daripada seorang sahabat, saya memohon untuk ikut serta. Alhamdulillah, saya diizinkan dengan syarat (dengan kadar segera) perlu menyiapkan sinopsis dan bab pertama novel. Saya pun dengan tergocoh-gocoh segera memenuhi syarat yang diinginkan. Sinopsis dan bab pertama memang tidak ada, cuma kerangka sahaja yang berlegar-legar di dalam kepala sejak dahulu.
 Ada dua faktor mengapa saya beria-ia untuk serta. Pertamanya, dalam banyak-banyak genre kreatif yang saya minati, bengkel novel merupakan satu-satunya yang belum pernah saya hadiri. Saya hanya belajar daripada karya orang lain, melalui pengalaman mereka dan juga berguru dengan buku. Justeru, peluang ini tidak wajar dilepaskan. Keduanya, siapa yang tidak ingin bertemu muka dan berkongsi ilmu dengan Sasterawan Negara ke-10, Dr. Anwar Ridhwan yang sohor dengan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto. Siapa pula yang tidak ingin belajar dan berkongsi petua keprolifikan dua pengarang muda, Faisal Tehrani dan Nisah Haji Haron.
 Pertemuan dengan Dr. Anwar sangat singkat dan secara jujur saya katakan, saya tidak dapat belajar banyak daripada beliau. Begitupun, kehadiran saya ke bengkel ini tetap berbaloi kerana kuliah dan bengkel daripada Faisal dan Nisah begitu mengesankan. Faisal yang saya kira seorang yang serius (melihat daripada penulisan dan catatan dalam blognya) rupa-rupanya seorang yang kuat berjenaka dan itulah modal untuk memeriahkan bengkelnya. Nisah pula tidak begitu asing kerana kami sering bertemu dalam banyak program PEN. Begitupun, inilah kali pertama saya menjadi peserta bengkel beliau. 
 Terima kasih kepada Pengetua SMK Datuk Sedia Raja dan seluruh warga kerjanya. Begitu juga dengan JPNNS yang menganjurkan bengkel ini. Semoga dengan date line yang diberikan, saya akan hidup dalam tekanan untuk menyiapkan novel ini.  


Bergambar dengan Faisal Tehrani

Thursday, October 1, 2009

Aidilfitri Membugar Nostalgia

Assalamualaikum

Sekali lagi diucapkan selamat hari raya. Mohon ampun zahir dan batin. Mungkin aidilfitri kali ini agak berbeza kepada kami sekeluarga. Buat pertama kalinya, kami meraikan sinar Syawal tanpa bonda tercinta yang telah berangkat menemui Ilahi pada November tahun lepas. Walaupun sudah menghampiri setahun usia kepulangannya, kesedihan masih kami rasai seisi keluarga. Ketika inilah rendang bonda menjadi dambaan semua. Tahun ini, ada beberapa tangan yang menyediakan rendang termasuk 'Kak Long'. Rasanya juga membangkitkan selera tetapi pasti tidak seisitimewa rendang air tangan bonda. Al-Fatihah untuk bonda.
 Begitu pun, kehadiran beberapa rafik yang antaranya telah belasan tahun tidak bersua muka ternyata dapat mengubat sedikit kesedihan. Aidilfitri kali ini benar-benar membugar nostalgia. Mamat, Taha, Kak Yan, dan Salim (sahabat sekampung) adalah sahabat lama ketika belajar di Tingkatan 6 di SMDAS pada tahun 1995. Suatu yang membuat saya bangga ialah masing-masing mempunyai kerjaya yang boleh dibanggakan. Malah, apabila masing-masing tiba dan memenuhi ruang parkir saya dengan deretan kereta mewah, saya jadi terkejut. Mamat kini seorang pegawai di KDN; Taha Eksekutif Kanan di PNB, Kak Yan pramugari di MAS, dan Salim kini orang penting di kilang Pepsi Bangi. Saya? Saya kekal guru biasa di sekolah biasa di daerah biasa.

 Justeru, tahniah kepada semua rafik yang berjaya dalam lapangan masing-masing. Harap pertemuan kita pada Syawal ini akan merintis lagi pertemuan demi pertemuan pada masa-masa akan datang. Malah, kalau dapat biar jumlahnya makin bertambah. Kita masih ada sahabat lain yang bernama Zaidi, Ali, Suriyati, Ramli, Salmiah, Along Salawati, Kak Ita, dan lain-lain. Di mana mereka ya?

   

Dari kiri: Kak Yan dan anak, Taha, Salim, 

Mamat, saya, dan isteri saya (Ita)