Sunday, March 21, 2010

Guru Itu Profesionnya Pelbagai

Guru ke pekerja kontrak sekolah?

Melihat kepada kesungguhan dan kecekalan para sahabat guru menyiapkan garisan balapan dan padang untuk kejohanan olahraga sekolah, saya tiba-tiba teringat dengan sebuah sajak yang dihasilkan ketika era sajak-sajak polos saya dahulu. Sengaja saya kategorikan sajak itu sebagai sajak polos kerana pada ketika itu saya tidak teliti dalam memilih diksi dan sering sahaja baris-baris sajak saya lewah dengan pelbagai kata yang tidak perlu (barangkali). Begitu pun, sajak itu masih mendapat tempat dalam sebuah majalah sastera untuk penulis baharu. 

Guru tua itu profesionnya pelbagai
mengajar itu tugas hakiki
tapi, dia juga peguam bijak dan bersahaja
dalam membongkar kelicikan pelajarnya
dia polis yang mesra tetapi tegas
kala disiplin semakin di luar batas
dia doktor yang lengkap beg rawatan
kaunter ubatan tanpa sebarang bayaran
dia pegawai bank yang baik hati
menghulur simpati dari kocek sendiri
malah, dia tidak silu memegang penyapu
tatkala kelasnya dipenuhi debu.

Sajak ini menyimpulkan bahawa tugas seorang guru sebenarnya bukan mudah. Guru itu boleh menjadi apa sahaja dan terpaksa membuat pelbagai kerja. Hal ini demikian kerana, tugas yang terbeban di pundak seorang guru bukan untuk mengajar semata-mata. Selain tugas pentadbiran dan pengurusan, guru itu juga perlu menjadi seorang doktor sekiranya anak muridnya tiba-tiba rebah atau pitam di tapak perhimpunan. Guru itu juga perlu menjadi polis yang tegas tatkala disiplin menjadi tidak terkawal. Malah, sebagai guru kelas, ramai guru terpaksa bersama-sama menyapu dan membersihkan kelasnya dengan anak-anak muridnya.

Begitu jugalah yang berlaku pada cuti pertengahan penggal yang baru berlalu. Guru terpaksa berkampung di sekolah hampir setiap hari mulai pagi hingga ke petang bagi menyiapkan garisan balapan untuk kejohanan olahraga sekolah. Terima kasih tidak terhingga khususnya buat "bos" Cikgu Azman, Cikgu Abdullah, Cikgu Mahathir, Cikgu Razali, Cikgu Muhriz, Cikgu Hasnol, dan Cikgu Nazbun kerana sanggup mengorbankan waktu cuti untuk bersama-sama menjadi 'hitam' di padang. Apa yang lebih membanggakan kebanyakan daripada mereka juga mengadakan kelas tambahan pada sebelah pagi. Habis sahaja kelas, terus tukar uniform dan bergegas ke padang membantu sahabat-sahabat yang lain. Tahniah dan terima kasih sekali lagi.  

Sesungguhnya, itulah hakikat seorang guru yang kadang-kadang gagal difahami oleh orang lain. Pada mereka, kerja paling mudah dalam dunia ialah menjadi guru. Masuk kerja pukul 7.30 pagi dan balik pada waktu tengah hari. Sebelah petang bolehlah goyang kaki di hadapan televisyen sambil mengunyah kacang goreng. Siapa yang rajin, mungkin boleh buat kerja sambilan; menoreh getah , bawa teksi dan sebagainya. Itulah pandangan klise tentang guru tetapi sebenarnya pandangan itu bersifat stigma dan mitos, yakni pandangan salah tetapi dianggap betul oleh masyarakat umum. Malah, sahabat saya seorang guru tetapi isterinya seorang kakitangan kerajaan agensi berlainan juga gagal memahami tugas suaminya. Dia pernah menceritakan kepada saya bahawa isterinya sering bertanya kenapa dia masih perlu ke sekolah ketika musim cuti persekolahan. Apabila diterangkan tentang tugas-tugas yang perlu dilunaskan, isterinya bertanya lagi kenapa dia yang harus lakukan dan tidak orang lain. 

Saya, nasib baiklah isteri saya juga guru. Kalau saya sengang-sengang di rumah waktu cuti, dia pula yang akan bertanya;

"Tak ke sekolah ke hari ni?" atau

"Takde buku ke nak ditanda?"

Alhamdulillah.





1 comment:

  1. teringat sajak Guru Oh Guru. Hanya guru yang tahu apa itu kerja guru....

    ReplyDelete