Perasaan bercampur-baur ketika bersama-sama teman-teman PEN di gerai jualan dan kuiz sempena program Titipan Za'ba di Teratak Za'ba di Batu Kikir. Perasaan gembira dan berbesar hati sudah pasti kerana Pn. Mahaya sudi melibatkan saya dalam program tersebut. Duduk di gerai PEN sambil melayan kerenah pengunjung yang pelbagai ragam sememangnya suatu pengalaman yang bakal kekal dalam kotak ingatan jangka panjang. Ditambah pula dengan puluhan soalan yang rencam, seolah-olah kita menjadi pakar rujuk, walhal, saya sendiri pun baru setahun jagung. Nasib baik juga ada Pn. Mahaya, Datin Sabariah, dan Zalila Isa yang nyata cukup berpengalaman, tepu ilmu, petah lidah, dan melimpah ramah. Program tersebut berlangsung pada hari persekolahan. Begitu pun, saya sedikit bertuah kerana sekolah saya turut dilibatkan dalam program yang dihadiri MB tersebut. SMK Juasseh diminta menghantar 40 murid untuk turut sama memeriahkan program yang diadakan khas bagi memperingati jasa dan sumbangan Pendeta Za'ba itu. Justeru, saya meminta ihsan agar dipilih sebagai salah seorang guru pengiring. Jutaan terima kasih juga buat Pn Norliza dan Pn Siti Hazar kerana sudi 'melepaskan' saya ke gerai PEN dan mengambil alih tugas saya mengawal kerenah anak-anak murid.
Gerai PEN
Begitu pun, ada juga perasaan sedih dan sedikit kecewa yang masih berbekas di atma. Sepanjang bertugas mengendalikan kuiz bahasa dan sastera di gerai PEN, kebanyakan yang singgah untuk memeriahkan aktiviti ialah golongan pelajar, guru, kakitangan agensi kerajaan yang lain, dan juga masyarakat setempat. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah masyarakat umumnya masih 'buta' tokoh dan perkembangan sastera tanah air. Gambar-gambar tokoh yang ditunjukkan – malah ada antaranya dalam kalangan sasterawan negara – gagal untuk dikenali oleh pengunjung yang singgah. Biar pun tidak semua begitu tetapi bolehlah dirumuskan, umumnya begitu. Novel-novel terkenal seperti Salina dan Seorang Tua di Kaki Gunung juga tidak dikenali siapa penulisnya.
Begitu juga program deklamasi sajak yang dikhususkan untuk PEN pengendaliannya. Masa yang diperuntukkan jelas tidak sesuai – pukul 3.00 petang seusai Jumaat – kerana pada ketika itu jumlah pengunjung sudah jauh menyusut. Majlis perasmian diadakan pada sebelah pagi, gerai juga hanya dibuka sehingga tengah hari, justeru, siapakah lagi yang tinggal untuk menonton program deklamasi berkenaan? Keadaan semakin diburukkan apabila pertandingan memancing yang dijadualkan pada 4.00 petang telah diawalkan menyebabkan tumpuan penonton beralih ke acara yang barangkali lebih 'mengujakan' itu. Akhirnya, apa yang berlaku ialah, para deklamator seolah-olah hanya syok sendiri ketika mendeklamasikan sajak mereka. Penonton yang ada hanyalah dalam kalangan yang akan bersajak dan beberapa orang kakitangan Lembaga Muzium. Saya sendiri hampir-hampir membatalkan niat untuk mendeklamasikan sajak "Kitalah Tuan" yang penuh patriotik dan bersemangat dan menggantikannya dengan sajak yang lebih pendek dan bernada rendah. Bagaimanapun, saya kembali ke niat asal setelah mendengar kata-kata semangat Datin Sabariah agar jangan patah semangat dan kecewa dengan situasi yang berlaku. Tambahnya, buat sahaja seperti yang dirancang. Akhirnya, program deklamasi yang telah diatur tetap berlangsung dengan jayanya.
Sebenarnya, masalah sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Saya sering juga mendengar keluhan yang sama oleh penggiat yang lain di akhbar-akhbar dan juga di blog-blog. Sebagai guru juga, saya cukup faham bahawa masa depan kesusasteraan di sekolah – yang diharapkan menjadi tempat penyuburan kesusasteraan – sendiri masih kabur. Justeru, masalah kehilangan audiens dalam program-program kesusasteraan bukanlah suatu yang pelik. Saya akur tentang itu. Cuma, yang saya kesalkan ialah tiadanya perubahan dalam hal ini sejak sekian lama.
Apapun, saya harap itu tidak akan mematahkan semangat. Ketika ini, kata-kata Datin Sabariah kembali berngiang.
Pn. Paridah mendeklamasikan sajak dan membacakan nazam
Penyair muda SMKJ: Ahmad Lutfi
No comments:
Post a Comment