Tuesday, May 15, 2012
SELAMAT HARI GURU 2012
Wednesday, November 23, 2011
Anak dan Kerenah II
Sebelum sesi persekolahan melabuhkan tirainya untuk sesi 2011 tempoh hari, anak sulung saya menyertai satu pertandingan olahraga peringkat sekolahnya. Sejak kecil, saya cukup maklum bahawa anak saya yang seorang ini tidak dikurniakan bakat yang baik dalam bidang sukan, meskipun dia begitu meminati sukan bola sepak. Faktor badannya yang kecil seringkali menyebabkan dia diketepikan oleh guru (dan juga kawan-kawan) dalam bab bersukan. Jika di kampung pun, dia yang selalunya hadir ke padang dengan seragam lengkap pemain bola sepak (termasuk kasut dan stoking) untuk bermain dengan rakan sebayanya, sering sahaja diberikan peranan sebagai pemerhati di tepi. Jika berlaku kekurangan pemain, barulah dia diberikan peluang untuk bermain. Itupun sebagai penjaga gol sahaja kerana biasanya posisi ini paling tidak digemari oleh rakan-rakannya.
Justeru, apabila dia pulang dan beria-ia bercerita tentang pertandingan olahraga yang disertainya, saya agak terkejut juga. Begitupun, saya tetap juga melapangkan sedikit waktu untuk mendengar ceritanya. Katanya;
"Babah, kat sekolah tadi ada lumba lari. Abang pun masuk," katanya dengan nada yang cukup teruja.
"Ye ke? Abang boleh ke lari?" Sengaja saya mengusiknya.
"Boleh, cikgu yang suruh abang masuk."
"Jadi, macam mana? Menang tak?" Saya bertanya lagi.
"Masa lumba lari tu, abang start lambat sikit. Masa tu, Aiman dah tinggalkan abang jauh dah. Lepas tu, abang pun pecut kuat-kuat, abang kejar-kejar, dekat nak dapat dah, tapi lepas tu, Aiman jugak yang sampai dulu. Sikit lagi abang nak potong," jelasnya cukup bersemangat.
"OK la tu, abang dah cuba sungguh-sungguh. Dapat nombor dua pun kira hebat la."
"Bukan nombor dua la Babah, nombor last. Aiman kedua last," jawabnya selamba.
Mendengar jawapan bersahajanya itu, tawa saya ketika itu hampir pecah. Tetapi saya berusaha menahannya kerana tidak mahu dia terasa hati. Saya cuba berlagak selamba dengan memberi kata-kata semangat.
"Takpa bang, sekurang-kurangnya, abang dah bertanding peringkat sekolah. Maknanya, abang antara yang terbaik la untuk murid-murid 9 tahun."
"Tapi Babah, yang abang masuk tu, baru pemilihan untuk Rumah Hijau," katanya masih selamba.
Ketika itu, saya tidak mampu menyimpan tawa lagi. Saya melepaskan semahu-mahunya. Anak saya hanya menggaru kepala sambil tersengih.
Sekadar gambar hiasan
Sunday, October 30, 2011
Juara Piala Malaysia 2011
Assalamualaikum dan salam pertemuan
Penyokong bia gayo timo,
Pemain bia gayo baghat,
Baru jojak!
Tahniah kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan kerana berjaya menjulang trofi Piala Malaysia untuk kali ketiga pada tahun ini.
Petang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara N. Sembilan dan Terengganu, saya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur. Sengaja saya memilih saluran radio Negeri FM kerana ingin sama-sama merasai kehangatan kemuncak kejohanan melalui celoteh penyampai dan pendengar. Jadi, ungkapan di atas menjadi antara kata-kata yang cukup mengikat ingatan saya. Ternyata ungkapan yang dipilih bukan sahaja menarik tetapi turut membawa satu peringatan kepada semua peminat dan pemain bola sepak tempatan.
Dalam perjalanan tersebut, laluan bertentangan dengan saya penuh dengan deretan kenderaan. Selang sebuah atau dua buah kenderaan, pasti kenderaan seterusnya dibaluti oleh bendera kebanggan negeri. Di sini walaupun saya belum menjenguk ke stadium, saya sudah melihat kefanatikan para penyokong Negeri Sembilan. Jika sekadar kibaran bendera di kereta dan motosikal, itu sudah menjadi perkara biasa. Bagaimanapun, saya sempat juga menonton aksi terlebih fanatik seorang penyokong yang mengeluarkan separuh badan daripada kereta dan duduk di tingkap kereta dengan tidak berbaju.
Apabila kita melihat aksi di stadium menerusi kaca televisyen, ternyata situasinya lebih hangat. Kita pasti dapat menonton pelbagai gaya, rupa, dan aksi sepanjang perlawanan. Baik yang kanak-kanak, anak muda, juga yang sudah separuh abad usianya ada yang mengecat muka mengikut warna bendera negeri, rambut juga pelbagai warna dan gaya, ada yang tidak berbaju, ada yang dirasuk histeria, dan macam-macam lagi. Kata-kata makian apatah lagi. Seolah-olah, sudah menjadi perkara biasa apabila tidak berpuas hati, sama ada kepada pemain sendiri, pemain lawan, ataupun pegawai pertandingan. (Inilah antara sebab mengapa saya tidak pernah membawa keluarga ke stadium). Malah, saya pernah diberitahu ada yang membaling botol mineral berisi air kencing ke arah FRU! Mungkin ada yang mengatakan ini perkara biasa. Malah, ini dikatakan lebih baik berbanding aksi penyokong-penyokong Kelantan.
Ya, ini memang perkara biasa kerana begitulah rutinnya setiap kali dan tiada yang akan mempersoalkan. Bola sepak bukan berasal dari budaya kita tetapi kerana statusnya sebagai sukan nombor satu di dunia dan sukan paling popular, maka kita turut menerima tempiasnya. Maka secara tidak rasminya, sukan bola sepak juga menjadi budaya dalam negara dan dimainkan dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status, umur dan juga jantina.
Persoalannya, mengapa kita tidak boleh menerapkan cara dan budaya kita apabila menonton bola sepak? Apakah apabila melibatkan keseronokan dan sorak-sorai, tidak ada etika dan budaya yang perlu dipatuhi? Adakah majlis-majlis seperti kenduri kahwin atau majlis ilmu, baharu ada etika dan budayanya?
Apapun, sekali lagi tahniah untuk negeri kesayangan saya kerana menjadi juara Piala Malaysia. Saya suka menuliskan sekali lagi, "PENONTON BIA GAYO TIMO, PEMAIN BIA GAYO BAGHAT, BARU JOJAK!"
Wednesday, September 7, 2011
Cabaran Baharu
Minggu ini merupakan minggu terakhir saya di SMK Juasseh sebelum mula bercuti menyambung pengajian di UPSI mengikuti pengajian Doktor Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu. Terima kasih kepada KPM kerana memberikan peluang dan juga kerana yakin dengan kemampuan saya untuk menghasilkan satu kajian yang dapat memberikan manfaat kepada perkembangan organisasi dan juga kemajuan dunia pendidikan di negara ini. Khabarnya dalam satu-satu pengambilan, hanya puluhan guru yang terpilih untuk menerima Hadiah Latihan Persekutuan ini. Walaupun gembira dengan tawaran ini, rasa sayu pastinya tetap ada kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan guru yang cukup akrab dan anak-anak didik yang cukup hormat. Di sekolah ini, juga di sekolah-sekolah lama saya, terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dikutip dan diperoleh. Semua ini pastinya mematangkan perjalanan kehidupan.
Ramai dalam kalangan rafik dan sahabat guru memberikan ucapan tahniah dan selamat bercuti kerana menurut mereka saya akan mula menikmati cuti panjang selepas ini. Barangkali ramai yang beranggapan, peluang bercuti belajar yang diberikan oleh kementerian merupakan waktu untuk melepaskan lelah bekerja dan masa untuk meninggalkan sekejap segala amanah dan tanggungjawab keguruan yang selama ini begitu membebani pundak.
Pada saya sendiri yang dikatakan akan 'menikmati percutian panjang' tentunya mempunyai pandangan sebaliknya. Sebelum memulakan pengajian lagi, saya terlebih dahulu sudah diberi maklum akan apa yang perlu saya hadapi sepanjang tiga tahun yang mendatang ini. Sebenarnya, walaupun saya akan meninggalkan sekejap dunia keguruan dan sepi daripada riuh-rendah suasananya, saya masih lagi akan terbeban dan dihimpit tekanan baharu, khususnya dalam proses menyiapkan kajian yang dibuat. Bukan sekali atau dua kali berita-berita kurang enak tentang kegagalan beberapa calon untuk menghabiskan pengajian sampai ke telinga. Ini tentu menggerunkan, apatah lagi (seperti provokasi salah seorang penceramah ketika kursus persediaan menyambung pengajian di Hotel Dinasty) 'Satu kampung dah tahu!'
Apapun, setiap perkara yang kita akan hadapi pastinya dirintangi oleh cabaran dan tekanan. Segalanya harus dilihat dari sisi yang positif. Justeru, untuk saya, saya bersedia untuk cabaran baharu ini.
Syukur kepada Allah SWT kerana memilih saya untuk menerima cabaran ini. Semoga ketentuan-Nya juga menentukan saya akan berjaya mengharunginya. Insya Allah. Terima kasih kepada ayah dan almarhum ibu. Jika tidak kerana keringat dan kudrat mereka membesarkan dan memberikan pendidikan, saya mungkin tidak berada di kedudukan sekarang. Terima kasih kepada isteri tercinta kerana senantiasa yakin dan percaya kepada kebolehan dan kemampuan saya. Terima kasih kepada semua guru yang pernah menjadikan saya manusia. Terima kasih juga kepada semua rafik kerana dorongan dan semangat yang diberikan.
Thursday, August 25, 2011
Salam Aidilfitri
Kembali kepada cerita Aidilfitri. Pada kesempatan ini, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun kepada guru-guru yang mulia, sahabat-sahabat yang hebat, AJK PEN yang berkaliber, pembaca-pembaca blog anakmandiling.blogspot yang setia, pelajar-pelajar yang berkarisma dan sesiapa sahaja yang mengenali diri saya yang biasa-biasa ini. Sesuai dengan fitrah perayaan ini, diharapkan kita juga dapat membersihkan diri daripada dosa dan segala hasad dan khianat sesama kita. Semoga Aidilfitri tahun ini menjanjikan kemenangan dan kejayaan yang tiada putusnya buat kita semua.
SALAM AIDILFTRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN