Tuesday, December 29, 2009

Muhammad Muadz, Selamat Datang


Assalamualaikum

Alhamdulillah, pada 12 Disember 2009 anak saya yang keempat dan ketiga yang lelaki selamat dilahirkan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana anak ini lahir dalam keadaan yang sempurna. Kedua-duanya (isteri dan anak) dalam keadaan sihat walafiat. Terima kasih juga kepada para doktor dan jururawat yang begitu ramah dan mesra melayan kerenah kami anak beranak.

Anak ini kami namakan Muhammad Muadz, hasil pilihan isteri. Biasanya anak lelaki, saya yang namakan. Tetapi setelah beberapa nama saya cadangkan tidak begitu mesra di mata orang rumah, akhirnya dia sendiri yang pilihkan. Maka lahirlah Muhammad Muadz.

Muadz, selamat datang. Babah berharap nanti, jadilah anak yang soleh, anak yang akan membahagiakan, anak yang beriman, dan anak yang akan membawa Babah dan Umi ke syurga. Insya Allah

Monday, November 30, 2009

Sekitar Majlis Korban Kg. Baru Lanjut Manis

Salam Aidiladha,

Mula-mula ingat 3 rupa-rupanya 6 ekor. Itu tak termasuk 1 ekor lagi besoknya. Mujurlah 'marodu parkouman' pada hari itu cukup ramai dan sama-sama bergotong-royong 'mengorbankan' lembu-lembu tersebut. Paling membanggakan tentunya para belia yang menunjukkan komited yang cukup hebat pada hari itu. Tahniah tu sude balio kg mandiling.

Kanak-kanak tidak ketinggalan berebut telur lembu

Orang tua dibantu oleh belia memotong daging

Kerja melapah tentulah tugas belia (tapi belio ko dio ni?)

Ha, ni sah belia. Menumbangkan lembu untuk disembelih

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilham.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha

Salam aidil adha untuk semua.

Untuk belia Kg. Baru (Mandiling), besok jom ramai-ramai ke surau. Lepas solat, ada 3 ekor lembu menunggu kita. Jangan lupa bawa 'raut' dan 'lading'. 

Setahun sesudah keberangkatan

     Setahun yang lalu, Allahyarhamah emak menghembus nafas terakhirnya sejurus azan Maghrib berkumandang pada malam Jumaat yang pilu. Esoknya, sebelum muslimin berpusu-pusu menuju masjid untuk mengerjakan kewajipan Jumaat, beliau selamat dikebumikan. 20 November yang lepas, genap setahun Allahyarhamah emak meninggalkan kami semua. Kebetulan, tarikh itu juga jatuh pada hari Jumaat. Saya tidak tahu apa rahsianya. Cuma, harapan saya emak akan ditempatkan bersama-sama golongan beriman dan dijauhkan daripada seksa kubur dan neraka. Al-Fatihah.
      Sebenarnya, keberangkatan emak ke perkampungan abadi sempat saya rakamkan ke dalam sebuah sajak yang tidak seberapa. Syukur kepada Allah swt kerana dengan ilham yang dipinjamkan-Nya – selain doa yang senantiasa bertemali – dapat juga saya mencatatkan sesuatu sebagai lambang cinta dan kasih buat emak tersayang. (Sajak ini sudah tentu tidak mampu mengalahkan "Ke Makam Bonda").
Kepulangan Sejahtera
(Al-Fatihah buat bonda misali kami
yang pulang ke perkampungan abadi)


Bonda pun berangkat ketika hujan rahmat
memayungi malam Jumaat yang berkat.

Setelah bertahun derita meresahkan lenanya
malam ini Tuhan menghadiahkan penawar
kulihat bonda tenang dalam kiam
  lapang dalam diam
derita itu tak lagi menjerutnya.

Malam ini bonda
kami kehilangan waktu untuk berbicara
biar ratusan kali Yasin ditalkinkan
biar doa bertemali dikirimkan
kamikah anakmu yang cukup berbakti?
kerana kasihmu tak pernah bersyarat
  jasamu tak mungkin tersukat.

Bonda
kini, tiada lagi tampangmu yang jernih
tinggallah kami dengan sifar kasih.

Bonda 
sesudah kau pulang menemui Kekasih 
kami kehilangan kekasih.

   


Sunday, November 15, 2009

Berkebun adalah Warisan Emak

       Sebagai anak Mandailing, berkebun bukanlah sesuatu yang asing, apa lagi sukar buat saya. Saya masih ingat, sejak di bangku sekolah rendah lagi, Allahyarhamah emak kerap membawa saya merentas bukit ke bukit untuk tujuan itu. Tetapi saya mungkin lebih bernasib baik kerana hanya dibebani tugas-tugas itu ketika cuti sekolah sahaja berbanding abang dan kakak-kakak yang terpaksa mendepaninya hampir saban hari (selepas habis waktu persekolahan). Ketika itu, saya mengakui 'dikerah' ke kebun merupakan perkara yang paling saya benci. Saya tidak boleh bayangkan, sedang saya membuang keringat membanting tulang di sana, rakan-rakan sebaya yang lain sedang berseronok-seronok bermain polis sentri, galah panjang, baling selipar dan sebagainya di kampung. Pada masa itu, soal itulah pencarian hidup dan saya perlu berkorban untuk itu (seperti yang selalu emak cuba bujukkan ketika melihat wajah saya yang mencuka dan kelat), tidak terdapat dalam kamus kanak-kanak saya.

                                         

                                   Sekadar gambar hiasan: Dipetik dari badungcamp.fotopages.com

          Hanya apabila usia melangkah setapak demi setapak menuju alam remaja dan perjalanan waktu sedikit banyak mematangkan fikiran, saya mula menerima hakikat itu. Malah, cukup berterima kasih dan bersyukur kerana sebahagian besar perbelanjaan persekolahan hinggalah ke universiti ditampung hasil keringat dan jerih payah emak dan ayah berbudi kepada tanah. Oleh sebab itu, ketika di Tingkatan Enam dan menetap di asrama, saya pasti pulang dua minggu sekali dan mengorbankan cuti hujung minggu untuk membawa dan menemankan emak di kebun. Ketika ini, saya mula melihat apa yang saya lakukan sebagai sumbangan sekecil kuman bagi membalas jasa emak dan ayah yang seluas langit lazuardi.

      Sebab itulah, setelah kembali ke kampung dan menetap di sana (setelah emak pulang ke perkampungan abadi dan ayah memerlukan seseorang untuk menemani mandala sepinya), saya memulakan semula kegiatan yang agak lama saya tinggalkan. Setiap hujung minggu jika tiada perkara yang mengekang, motosikal EX5 buruk yang dibeli 10 tahun dahulu akan menemani saya ke Langkap, tempat saya mengusahakan sebuah kebun kecil. Setelah secara tekal melalui rutin ini saban minggu bermula Februari, kini kebun sekangkang kera itu mula membalas setiap keringat saya yang tertumpah. 
       Ada juga dalam kalangan sahabat yang hairan dan bertanya kerana mereka melihat saya begitu bersungguh-sungguh dalam bidang ini sedangkan saya sudah berkerjaya dan setiap bulan amaun yang muncul di bank gaji, boleh tahan jumlahnya. Saya pernah menyebut bahawa berkebun khususnya menanam lada boleh menjadi sumber hidup. Ada dua tiga orang pak cik saya menghantar anak-anak mereka hingga ke menara gading dengan hasil lada yang mencecah 20 hingga 30 kilo seminggu, walaupun menjalankannya secara tradisional.
      Begitu pun, itu bukanlah faktor mengapa saya mahu berkebun. Kalau dikira-kira pun, saya hanya mendapat RM40-RM50 seminggu kerana hanya berkebun secara kecil-kecilan. Ada sebab lain yang lebih menyentuh. Setiap kali menajak di kebun, setiap kali mengutip lada dan terung, dan setiap kali berehat di bawah pohon langsat sambil menjamah kudapan yang dibekalkan oleh isteri, setiap kali itulah, nostalgia bersama Allahyarhamah emak di sini akan kembali. Seolah-olah dialah yang sedang menajak di hujung kebun ketika saya ralit mengutip lada di hujung sini. Seolah-olah dialah yang menggamit saya untuk berjeda membuang lelah di bawah pohon langsat lalu 'melangsaikan' cekodok ikan bilis yang kami bawa. Kadang-kadang seperti terngiang kembali segala ngomelan, leteran, nasihat, dan luahan perasaannya tentang ayah, abang kakak, dan diri saya sendiri, seperti yang sering dilakukannya dahulu. 

    Berkebun adalah warisan emak. Setiap kali ke kebun, serasa emak masih dekat.  
    Al-Fatihah.


Friday, October 30, 2009

JIdJ di Kamar Sukan

Perkara pertama yang terlintas seusai membaca novel remaja bertemakan sukan nukilan Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring ialah bagaimana caranya agar pelajar-pelajar saya turut menikmati novel yang menarik ini. Saya benar-benar berharap watak Syahir dalam novel tersebut akan menjadi ikutan para pelajar saya yang rata-ratanya fanatik bersukan (kalaulah dalam akademik juga sefanatik itu, berbahagialah guru-guru SMK Juasseh) tetapi tidak mengikuti lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Rasanya masalah ini turut dirasai oleh guru-guru lain di mana-mana pun. 
Begitu pun, sebagai guru yang bertanggungjawab terhadap sukan di sekolah secara langsung, ada kalanya rasa bersalah dan berdosa itu tetap menyelinap dan sentiasa bermain-main di fikiran. Ini tidak bermakna saya tidak berbuat apa-apa. Saya juga sering mengingatkan malah ada kalanya menjadikannya syarat untuk dipilih sebagai pemain atau atlet. Bagaimanapun, langkah sebegitu tidak begitu berkesan kerana ia hanya dapat mengubah pelajar untuk seketika. Tambahan pula, syarat ini tidak menyeluruh kerana apabila pelajar-pelajar ini berjaya mewakili daerah atau negeri, syarat tersebut tinggal bersama-sama saya di sekolah. Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan jurulatih sendiri yang merasakan prestasi atlet akan merosot jika memakai pakaian menutup aurat. Malah mereka sendiri yang tidak membenarkan.
Berbalik kepada persoalan awal tadi, bagaimana caranya agar pelajar saya mencari dan menikmati novel Zaid ini. Secara spontan, timbul idea agar petikan dalam novel ini saya abadikan di dinding Kamar Sukan (Stor Sukan). Mungkin dengan cara ini, pelajar-pelajar yang lalu-lalang akan singgah sebentar dan menikmati dan menghayati kata-kata tersebut. Mungkin juga selepas itu, mereka akan berusaha pula mencarinya di perpustakaan sekolah. Daripada 10 orang, tak dapat semua, dapat separuh pun jadilah. Paling tidak pun, seorang. Jangan tak ada langsung. 
Harapan saya dengan cara ini, sedikit banyak dapat membantu mencapai matlamat pengarang iaitu Zaid untuk berdakwah lewat novel-novelnya.
                                   
 
Petikan JIdJ di Kamar Sukan SMK Juasseh
p/s- Harap-harap Zaid janganlah minta royalti daripada saya ya.
   


Wednesday, October 21, 2009

Selamat Ulang Tahun Kelahiran

Entri ini sebenarnya sudah agak lewat kerana kedua-dua anak bujang saya menyambut ulang tahun kelahiran mereka pada 13 dan 16 Oktober masing-masing. Pada kesempatan ini, Babah sekali lagi mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran dan selamat menjalani hidup penuh barakah. Semoga menjadi insan seperti yang sering Babah dodoikan setiap malam sewaktu kecil dahulu. Sesungguhnya menghadapi keletah dan ragam anak-anak akan segera mengingatkan kita kepada 'seksa' dan 'derita' yang kita sendiri hadiahkan kepada ibu dan ayah sewaktu kita seusia mereka dahulu. Justeru, sebagaimana sabar dan redhanya ibu dan ayah, harap-harapnya kita juga begitulah.

 
Adik dan abang sedang memotong kek (cukup syarat) sempena sambutan ulang tahun mereka berdua. Si kakak yang lahir bulan 5 pun menumpang sama juga.

Bercakap tentang lagu dodoi, mungkin saya boleh berkongsi dengan semua sahabat lagu yang sering saya dendangkan ketika tangan menghayun buai saban malam (sama-sama menggalas tugas murni ini dengan isteri). Pada saya, apa sahaja yang keluar dari mulut kita adalah doa. Semoga lagu yang saya alunkan saban malam itu akan membentuk mereka sama seperti yang saya harap dan impikan. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya mereka akan menjadi anak soleh dan solehah, anak yang akan membahagiakan, anak yang akan mendoakan dan anak yang akan membawa kami suami isteri ke syurga, insya Allah.

Anak Babah tu Muhammad Bukhari
anak Babah tu Muhammad Bukhari
bila besar nanti nak hafaz al-Quran
sepanjang masa jadi amalan

Hasrat hatinya ingin berjasa
kepada ibu bapa serta keluarga
ingin menjadi anak yang soleh
mahu berbakti selama boleh  

Anak Babah tu Durrotun Nasihah
anak Babah tu Durrotun Nasihah
ingin menjadi anak solehah
mahu berpegang al-Quran dan Sunnah

Menjadi doktor itu impian
bukan sembarang doktor, doktor beriman
ingin membantu semua orang
keikhlasan diutamakan

Anak Babah tu Muhammad Iqbal
anak Babah tu Muhammad Iqbal
malam dan siang al-Quran diamal
wajib dan sunat menjadi bekal

Jadi pujangga menyalur ilham
dengan kuasa pena membangun Islam
mahu seperti ulama silam
menyebar dakwah melalui kalam.





Thursday, October 8, 2009

Bengkel Penulisan Novel

Bersama Nisah ketika bab 1 novel saya dibicarakan

Ketika meninggalkan Sandakan buat kali terakhir seusai dipindahkan kembali ke Semenanjung, saya sudah menanam tekad akan menterjemahkan pengalaman sendiri dan rakan ketika bertugas di sana ke dalam novel. Malah, saya turut berikrar akan menyelesaikannya sebelum usia menjangkau 30 tahun. Malangnya, kerana ketiadaan disiplin dan kesungguhan (mungkin juga kerana kurangnya tekanan), impian tersebut tinggal angan-angan. Oleh sebab itulah, apabila berpeluang mengikuti bengkel penulisan novel anjuran JPNNS, saya terus merebut peluang itu.

Sebenarnya jika mengikut senarai awal, nama saya tidak tercatat sebagai salah seorang yang akan mengikuti bengkel ini. Begitupun, kerana makluman daripada seorang sahabat, saya memohon untuk ikut serta. Alhamdulillah, saya diizinkan dengan syarat (dengan kadar segera) perlu menyiapkan sinopsis dan bab pertama novel. Saya pun dengan tergocoh-gocoh segera memenuhi syarat yang diinginkan. Sinopsis dan bab pertama memang tidak ada, cuma kerangka sahaja yang berlegar-legar di dalam kepala sejak dahulu.
 Ada dua faktor mengapa saya beria-ia untuk serta. Pertamanya, dalam banyak-banyak genre kreatif yang saya minati, bengkel novel merupakan satu-satunya yang belum pernah saya hadiri. Saya hanya belajar daripada karya orang lain, melalui pengalaman mereka dan juga berguru dengan buku. Justeru, peluang ini tidak wajar dilepaskan. Keduanya, siapa yang tidak ingin bertemu muka dan berkongsi ilmu dengan Sasterawan Negara ke-10, Dr. Anwar Ridhwan yang sohor dengan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto. Siapa pula yang tidak ingin belajar dan berkongsi petua keprolifikan dua pengarang muda, Faisal Tehrani dan Nisah Haji Haron.
 Pertemuan dengan Dr. Anwar sangat singkat dan secara jujur saya katakan, saya tidak dapat belajar banyak daripada beliau. Begitupun, kehadiran saya ke bengkel ini tetap berbaloi kerana kuliah dan bengkel daripada Faisal dan Nisah begitu mengesankan. Faisal yang saya kira seorang yang serius (melihat daripada penulisan dan catatan dalam blognya) rupa-rupanya seorang yang kuat berjenaka dan itulah modal untuk memeriahkan bengkelnya. Nisah pula tidak begitu asing kerana kami sering bertemu dalam banyak program PEN. Begitupun, inilah kali pertama saya menjadi peserta bengkel beliau. 
 Terima kasih kepada Pengetua SMK Datuk Sedia Raja dan seluruh warga kerjanya. Begitu juga dengan JPNNS yang menganjurkan bengkel ini. Semoga dengan date line yang diberikan, saya akan hidup dalam tekanan untuk menyiapkan novel ini.  


Bergambar dengan Faisal Tehrani

Thursday, October 1, 2009

Aidilfitri Membugar Nostalgia

Assalamualaikum

Sekali lagi diucapkan selamat hari raya. Mohon ampun zahir dan batin. Mungkin aidilfitri kali ini agak berbeza kepada kami sekeluarga. Buat pertama kalinya, kami meraikan sinar Syawal tanpa bonda tercinta yang telah berangkat menemui Ilahi pada November tahun lepas. Walaupun sudah menghampiri setahun usia kepulangannya, kesedihan masih kami rasai seisi keluarga. Ketika inilah rendang bonda menjadi dambaan semua. Tahun ini, ada beberapa tangan yang menyediakan rendang termasuk 'Kak Long'. Rasanya juga membangkitkan selera tetapi pasti tidak seisitimewa rendang air tangan bonda. Al-Fatihah untuk bonda.
 Begitu pun, kehadiran beberapa rafik yang antaranya telah belasan tahun tidak bersua muka ternyata dapat mengubat sedikit kesedihan. Aidilfitri kali ini benar-benar membugar nostalgia. Mamat, Taha, Kak Yan, dan Salim (sahabat sekampung) adalah sahabat lama ketika belajar di Tingkatan 6 di SMDAS pada tahun 1995. Suatu yang membuat saya bangga ialah masing-masing mempunyai kerjaya yang boleh dibanggakan. Malah, apabila masing-masing tiba dan memenuhi ruang parkir saya dengan deretan kereta mewah, saya jadi terkejut. Mamat kini seorang pegawai di KDN; Taha Eksekutif Kanan di PNB, Kak Yan pramugari di MAS, dan Salim kini orang penting di kilang Pepsi Bangi. Saya? Saya kekal guru biasa di sekolah biasa di daerah biasa.

 Justeru, tahniah kepada semua rafik yang berjaya dalam lapangan masing-masing. Harap pertemuan kita pada Syawal ini akan merintis lagi pertemuan demi pertemuan pada masa-masa akan datang. Malah, kalau dapat biar jumlahnya makin bertambah. Kita masih ada sahabat lain yang bernama Zaidi, Ali, Suriyati, Ramli, Salmiah, Along Salawati, Kak Ita, dan lain-lain. Di mana mereka ya?

   

Dari kiri: Kak Yan dan anak, Taha, Salim, 

Mamat, saya, dan isteri saya (Ita)

Wednesday, September 16, 2009

Ramadan Dirindui, Syawal Dinanti


Assalamualaikum dan salam lebaran.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H kepada semua rafik yang setia mengikuti penulisan saya dalam blog ini. Sebarang salah silap, saya memohon ampun dan maaf. Semoga lebaran kita kali ini akan diberkati. Buat sahabat, anak didik dahulu dan sekarang atau sesiapa sahaja yang berkesempatan, silalah berkunjung ke rumah saya yang akan 'terbuka' sepanjang cuti hari raya ini. Alamatnya; No. 8, Kg. Baru Lanjut Manis, Tanjung Ipoh, N.S.


Tetamu kita yang istimewa
akhirnya pulang setelah sepurnama bertandang
inilah bulan barakah
sesekali Ramadan singgah menjenguk kita
seribu rahmat dikendong bersama.

Kini, sinar Syawal pula tiba
cahayanya menerangi laman kita
inilah hadiah sabar dan takwa
cendera kasih dari ar-Rahman
untuk umat yang beriman.


Tuesday, September 8, 2009

Ketika Sakit

Assalamualaikum dan Salam Ramadan...

Alhamdulillah setelah berehat lebih dua minggu, akhirnya saya diizinkan oleh-Nya untuk menyambung penulisan di blog ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendesak untuk saya tulis sesuatu yang baharu. Wah, terasa seperti mempunyai peminat la pulak(maaf, sekadar gurauan).
Pertama-tamanya, saya memohon maaf kerana lama tidak menulis di sini. Ada beberapa perkara yang mengekang, sebenarnya. Satu daripadanya ialah Brodband sahabat saya yang setia meminjamkannya kepada saya selama ini (terima kasih banyak-banyak Kak Liza) rosak dan terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur untuk dibaiki. Saya tidak mempunyai Brodband sendiri kerana sedang dalam proses menunggu pemasangan Streamyx di rumah. Tapi entahlah, sudah jenuh menunggu sejak dari bulan Februari lagi, sehingga sekarang belum juga ada beritanya (panggilan terakhir saya terima daripada pihak Telekom, belum ada port yang kosong setakat ini). Sementelahan pula, saya bukan jenis yang suka ke pusat siber kerana merasakan tempat tersebut lebih kepada pusat permainan komputer yang bising dan menjelakkan.
Keduanya, Allah telah memberikan saya kifarah (harap-harapnya begitulah) dan peringatan dengan mengurniakan saya sakit selama hampir dua minggu. Tiba-tiba sahaja, badan saya dipenuhi bintik-bintik merah yang memerlukan saya menggaru di sana sini 10 saat sekali. Walaupun saya masih mampu bekerja seperti biasa tetapi ketidakselesaannya sukar untuk diungkapkan. Syukurlah, sakit yang Allah pinjamkan telah diambil-Nya kembali. Alhamdulillah. Terima kasih juga buat isteri tercantik dan tercinta yang setia menyapu dan menyuapkan ubat sembari melafazkan 'ayat-ayat cinta' yang sedikit banyak mengurangkan rasa ketidakselesaan itu.
Apapun, sebenarnya setiap penyakit dan bencana yang singgah dalam perjalanan hayat kita adalah ujian dan peringatan Allah yang harus kita terima dengan redha. Semoga dengan ujian ini, keimanan kita akan bertambah kukuh dan hebat.
Saya segera teringat, sebuah sajak saya yang pernah tersiar di Berita Mingg lama dahulu. Sajak itu terhasil setelah saya dianugerahkan demam yang panjang dan menyeksakan. Saya perturunkan di sini sajak tersebut. Semoga boleh menjadi renungan kita bersama.


Ketika Sakit

Pernah suatu ketika aku sakit
terlantar lemah di perbaringan
datang isteri menyua sepinggan nasi
kutolak kerana seleraku mati
seorang sahabat mengajak ke padang bola
kusambut jemputannya dengan gelengan kepala
dan tatkala si kecilku menekan punat tivi
dengan wajah kusam kuherdik kata padam.

Ketika sakit
kehidupan sifar nikmat
baru faham makna sihat.

Ketika sakit
kematian terasa dekat
cinta kepada dunia tertutup rapat.

Wednesday, August 12, 2009

Tahniah Dr. Anwar Ridhwan

Akhirnya, setelah 6 tahun Sasterawan Negara ke-10 akhirnya dinobatkan. Tahniah Dr. Anwar Ridhwan kerana sekarang sudah sebaris dengan Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Usman Awang dan lain-lain.

Zaid, Perkampungan Penulis Muda dan Saya



Beberapa hari lepas ketika menikmati catatan terbaharu di blog Zaid Akhtar, mata saya tertancap pada ruangan Tawarikh. Di sana tercatat temu janji beliau dengan program Perkampungan Penulis Muda peringkat negeri Johor. Hal itu segera mengingatkan saya kepada pertemuan yang mengakrabkan kami, juga Perkampungan Penulis Muda tetapi ketika itu peringkat daerah Segamat. Secara peribadi, pertama kali saya bertemu muka (tetapi tidak bersapa) dengan beliau ialah ketika kami sama-sama terlibat dalam mesyuarat Pertandingan Kawad Kaki Daerah Segamat. Kami tidak saling mengenali ketika itu. Satu persamaan kami ialah kami sama-sama berwajah kelat kerana agenda mesyuarat bukanlah bidang yang kami gemari (malah, saya tertidur dalam mesyuarat tersebut). Beberapa minggu selepas itu, saya dipelawa untuk menjadi salah seorang fasilitator untuk Perkampungan Penulis Muda daerah Segamat. Zaid turut menjadi fasilitator. Ternyata beliau seorang yang suka berjenaka dan mudah diakrabi berbanding dengan perwatakan yang ditonjolkannya dalam pertemuan pertama.
Selepas program penulisan tersebut, saya bertemu beliau sekali lagi dalam satu program sastera di SMK Bentara Dalam. Ketika itu, Dr. Mawar Shafie dijemput sebagai tetamu. Dan kerana saya juga rapat dengan Dr. Mawar (beliau guru saya di UKM), saya turut menghadirkan diri. Rasanya, itulah dua kali kami bertemu. Tetapi, kami sentiasa diakrabkan oleh telefon dan dan akhir-akhir ini blog. Pernah suatu hari, Zaid menelefon saya dan mengajak saya untuk bersama-sama ke program untuk penulis-penulis muda anjuran GAPENA di Tanjung Piai. Saya begitu teruja ingin pergi tetapi setelah Zaid memberitahu beliau mendapat surat jemputan, saya terus tawar hati kerana saya tidak menerima surat seperti beliau (pada ketika itu, saya merasakan diri terlalu kecil dalam dunia penulisan sebab itulah tidak dijemput). Saya pun terpaksa membohongi beliau dengan mengatakan ada kenduri yang tidak boleh diuzuri. Dukacitanya, apabila saya pulang ke kampung, ternyata saya turut menerima jemputan yang dikirim menggunakan alamat kampung saya. Saya terus menepuk dahi memandangkan pada ketika itu semuanya telah terlambat. Para penulis muda yang berhimpun di Tanjung Piai sudah pun lama mengucapkan salam perpisahan.
Sejak itu, hubungan kami memang tidak pernah terputus. Suaranya sering sahaja berkumandang di corong telefon bimbit saya. Saya juga sentiasa mengikuti perjalanan penulisan beliau. Hampir semua novel yang ditulisnya telah pun usai saya nikmati. Ada kalanya, saya rasa begitu rendah diri kerana Zaid Akhtar sudah menjadi 'fenomena' khususnya selepas kemunculan novel "Salju Sakinah" sedangkan saya masih di takuk lama. Ada kalanya, saya rasa malu dengan diri sendiri kerana Zaid pernah memuji saya kerana sudah mempunyai antologi cerpen (sebenarnya diterbitkan sendiri) sedangkan beliau masih belum ada cukup cerpen untuk diantologikan. Tetapi, lihatlah sekarang di mana kedudukan Zaid dan di mana saya. Rasanya, kalau sebut nama pun orang belum tentu kenal. Tambahan pula, entah di mana silapnya, selepas keluar dari 'persaraan' (saya pernah berhenti menulis hampir 3 tahun kerana menekuni pengajian sarjana saya), karya saya agak sukar untuk diterima oleh editor.

Berbalik kepada novel beliau, ternyata "Salju Sakinah" benar-benar melonjakkan nama ZAid. Barangkali kerana novel ini pernah disiarkan secara bersiri di Utusan Malaysia, Zaid mempunyai ramai pengikut. Tetapi secara peribadi, saya lebih menggemari "Rona Bhosphorus" dan mengangkatnya sebagai novel terbaik Zaid. Sebab itu jugalah, novel itu turut menjadi pilihan dalam kajian tesis sarjana saya. Tahniah Zaid, teruskan berkarya dan doakan saya juga begitu.
Zaid, bila kita nak jumpa agaknya?

Tuesday, August 11, 2009

KBLM vs Malan


Cuaca petang Isnin yang suram rupa-rupanya adalah petanda kepada kekalahan yang bakal kami terima. Ini merupakan perlawanan ketiga KBLM untuk Piala Parlimen. Perlawanan pertama berkesudahan dengan seri 2-2, dan perlawanan kedua tewas dengan 7-0. Ternyata perlawanan dengan pasukan Malan, kami turut menerima kekalahan dengan jumlah jaringan 3-0. Apa pun, pasukan KBLM harus menerima kekalahan ini dengan jujur; kita memang tidak bersedia sebenarnya jika hendak dibandingkan dengan Malan FC. Melihat kepada kemahiran dan kepantasan pemain Malan, terbukti mereka sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita cukup bersiaga menghadapi pertempuran? Sedangkan untuk memanaskan badan pun, kita gagal untuk mendisiplinkan para pemain. Jujur daripada saya, pasukan KBLM harus mempertingkat mutu disiplin terutamanya dalam latihan jika berhasrat untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan lain. Maaf, jika catatan ini terlalu ikhlas tetapi inilah suara hati saya. Insya Allah, selepas ini kita mempunyai banyak masa untuk muhasabah diri. Berubahlah demi kejayaan bersama.

Tuesday, August 4, 2009

Sdr Azwan yang masih solo



Sengaja saya pilih Ketua Belia Kg. Baru Lanjut Manis, sdr Azwan Marukum dalam catatan kali ini. Bolehlah dikatakan catatan ini sebagai penghargaan peribadi saya atas usaha kerasnya untuk menghidupkan semula pertubuhan Belia 4B KBLM setelah hampir sedekad menjadi seperti pohon yang tidak berbuah. Beliau memang dikenali sebagai seorang ketua yang proaktif, dinamik, dan mudah didampingi khususnya oleh anak-anak remaja. Sudah begitu banyak masa dan tenaga beliau curahkan untuk kemajuan belia dan kampung.Sepanjang beliau menjadi teraju, sudah puluhan program dilaksanakan, sekaligus memberi warna baharu kepada pertubuhan belia kami. Keakraban beliau dengan pemimpin-pemimpin setempat (YB) turut menjadi kelebihan. Ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan daripada saya (anggaplah saya mewakili ahli-ahli belia KBLM). Cuma, satu masalah tentang beliau, sampai sekarang beliau masih solo. Usianya sudah menginjak ke angka 30. Cepat-cepat le cari teman Wan. Ingat kekuatan seorang pemimpin kerana ada seorang wanita di belakangnya. Perlu ada seseorang di sisi, bagi berkongsi pahit manis, juga tempat mengadu masalah dan mencambah idea. Jadi...

Monday, July 27, 2009

Selamat Berangkat Teraju Kami



Mungkin hari ini adalah hari terakhir buat Pengetua SMK Juasseh, Pn. Hjh. Arpah binti A. Kadir di sekolah ini. Pada Jumaat yang lepas, satu majlis khusus untuk beliau telah diadakan. Dan saya yang sedang mengikuti kursus pembestarian sekolah (dijadualkan berakhir pada hari tersebut) memohon pelepasan bagi membolehkan saya menghadiri majlis tersebut. Usia perkhidmatan beliau di SMKJ hanya 1 1/2 tahun, hampir seusia dengan perkhidmatan saya di sini(beliau berkhidmat sebulan lebih awal). Secara peribadi, saya melihat beliau sebagai seorang pengetua yang komited, berdedikasi, tegas, dan berusaha ke arah zero defect walaupun acap terkekang oleh faktor kesihatan. Pada saya, setiap pengetua mempunyai gaya kepimpinan tersendiri, terpulang kepada kita sama ada dapat mengikut rentak tariannya atau tidak. Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau kerana banyak menuangkan pengalaman dan menghadiahkan teguran kepada saya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan. Doa saya dan juga rakan-rakan, semoga beliau akan berjaya di 'rumah perkhidmatan' yang baharu di SMK Tanah Merah Side C, Port Dickson. Ada masa datanglah menjenguk kami di sini.


Pada kesempatan ini juga, diucapkan selamat datang dan selamat berjuang kepada pengetua baharu, Pn. Yatimah Jiram (bekas GPK 1 King George V). Tentu sekali di sini, puan akan bermain dan bergelumang dengan padang permainan yang berbeza. Semoga dapat menyesuaikan diri di samping turut mampu menyesuaikan kami guru-guru dan juga para pelajar dengan gaya kepimpinan puan.

Tahniah KBLM FC!


Pada hari Ahad (26 Julai 2009) yang lepas, pasukan bola sepak Kg. Baru Lanjut Manis menghadapi dua perlawanan serentak, satu untuk Piala YB Samad Ibrahim dan satu lagi untuk Piala Dato' Hassan Malek. Berlaku salah faham dan masalah komunikasi sehingga kedua-dua perlawanan ini terpaksa diharungi pada hari yang sama. Begitu pun, anak jati Mandailing tidak mudah patah semangat. Dua pasukan dipersiapkan untuk menghadapi kedua-dua perlawanan. Buat pertama kalinya, pasukan pelapis yang dibarisi hampir keseluruhannya anak-anak belasan tahun diturunkan untuk Piala Dato' Hassan Malek dan pasukan utama diturunkan untuk Piala YB Samad Ibrahim (piala ini merupakan tumpuan utama pasukan pada tahun ini).


Tahniah diucapkan pada pasukan utama kerana berjaya mengalahkan lawan iaitu pasukan Rakan Masjid, Seri Menanti dengan jumlah jaringan 4-0. Tahniah buat adik Ipin dan Edi, juga semua pemain kerana menjadi wira untuk KBLM. Tahniah juga kepada pasukan pelapis – walaupun tewas 0-7 kepada naib johan tahun lepas pasukan Ulu Muar (Galaticos FC) – percayalah anda telah menunjukkan prestasi dan semangat terbaik untuk perlawanan pertama. Pasti anda telah mendapat pendedahan terbaik. Insya Allah, jika ada ruang dan peluang, pasukan utama akan berusaha untuk membasuh imej yang tercalar itu.


(p/s – Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada KBLM Maju Enterprise yang diterajui oleh En. Samri bin Hussin kerana setia menjadi penaja kepada pasukan KBLM FC. Semoga rezeki anda dimurahkan Allah SWT. Diharapkan KBLM Maju Enterprise akan terus setia bersama-sama kami di waktu susah dan senang. Untuk pengurus, Sdr Azwan; lepas ni tengok-tengok la jadual betul-betul ye, he..he..he..)

Tuesday, July 21, 2009

Langit tinggi rendah...

Akhirnya saya dapat juga menyertai pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan pada tahun ini. Tahun lepas saya gagal menyertai kerana salah maklumat dan terlampau berharap pada orang lain untuk menguruskan. Sayembara ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan NS dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan selamat dijalankan pada 18 Julai yang lalu. Kali terakhir saya menyertai sayembara ini pada 2006 dan berjaya juga mendapat tempat kedua peringkat daerah Segamat. Pada tahun ini, keputusan tidak menyebelahi saya. Begitupun, saya tetap merasakan telah mendapat suatu iktibar cukup bermakna (walau gagal untuk ke saringan akhir sekalipun). Sayembara pada tahun ini mengajar saya untuk tidak cepat selesa dengan kemampuan yang ada. Ternyata di negeri kecintaan saya ini, cukup ramai deklamator yang hebat dan begitu siaga menghadapi pertempuran. Berbanding saya yang cepat berpuas hati dengan hasil yang tidak seberapa.

Terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan PEN kerana menganjurkan pertandingan ini.
Tahniah kepada para pemenang (khususnya saudara Mohd Faizal Hassan yang cukup mengagumkan saya). Terima kasih kerana memberi pengajaran bermakna. Hari ini, saya sudah tahu TINGGI RENDAHNYA LANGIT...

(Maaf sebab tak dapat menyertakan gambar. Entah apa yang ditekan oleh anak sulung saya sehingga semua gambar dalam kamera digital saya lesap entah ke mana, termasuk gambar-gambar sayembara)

Tuesday, July 14, 2009

Salam perkenalan

Assalamualaikum,

Setelah begitu lama menjadi pengikut dan pemerhati, akhirnya saya membina blog sendiri. Semoga mendapat sokongan dan dorongan rakan-rakan baik yang sedia ada ataupun yang baharu. Saya juga mengharapkan tunjuk ajar untuk menambah baik blog saya sebab saya ni buta blog. Hari ini belajar, hari ni terus buat. Betul ke cara tu?